MERIAH! Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) dengan kerjasama penduduk Kampung Dewan Beta membakar 2,000 batang lemang sebagai persediaan menyambut Aidiladha esok.

Memetik laporan portal media tempatan, Timbalan Presiden KEMUDI Zabidi Ishar berkata, batang lemang itu dibakar sejak subuh tadi oleh penduduk dan ahli KEMUDI bagi memeriahkan sambutan Aidiladha dalam susana baharu.

“Bagi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), kita hanya mengehadkan 10 sehingga 20 peserta sahaja untuk membakar lemang secara bergilir-gilir.

“Lemang ini akan diagihkan kepada ahli dan penduduk kampung sebagai persediaan dan juadah hari raya esok,” katanya.

Zabidi berkata, lemang tersebut hasil sumbungan kelab, orang perseorangan dan syarikat .

“Selain memeriahkan sambutan hari raya, program ini merupakan inisiatif kami untuk merapatkan ahli  kelab dengan masyarakat kampung bagi mendapatkan sumber-sumber berita.

Iklan

“Jika sebelum ini kita lakukan kerjasama dengan persatuan atau agensi kerajaan, kami melihat penduduk kampung penting untuk dirapati bagi mendapatkan sumber berita terutamanya di era digital ketika ini,” katanya.

Zabidi juga berkata, pihaknya akan terus melakukan program seumpama ini dengan kerjasama daripada penduduk kampung bagi meluaskan rangkaian sumber berita kepada ahli-ahli.

Iklan

“Kita mahu ahli dan penduduk kampung saling kenal mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Syabas KEMUDI!