AKIBAT penularan kes positif Covid-19, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akhirnya mengambil keputusan hanya pelajar yang menduduki peperiksaan utama saja dibenarkan untuk hadir ke sekolah bermula esok.

Ia membabitkan pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM) tahun 2020 serta peperiksaan antarabangsa yang setara.

Menurut kenyataan dari PKM, mereka sudah mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung situasi terkini itu.

Sementara itu semua murid dan pelajar tingkatan satu hingga lima akan mengikuti pembelajaran melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mengikut kesesuaian guru juga bermula esok.

Namun, bimbang dengan kesejahteraan pelajar Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tampil dengan membangkitkan dua persoalan besar kepada Kerajaan.

“Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan perlu mengambil langkah segera berhubung isu ujian saringan Covid-19 di kalangan pelajar yang akan hadir ke sekolah bermula esok, kata Syed Saqqid dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian adalah kerana dikhuatiri insiden seperti 18 orang pelajar asrama di Sabah yang didapati positif Covid-19 akan berlaku kepada pelajar-pelajar yang bakal pulang ke sekolah esok.

Iklan

“KPM seharusnya mengelakkan insiden Kluster SPM daripada terjadi dan kes pelajar di asrama Sabah seharusnya diambil sebagai satu signal kepada menteri pendidikan.

“Persoalan yang saya bangkitkan ini bukanlah persoalan baru.

“Namun, kerajaan harus segera mencari jalan untuk membuat ketetapan segera berkenaan perlaksanaan ujian saringan Covid-19 kepada para pelajar yang akan menyertai sekolah pada hari esok,” katanya dalam satu kenyataan.

Syed Saddiq juga turut membangkitkan beberapa persoalan kepada kerajaan berhubung SOP Covid-19 antara kerajaan negeri Sabah dan arahan Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Iklan

“Bagaimana wujud ketidakseragaman dalam SOP Covid-19 antara kerajaan Negeri Sabah dan arahan dari Datuk Seri Ismail Sabri?

“Pada minggu lepas, Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan bahawa pelajar IPT dan sekolah tidak wajib menjalani ujian saringan Covid-19. Ini bukan perlaksanaan yang cekap.

“Malah, ia bertentangan dengan kenyataan dari Menteri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang mahu pemeriksaan saringan Covid-19 dibuat kepada semua pelajar,” katanya lagi.

Oleh itu, kerajaan harus segera mencari jalan untuk membuat ketetapan segera berkenaan perlaksanaan ujian saringan Covid-19 kepada para pelajar yang akan menyertai sekolah pada hari esok.