DEMI meneruskan kelangsungan hidup dan menyara anak dan isteri, penyanyi Tegar Septian kini kembali menjadi penyanyi jalanan di persimpangan lampu isyarat di Jakarta, Indonesia.

Penyanyi yang pernah popular dengan lagu Aku Yang Dulu Bukanlah Yang Sekarang itu kembali menjadi perhatian ramai apabila berkongsi perkembangan terkininya di laman Instagram dengan memuat naik fotonya sedang menyanyi di jalanan.

“Gak (tidak) papa (apa-apa), yang penting halal,” tulisnya pada ruangan kapsyen hantaran tersebut.

Tegar, 19, sebelum ini mula mencipta nama sebagai penyanyi ketika berusia 11 tahun, malah turut dikenali di Malaysia dan beberapa negara jiran.

Bagaimanapun, penyanyi remaja itu mengalami zaman kejatuhan disebabkan masalah pengurusan kerjayanya sebelum ini.

Iklan

Meski kembali menyanyi di jalanan, Tegar yang kini bergelar bapa kepada seorang cahaya mata lelaki itu tetap positif dengan perjalanan hidupnya.

Iklan

Terdahulu Tegar mendirikan rumah tangga dengan gadis pilihannya, Sarah Sheilka pada 20 Mac tahun lalu dan dikurniakan anak bernama Abidzar Oktaviano Putra.