KEPUTUSAN ikon guru, Cikgu Mohd Fadli Salleh untuk bersara mengejutkan. Tiada yang luar biasa dalam perkongsiannya sebelum ini namun warga maya menyambut berita duka guru Matematik Sekolah Rendah Gombak (1) itu yang berkuat kuasa mulai 1 Mac ini.

Peguamcara dan Peguambela, Nor Zabetha Muhamad Nor dari Tetuan Nor Zabetha Chinna & Co berkongsi berkenaan bekas anak guamnya itu. Ujarnya, Cikgu Fadli guru yang hebat dan berwibawa bersuara demi memperjuangkan isu dalam pendidikan.

Peguamcara dan Peguambela, Nor Zabetha Muhamad Nor.

“Saya lihat reaksi orang ramai terhadap berita persaraan Cikgu Mohd Fadli Salleh. Komen yang baik-baik. Bertuah Cikgu Fadli, sentiasa disayangi. Hendak disayangi itu, tidak datang bergolek. Lihat sahaja sikapnya bagaimana. Tulisan-tulisan jujur rakan-rakan tentang sikapnya cukup mengambarkan siapa Cikgu Fadli.

Baca juga: ‘Bukan kecewa, saya terlalu sayang dunia pendidikan.’ Ini sebab Cikgu Fadli undur diri pada usia 41 tahun

Baca juga: Cikgu Fadli kongsi 7 amalan murah rezeki. ‘Nafkah isteri tak pernah abai. Masa paling sempit, tetap hulur walau RM20

“Dia memang berani, ketika ramai pempengaruh berhati-hati menyusun tutur kata kerana populariti. Bimbang dikecam, takut dipulaukan. Cikgu Fadli berani untuk menyuarakan apa yang dia rasakan tidak wajar.

“Dia berani memperjuangkan sesuatu yang dia rasakan sepatutnya dan betul. Dia tekad menjadi suara tentang pelbagai isu kelompongan dalam sistem pendidikan. Menjadi suara kepada ibu bapa dan pelajar yang ingin menyuarakan isu yang sama,” kongsinya.

Pernah mengendalikan kes Cikgu Fadli dua tahun lalu, Nor Zabetha menjelaskan pihaknya melalui proses mudah kerana guru itu sememangnya mempunyai rekod disiplin, prestasi, pencapaian dan sumbangan yang mengagumkan sekali gus tidak menyukarkan pihak peguam menyelesaikannya dengan baik. Malah secara peribadi, beliau berasa kagum.

“Waktu saya mewakili kes Cikgu Fadli pada tahun 2022, dia mendapat surat tunjuk sebab dari KPM kerana memberi pandangan tentang silibus matematik dan beg berat.

“Kami berbincang tentang merit kes, strategi untuk menghantar surat representasi. Saya minta dia sediakan dokumen, saya perlu sediakan rekod penilaian Cikgu Fadli dan segala pencapaian. Saya minta cikgu senaraikan anugerah, penghargaan yang diterima dan sumbangannya sepanjang bertugas.

“Waktu saya terima dokumen-dokumen itu, jujur saya katakan saya kagum. Displinnya, sikapnya, anugerah dan pencapaian dan segala sumbangan melalui Dana kita. Penilaian prestasinya tinggi,” ujarnya.

Baca juga: Jujur bersuara tegur kelemahan dalam sistem pendidikan, siapa sebenarnya Cikgu Mohd Fadli Salleh?

Baca juga: Hak ibu bapa nak pastikan nyawa anak-anak kita selamat. Perkongsian Cikgu Fadli buat mak ayah

Nor Zabetha juga mengagumi lelaki itu yang menjadi penggerak kepada Pertubuhan Kebajikan Dana Kita yang banyak membantu golongan tidak berkemampuan.

“Kita tahu bahawa Cikgu Fadli adalah Presiden Dana Kita. Bermula dari dia membantu anak yatim dan asnaf sekitar Gombak dan bergerak sendiri sehingga tertubuhnya Dana Kita.

“Dalam hati saya, waktu firma kami merangka surat itu, sayangnya kalau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) jika kehilangan guru yang berwibawa begini. Guru yang bukan semata-mata makan gaji dan buat kerana pekerjaan tetapi jiwanya tiada. Dalam surat itu, firma kami masukkan pencapaian, anugerah, penghargaan serta sumbangan Cikgu Fadli sepanjang kariernya.

“Melalui Dana Kita, sumbangan agihan beg sekolah, ratusan kerusi dan meja, papan putih dan acara-acara untuk sekolah. Benar Dana Kita itu sumbangan orang awam tetapi jika tiada pengeraknya dan tiada yang mengusahakan tak mungkin jadi realiti.

“Orang Malaysia memang pemurah tetapi akibat kesibukan masa dan tanggungjawab, jarang-jarang yang ada hendak menjadi pengerak usaha kebajikan begini kerana usaha begini memulakan masa, usaha dan komitmen tinggi. Perlukan ‘man of action’,” titipnya.

Biasa mengendalikan kes melibatkan penjawat awam, namun Nor Zabetha belum pernah menerima anak guam seperti Cikgu Fadli yang tulus dan cemerlang dalam tugas.

Baca juga: ‘Macam tadika di Malaysia’- Bapa dedah sukatan Gred 1 di AS tarik perhatian warganet

Baca juga: Tular video murid angkut beg berat naik tangga hampir jatuh, ramai mohon selesai segera

BAca juga: Sakit mengalahkan Covid-19, pemuda kongsi sekeluarga positif Influenza A

“Usaha dan profil Fadli itu sendiri memang hebat. Dalam ratusan muat naik Cikgu Fadli, bukanlah semua perkara yang diceritakan. Sungguh Cikgu Fadli itu, apa yang digambarkan di media sosial itu dan tulisannya dan itulah sikap sebenar. Tidak dibuat-buat.

“Kemudian setelah surat representasi dihantarkan, KPM membuat keputusan untuk tidak meneruskan tindakan terhadapnya.

“Banyak kes-kes dari kakitangan kerajaan yang dirujuk kepada saya. Barangkali mereka jangka saya ‘super hero’ hanya dengan satu surat itu bakal selesai kes mereka seperti Cikgu Fadli. “Puan, saya nak puan kendalikan kes saya macam Cikgu Fadli. Kalau puan boleh buat kes itu, saya pun boleh”.

“Untuk tindakan tatatertib, jika hendak membela tindakan yang diambil, pembelaannya bahawa kakitangan tidak melakukan kesalahan dituduh. Pembuktiannya kakitangan cemerlang, ada bukti-bukti membela terhadap dakwaan.

“Dalam kes Cikgu Fadli, dia sediakan semuanya. Cukup. Dengan bukti-bukti itu, kami hujahkan terus tentang undang-undang.

“Berbeza dengan ada kes-kes lain, bila saya minta, kalau kesalahannya tidak hadir sekian lama, bukti sijil cuti sakit tiada, tidak maklumkan kepada sekolah bila tidak hadir, bukti laporan perubatan tidak ada, penilaian rendah. Tiba-tiba menghilang. Hmm..macam mana hendak saya bantu untuk memformulasikan pembelaan kes? Kalau saya jadi majikan pun, saya marah.

“Hendak sama macam Cikgu Fadli, displinnya, pencapaiannya juga perlu sama,” kongsi Nor Zabetha.

Beliau juga menegaskan tiada siapa yang boleh terlepas dari undang-undang waima seorang pempengaruh yang dikenali ramai.

“Waktu kes ini berjalan, ada saya lihat di media sosial. Tulisan orang “Bolehlah dia influencer, korang kerja kerajaan ni siapa? Jangan berani-berani nak buat macam dia”.

Iklan

“Hmm..tidak kiralah pempengaruh, VVIP, ahli politik, mereka ini tidak terlepas dari undang-undang. Mereka juga ada dipenjara, ada yang lepas walaupun rata-rata tidak setuju tetapi tetap melalui sistem mahkamah.

“Jadi bermakna isu Cikgu Fadli mendapat surat tata tertib tempoh hari itu bukan semata kerana dekat pilihan atau pun dia pempengaruh. Tidak juga semata kerana surat firma kami yang hebat seperti penjelasan live Cikgu Fadli mengucapkan terima kasih kepada firma kami.

Baca juga: ‘Wanita perlu tahu hak, bukan pukul atau dera sahaja, suami keluarkan nama dari syarikat juga keganasan rumah tangga’- Peguam

Baca juga: ‘Ini untuk anak-anak.’ Shuhada Shukri bersama peguam tuntut keadilan, warganet titip semangat

“Jujur saya katakan kerana Cikgu Fadli itu sendiri memang berdisplin dan berwibawa. Sehinggakan lima enam muka surat pertama surat representasi kami hujahkan tentang pencapaian, anugerah serta sumbangannya dan kemudian baru kami mulakan dengan hujahan dari sudut undang-undang.

“Maka, Cikgu Fadli itu bukan kerana dia pempengaruh semata-mata. Dia berani kerana benar, saya juga berani mewakilinya kerana dia benar,” tambahnya lagi.

Mengenali figura hebat itu, Nor Zabetha turut meletakkan Cikgu Fadli sebagai contoh terbaik yang tidak jemu memberi kepada masyarakat.

“Hendak jadi macam Cikgu Fadli jangan lihat kepada apa yang dia ada hari ini. Contohi usaha-usaha dan displinnya. Usaha begitu pula bukan sehari dua tetapi perlu displin. Setiap hari berusaha untuk membawa kebaikan dan menyumbang kepada masyarakat. Contohi yang itu.

“Semoga yang baik-baik untuk Cikgu Fadli dan keluarga. Semoga sentiasa kuat memperjuangkan apa yang diperjuangkan. Terima kasih kerana menjadi suara kami,” katanya.

Iklan

Biarpun tidak lagi bergelar guru, warga maya mendoakan agar Cikgu Fadli meneruskan perjuangan pendidikan. Tidak kurang yang menyatakan sosok pendidik itu sukar dicari ganti.

– “Setuju puan. Saya mulanya tidak percaya dan terkejut membaca berita tentang persaraan beliau, tetapi saya pasti Cikgu Fadli ada perancangan lain yang lebih baik.”

– “Rasa sedih pula baca perkongsian Puan Beth. Hebatnya Cikgu Fadli di hati kami ibu bapa. Semoga Cikgu Fadli sentiasa dalam rahmat ALLAH.”

– “Guru yang sukar dicari ganti.”

– “Kami warga pendidik sudah hilang suara lantang yang mewaklil guru. Terlalu sedikit guru seperti MFS.”

– “Insan hebat tentu ramai yang sayang, moga ALLAH permudahkan perjalanan hidup Cikgu Fadli.”

Sumber: Nor Zabetha

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramThreadsYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang!