BIARPUN memasuki tahun kedua meraikan Aidilfitri dalam suasana norma baharu, raya tetap disambut meriah bersama keluarga seisi rumah.

Jalinan kemesraan dieratkan lagi menerusi himpunan program Raya menarik yang bakal disiarkan menerusi saluran TV3 dan TV9 bermula 12 Mei.

Sementara membuat persiapan akhir pada malam raya, penonton dihiburkan dengan program bual bicara santai, Havoc Nak Raya, yang bersiaran pada jam 11 malam bersama pasangan pengacara popular Haziq Hussni dan Sherry Alhadad.

Kedua-dua mereka akan berkongsi dengan kita tentang persiapan beberapa artis popular tanah air dalam menyambut hari lebaran, termasuklah memori istimewa mereka pada hari tersebut serta persembahan istimewa khas buat anda semua.

Antara yang terlibat adalah Datuk Awie, kumpulan Senario, Sharifah Shahira, Didie Alias, Amyza Aznan, Jasmin Hamid, Syamel, Ernie Zakri, Baby Shima, Iman Troye dan Chef Zam.

Hiburan raya diteruskan pada 1 Syawal, jam 10 pagi dengan gelagat lucu Andi Bernadee, Zara Zya, Dayang Areeda dan Dhia yang mencuba pelbagai cara untuk memujuk ibunya Azizah Mahzan menyambut Hari Raya di bandar menerusi mini siri raya empat episod, Jom Mak, Raya KL!.

Peminat setia Redza Rosli dan Sharifah Rose pula boleh menonton drama 20 episod, Kekasih Hati Mr. Bodyguard menerusi slot Lestary, 9 malam bermula 15 Mei ini.

Istimewa buat penonton setia drama Melayu, TV3 turut membawakan kesinambungan drama bersiri Misteri Mona dan Aku Yang Kau Gelar Isteri dalam slot Cerekarama Raya pada 15 Mei dan 22 Mei  ini.

Kemeriahan berganda menerusi barisan telefilem menarik yang bakal bersiaran sepanjang minggu pertama Raya seperti Raya Hampir Tak Jadi, Takdir Yang Tertunda, Obsesi, Fateema Az Zahra, Jeti, Rabak dan Primadona.

Diikuti episod istimewa Hari Raya daripada program Tanyalah Ustaz, Malaysia Hari Ini dan Borak Kopitiam yang memaparkan topik perbincangan menarik tentang sambutan Hari Raya yang masih dilanda pandemik Covid-19.

Tidak ketinggalan juga filem-filem blockbuster yang akan ditayangkan iaitu Lari, BoBoiBoy Movie 2, Pulang, Hantu Nan Sempit dan Hantu Bonceng.

Sitkom J.K.K lakonan Ebby Yus, Imuda, Ropie, Issey, Ain Edruce, Jiggy dan Salman Al-Farisi yang sentiasa meriah dengan pelbagai insiden lucu membawakan episod Raya, J.K.K Raya yang disiarkan pada hari raya pertama.

Iklan

Selain itu, penonton juga boleh berhibur dengan seleksi program hiburan seperti Alkisah Pak Kodi 5G (musim ke-2), Melodi Raya episod 1 & 2, I Can See Your Voice Malaysia 4 Edisi Raya, Karok OK dan Oh Bulan! TV Raya yang akan disiarkan di TV9.

Pada tahun ini juga, Rangkaian Televisyen Media Prima telah memilih tema Salam Sayang untuk mewarnai kempen Ramadan Raya.

Bagi menyemarakkan lagi suasana ini, TV3 menyediakan platform Misi Salam Sayang kepada pengusaha kecil mempromosikan produk mereka di laman sosial TV3 Malaysia.

Iklan

Selain itu, turut diadakan aktiviti khidmat masyarakat yang disertai oleh barisan selebriti di mana mereka akan membeli barangan dan produk daripada vendor yang terpilih dan sebarkan rezeki kepada mereka yang memerlukan.

Misi Salam Sayang disertai oleh barisan selebriti seperti Ahmad Fedtri Yahya, Apreena Manrose, Amyza Aznan & Adrian, Redza Rosli, Intan Najuwa, Fiza Sabjahan, Khai Bahar dan Riena Diana.

Antara rumah kebajikan yang menerima sumbangan ialah Rumah Kasih Nurul Hasanah, Ampang Jaya, Pusat Tahfiz Al-Falah, Ampang Jaya  dan juga para penghuni di Pangsapuri Baiduri Bandar Tasik Kesuma.

Aktiviti tersebut dirakam dan dikongsikan di laman media sosial TV3 Malaysia pada setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan. Nantikan kompilasi video eksklusif 30 minit tentang Misi Salam Sayang yang akan ditayangkan hari raya ketiga, jam 4 petang di TV3.