'Hidang air berlapik piring tanda hormat, salam suami sebelum keluar.' Pesanan ibu rahsia rumah tangga bahagia Cikgu Fadli
PERKAHWINAN aktivis masyarakat dan pempengaruh Cikgu Mohd Fadli Salleh dan isteri sering menjadi perhatian warga maya. Biarpun bergelar guru Matematik, banyak titipan nasihat rumah tangga dikongsinya kepada warga maya.
Lebih 14 tahun bergelar suami, mantan guru Sekolah Kebangsaan Gombak (1) itu mengimbau pesanan daripada bondanya, Khatijah Mohd. Biarpun hanya menghidangkan air buat suami, cawan atau gelas perlu dialas dengan piring sebagai tanda hormat.
"Masa kecil-kecil, aku selalu perhati bila Ma hidang air kepada Abah, mesti Ma letak piring sama ada untuk alas gelas atau cawan.
"Apabila abah minta aku ambilkan air kosong, aku isi dalam gelas dan hantar tanpa piring. Ma tegur:
"Bagi air kat abah kena letak piring. Sebagai tanda hormat kat seorang ayah. Kalau hendak minum sendiri atau bagi air kepada adik-adik tak letak piring pun tak mengapa."
"Semenjak itu, setiap kali aku hidang air untuk abah, memang akan guna piring dan menegur adik-adik yang tidak alas cawan gelas dengan piring untuk abah," kongsinya.
Selain ibu bapa, beliau juga mengutip tip kerukunan rumah tangga daripada orang sekeliling termasuk rakan-rakan. Daripada seorang kawan, Cikgu Fadli melihat amalan bersalaman yang mengeratkan hubungan dan mengelakkan sengketa.
"Semasa bujang, aku perhatikan kawan yang sudah tujuh tahun berkahwin dan menghantar isterinya pergi kerja.
"Setiap kali sebelum turun dari kereta, isterinya akan bersalam dengan suami dan mencium tangan sebagai meminta keredaan manakala suami pula mengucup dahi isteri.
"Ketika itu aku terfikir, bagusnya mereka. Kebiasaannya dua tiga tahun perkahwinan sahaja orang begini. Selepas itu hubungan mula agak dingin, sudah tidak mahu bersalam cium tangan, cium dahi isteri.
Baca juga: Tular video murid angkut beg berat naik tangga hampir jatuh, ramai mohon selesai segera
Baca juga: Sakit mengalahkan Covid-19, pemuda kongsi sekeluarga positif Influenza A
"Apabila aku kahwin, awalnya sudah beritahu isteri dua perkara ini. Bagi air kat suami letaklah piring. Salam suami setiap kali nak keluar rumah.
"Alhamdulillah. Hampir 14 tahun usia perkahwinan, dua benda ni masih kami amalkan. Namun bohonglah jika kata tak pernah ada sengketa dan gaduh manja," kongsinya.
Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri. Bagi mengelakkan pertelingkahan berpanjangan, suami dan isteri perlu mengelakkan tidur berasingan.
Dalam pada itu, bapa kepada lima cahaya mata itu mengakui melayari bahtera perkahwinan tidak mudah, justeru berterus terang jika ada hal yang tidak memuaskan hati dan elakkan memendam rasa adalah rahsia kebahagiaan.
"Masa aku marah, beliau diam walaupun ada jawapan untuk setiap perkara aku marah itu. Masa aku sudah tenang, baru isteri jelaskan dan bagi jawapan. Apabila isteri marah, aku pula akan diam. Kalau panas telinga sangat, aku keluar tenangkan hati. Balik rumah semua sudah sejuk dan kembali bermaafan.
"Belum pernah ada sekali pun dalam hidup kami istilah tidur luar. Isteri aku marah macam mana pun beliau takkan kunci pintu bilik, tak pernah tidur berasingan. Walau tengah gaduh, tidur tetap bersebelahan. Bila begitu, amarah cepat hilang, tak pernah lebih sehari bermasam muka walau pun berselisih faham.
"Jika ada benda tidak puas hati dengan, aku tak pendam. Biasanya aku WhatsApp beritahu walaupun isteri di depan mata. Jarang beritahu dengan mulut kerana takut tersalah cakap bergaduh pula. Aku tulis sahaja, beliau baca dan ubah. Alhamdulillah, kekal rukun dengan cara begitu. Tanpa memendam dan jujur meluahkan," kongsi Cikgu Fadli.
Menyifatkan perkahwinan seperti mengemudi kapal di lautan dalam, beliau mengakui tidak selamanya aman dan tenang.
"Tidak selamanya ribut taufan. Kekal tenang kemudi, Insya-ALLAH selamat sampai di pulau abadi. Aku bukan pakar bab rumahtangga. Namun itulah yang kami amalkan hampir 14 tahun usia perkahwinan, dan alhamdulillah kekal bahagia.. Moga Allah terus rahmati perkahwinan kami hingga ke syurga-NYA, aamiin," kongsinya.
Berkahwin pada 11 Jun 2009, Cikgu Fadli dan isteri dikurniakan lima anak lelaki.
Sumber: Cikgu Fadli
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Twitter, Instagram, Threads, YouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mallsekarang!
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang