PERTEMUAN lewat petang Sabtu lalu di Studio A, Sinar Karangkraf, Shah Alam, Selangor menemukan penulis dengan lagenda sukan terjun tanah air yang cukup berwibawa.

Janji temu kami jatuh pada hujung minggu. Kata Datuk Leong Mun Yee, 38, beliau terpaksa memutuskan demikian lantaran jadualnya yang cukup padat.

Kami memahaminya dan kesudian figura tersohor itu untuk dipotretkan sebagai Cover SinarPlus sempena sambutan Hari Wanita Sedunia sangat dihargai.

Siapa tidak kenal beliau, bukan? Selama 27 tahun melakar nama dan mencurah bakti kepada negara dalam sukan berkenaan, dirinya mengambil satu keputusan berat.

Seperti diketahui ramai, Mun Yee secara rasminya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia renang usai tamat Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Ujarnya dengan nada seloroh sambil tergelak besar: “Cukuplah lebih dua dekad saya dalam sukan ini, sudah sampai masanya untuk saya fokus kepada bidang lain pula. Sementelah saya peserta wanita tertua waktu menyertai Sukan Olimpik sebelum ini.“

Apa-apapun, portfolio Mun Yee cukup terbilang. Deretan kejayaannya memang cukup gemilang. Dalam Sukan SEA sahaja, figura tersohor itu berjaya menyumbang 17 pingat emas, lima perak dan lima gangsa. Belum dikira pencapaian yang lain-lain.

Sebenarnya, pada sesi fotografi lalu, kondisi kesihatannya kurang memuaskan. Pun demikian, sikap profesional jelas terpancar apabila beliau tetap memberi komitmen yang jitu dan tanpa sebarang keluhan.

Baca ni Fatin tak bersandarkan kekayaan famili, berhempas pulas perah otak popularkan jenama Origina

Pada awal perbualan, sengaja penulis menebak apa faktor beliau memilih sukan renang? Secara logiknya, tidak perlu ditanya lagi kerana ia sudah pun menjadi sejarah.
Namun, apa salahnya, bukan? Barangkali ia boleh dijadikan dokumentasi berguna pada masa akan datang.

Tanpa ada masalah, Mun Yee memberitahu, keluarga yang memberi galakan selepas melihat abangnya menjadi perenang, walau setakat di peringkat negeri sahaja.

“Sejak kecil saya sudah terdedah dengan sukan ini. Agak mencabar sebenarnya. Masakan tidak, pada umur 10 tahun, saya sudah mulakan latihan seawal pukul 5.30 pagi. Tamat latihan, saya akan ke sekolah. Selepas itu, saya kembali menyambung latihan berenang,“ kongsinya.

Menjadikan sukan terjun sebagai kerjaya melalui liku-liku yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata. Kata empunya diri, banyak perkara yang terpaksa dikorbankan terutamasekali dari segi masa.

Pada masa sama, beliau perlu sentiasa bersedia untuk berdepan dengan kecederaan pada bila-bila masa, baik ketika berlatih ataupun sewaktu bertanding.

“Paling meninggalkan kesan adalah terpaksa berjauhan dengan keluarga. Saya di Kuala Lumpur sendirian, manakala keluarga pula di Perak. Tidak mudah sebenarnya kerana baru berumur 10 tahun ketika itu.

“Mujur ada kawan-kawan yang ‘senasib’ dengan saya. Waktu itu kami berenam datang dari Perak ke Kuala Lumpur bagi mengikuti Program Jaya 1998 sebagai persediaaan menyertai pasukan kebangsaan,“ ungkapnya yang berpegang kepada prinsip berdisiplin dan jangan cepat mudah berputus asa.

Baca ni Peroleh RM2.6 Juta sebulan, wanita 23 tahun ini bergelar jutawan dengan hanya kerja bersih rumah!

AKADEMI SUKAN
Dipendekkan cerita, Mun Yee diserap masuk ke dalam pasukan terjun negara pada tahun 1997.

“Memandangkan usia saya masih muda, saya tak dapat lari daripada rasa penat dan pelbagai lagi perasaan lagi yang meledak dalam jiwa. Pun begitu, keluarga sangat positif dan sentiasa memberi semangat untuk saya terus bangkit.

“Mungkin itu antara resipi saya mampu bertahan, meskipun latihan yang dilalui cukup ‘keras‘. Dibandingkan sekarang, boleh dikatakan mereka cukup beruntung. Dengan teknologi yang ada, latihan lebih kepada konsep ‘smart‘ berbanding dahulu yang agak ‘hard‘,“ akuinya.

Masih segar dalam benak mantan Ratu Terjun Negara itu, pingat pertama diraih adalah menerusi acara 10 meter platform papan anjal (gangsa) dan perak dalam acara 3 meter platform papan anjal.

Eksklusif kepada SinarPlus, Mun Yee akui, kalau mahu diikutkan, beliau mahu menjadi perenang. Namun, disebabkan ketinggiannya yang tidak mencukupi menyebabkan personaliti tersohor itu beralih menjadi penerjun. Sememangnya, transisi yang disengajakan tersebut membawa tuah kepada empunya diri.

“Kalau boleh saya ceritakan sedikit, sesi latihan untuk kedua-dua acara ini tidak sama. Atlet terjun biasanya mengambil masa lebih lama iaitu kurang tiga hingga empat jam untuk berlatih. Memang memerlukan stamina yang tinggi,“ kata wanita berketinggian 163 sentimeter itu.

Biarpun sudah meletakkan noktah sebagai penerjun negara, nampaknya segala ilmu dan pengalamannya masih ditagih.

Justeru, beliau tidak mampu menolak tatkala diminta menjadi jurulatih bagi skuad kebangsaan.

“Kini, saya bertanggungjawab melatih pasukan terjun negara yang boleh dikatakan semuanya senior. Kalau sebelum bersara, mereka rakan sepasukan, kini sudah jadi anak didik saya,“ katanya yang terus melemparkan senyuman manis.

Pastinya, perancangan Mun Yee untuk bersara bukan hanya tangan kosong. Mesti sudah ada sesuatu yang direncanakan.

Sambil mengiakannya, wanita jelita itu memberitahu, beliau mahu membuka sebuah akademi terjun.

Iklan

Baca ni ‘Mak ladang pahala & rezeki.’Buat kejutan, Nubhan renovate bilik ibu serupa hotel undang sebak!

“Cuma hajat tersebut belum kesampaian. Namun, matlamat itu tetap berjalan seiringan dengan tugas terbaharu saya sebagai jurulatih dalam menyediakan pelapis terjun wanita,“ ujarnya yang percaya segenap kerja keras dan pembabitan dalam acara antarabangsa yang disertai cukup untuk dicurahkan kepada anak muda.

Selain itu, faktor kemahiran yang dimiliki lebih meyakinkan beliau untuk membuka akademi.

Kepada SinarPlus, Mun Yee berkata, beliau juga terfikir untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Psikologi Sukan.

“Sebelum ini, saya mengikuti Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, disusuli dengan Master Komunikasi Korporat. Bukan sengaja tidak memilih bidang sukan, cuma waktu itu jurusan mengenai sukan tidak ditawarkan di universiti yang saya belajar,“ jelasnya.

JADI PENYANYI?
Menutup perbualan tentang arena sukan, Mun Yee nampaknya begitu teruja berkongsi satu lagi kerjaya dalam cabang terbaharu yang baru diterokainya.

Beliau kini bergelar usahawan apabila membuka sebuah kafe yang dinamakan Heroes Cafe. Premis tersebut terletak di Tiara Mutiara 2, Jalan Puchong, Kuala Lumpur.

“Saya memang seorang peminat kopi, bila ada ruang untuk buka kafe, saya tak lepaskan peluang keemasan itu. Setakat ini, saya ada tiga pekerja tetap,“ katanya.

Bercerita sedikit tentang Heroes Kafe, ia berkonsepkan ala Barat dan beroperasi bermula pada hari Isnin hingga Sabtu.

“Selain makanan Barat, kami juga menyediakan hidangan kopi tempatan yang didatangkan khas dari Ipoh iaitu Ipoh White Coffee,“ ungkapnya.

Iklan

Mun Yee sebagai penyanyi? Bunyi agak sedikit janggal. Namun, penyertaannya pada program The Masked Singer Malaysia musim ke-3 mengejutkan ramai dan menjadi bualan di platform media sosial.

Walaupun kecundang pada episod pertama, Mun Yee tetap melahirkan rasa teruja kerana buat pertama kalinya berpeluang berbuat sesuatu yang tidak pernah difikirkan sebelum ini.

“Saya gembira dan bangga menjadi salah satu peserta dalam program realiti ini. Saya anggap ia sebagai satu peluang untuk keluar dari zon selesa. Saya suka cuba benda baharu dan walaupun sukar, tetapi saya berjaya melaksanakannya.

“Sewaktu ditawarkan memegang watak lollipop itu, saya mengambil masa lebih kurang seminggu sebelum menyatakan persetujuan.

“Nampak seronok, tetapi cukup mencabar lebih-lebih lagi saya tiada pengalaman menyanyi. Penampilan saya juga agak ‘keras‘. Maklumlah apabila atlet mendapat mikrofon,“ katanya.

Baca lagi Pernah menghuni rumah anak yatim jadikan Nurul Fadzilah lebih cekal, tahu isi hati dan kesusahan rakyat 

Sempena sambutan Hari Wanita, Mun Yee menitipkan ucapan bermakna kepada semua pembaca setia SinarPlus: “Selamat Hari Wanita Sedunia kepada semua wanita yang luar biasa. Teruskan bersinar bukan sahaja hari ini, tetapi juga setiap hari.“

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.