BERWUDUK adalah membersihkan diri daripada hadas kecil dan besar menggunakan air. Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada langkah bersuci itu boleh dilakukan dalam keadaan tidak berpakaian.

Dari segi bahasa, wuduk ialah nama bagi perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu. Manakala dari segi syarak pula, wuduk bermaksud membersihkan sesuatu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu (rujuk al-Budur al-Tali`ah Syarh Risalah al-Jami`ah, m/s 123).

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkongsi lanjut perihal berwuduk dalam keadaan tidak berpakaian.

Baca juga: “Kami bacakan ayat Ruqyah, bawa berwuduk dan beri minum segelas air”

“Merujuk kepada persoalan di atas, suruhan untuk menutup aurat ketika mengambil wuduk tidak ada dinyatakan sebagai satu perkara wajib atau sunat untuk dilakukan. Akan tetapi, di dalam bab mandi ada dinyatakan bahawa menutup aurat adalah satu daripada perkara sunat. (rujuk kitab al-Taqrirat al-Sadidah fi al-Masail al-Mufidah, m/s 120).

“Namun begitu, ia berlainan dengan mengambil wuduk atau mandi tanpa berpakaian di tempat awan maka hukumnya jelas wajib untuk menutup aurat. Ini berdasarkan kepada Hadis Nabi SAW:

لَا يَنْظُرُ الرَّجُلُ إِلَى عَوْرَةِ الرَّجُلِ وَلَا تَنْظُرُ الْمَرْأَةُ إِلَى عَوْرَةِ الْمَرْأَةِ

Maksudnya: Lelaki tidak boleh melihat aurat lelaki dan begitu juga wanita tidak boleh melihat aurat wanita.

Hadis riwayat Muslim (no. 388)

قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ عَوْرَاتُنَا مَا نَأْتِي مِنْهَا وَمَا نَذَرُ قَالَ احْفَظْ عَوْرَتَكَ إِلَّا مِنْ زَوْجَتِكَ أَوْ مَا مَلَكَتْ يَمِينُكَ فَقَالَ الرَّجُلُ يَكُونُ مَعَ الرَّجُلِ قَالَ إِنْ اسْتَطَعْتَ أَنْ لَا يَرَاهَا أَحَدٌ فَافْعَلْ قُلْتُ وَالرَّجُلُ يَكُونُ خَالِيًا قَالَ فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ

Maksudnya: Saya bertanya: “Wahai Nabi ALLAH, aurat kita manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Nabi menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba wanitamu.” Saya bertanya: “Jika lelaki bersama lelaki?” Nabi menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh sesiapa maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” Saya bertanya: “Wahai Nabi ALLAH, jika berada dalam keadaan sendirian?” Nabi menjawab: “ALLAH lebih berhak baginya untuk malu terhadap-NYA daripada (malu) terhadap manusia”.

Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)

Baca juga:Jangan basuh anggota wuduk lebih 3 kali, Ustaz Azhar Idrus beri penjelasan

Baca juga: Wuduk kita tetap sah walaupun pakai kanta lekap, berikut penjelasannya

HUKUM BERWUDUK TANPA PAKAIAN

Menurut mazhab Syafie, wajib kepada seseorang Muslim yang berada di dalam keadaan bersendirian dan di tempat yang tertutup untuk menutup aurat. Pandangan ini juga disokong oleh ulama dari kalangan Hanafi dan Hanbali.

Pun begitu, dalam kalangan ulama mazhab Maliki mereka menyatakan sunat untuk menutup aurat ketika berada dalam keadaan bersendirian dan di tempat yang tertutup (rujuk kitab Mausuah Fiqhiyah Quwaitiyah, 24/176)

Namun, dibenarkan seseorang itu untuk tidak menutup aurat ketika bersendirian dengan syarat ia perlu disertakan dengan hajat seperti mandi atau untuk menyejukkan badan (rujuk kitab Mughni Muhtaj, m/s 185).

Justeru, berwuduk dalam keadaan tidak memakai pakaian adalah sah tetapi tidaklah dilakukan di tempat terbuka atau dilihat oleh orang lain.

Muslim hendaklah menjaga maruah dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain. Walaupun sah wuduk tetapi dia berdosa kerana mendedahkan aurat kepada orang yang haram melihatnya.

Iklan

Bahkan Rasulullah SAW bersabda:

الحَيَاءُ مِن الإِيمَان

Maksudnya: “Malu itu sebahagian daripada iman.”

Hadis Riwayat Bukhari (no. 24)

فَاللَّهُ أَحَقُّ أَنْ يُسْتَحْيَا مِنْهُ

Maksudnya: “ALLAH lebih berhak baginya untuk malu terhadapNya daripada (malu) terhadap manusia”

Hadis riwayat al-Tirmidzi (no. 2769)

Walaupun tidak dinyatakan sebagai perkara sunat atau wajib menutup aurat ketika mengambil wuduk tetapi adalah lebih baik dan utama untuk menutup aurat sepertimana yang disunatkan ketika mandi.

Iklan

Diharapkan pencerahan ini menjelaskan persoalan yang mungkin wujud dalam kalangan masyarakat khususnya wanita agar tidak mengambil ringan perihal bersuci.

Baca juga: Tersentuh rakan bukan Islam sama jantina, batal ke wuduk kita?

Baca juga:Wanita keliru bab inai celup dan sah solat, Ustazah Asma’ kongsi penerangan lengkap

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan