MUNGKIN ramai orang ingat saya gila apabila bercakap dengan pokok, tetapi sebenarnya ia satu jampi yang saya amalkan untuk pokok terus membesar dengan cantik dan sihat.”

Itulah rahsia yang dikongsikan Yusdi Yusoff, 39, kepada pelanggan yang tertanya-tanya bagaimana hasil tanamannya hidup subur.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, pokok juga merupakan makhluk ciptaan ALLAH yang juga memerlukan kasih sayang selain makanan dan minuman untuk terus hidup.

“Saya percaya pokok ini faham apa yang kita katakan. Seperti kita bercakap dengan anak-anak, rajin-rajin belajar di sekolah, begitu juga dengan pokok. Kena ‘jampi’ ayat motivasi supaya mereka bersemangat untuk hidup,” kata pemilik Berkat Nursery itu.

Berbicara mengenai tapak semaian yang memiliki lebih 100 jenis pokok bunga hiasan, herba dan buah-buahan yang terletak di Jalan Berkat, Kampung Seri Aman, Puchong, Selangor itu, Yusdi menyifatkan ia sekadar hobi semata-mata sebelum menjadi salah satu punca rezekinya.

tanam pokok

“Asalnya, depan rumah ini hanya tanah kosong sahaja sebelum saya buat taman pokok bunga. Saya pula tak sangka, orang yang lalu lalang sanggup turun dan mahu membeli pokok tersebut.

“Sejak itu, tercetusnya idea mahu buka nursery ini dan daripada tiada apa-apa sehinggalah wujud Berkat Nursery untuk tambah pendapatan sampingan,” ujarnya yang juga pembekal baja dan racun serangga tersebut.

Barangkali ilmu yang dipelajari sepanjang bekerja selama 10 tahun di syarikat pembekal input pertanian tersebut memberi kelebihan buat anak kelahiran Kuala Lumpur itu untuk terus bercucuk tanam. Hal itu memang tidak dinafikan usahawan itu.

tanam pokok

“Alhamdulillah, ilmu yang saya pelajari ini dapat dipraktikkan untuk anak pokok yang saya usahakan. Pada masa saya, saya seronok dapat berkongsi ilmu kepada pelanggan yang datang saban hari.

“Bila orang tanya macam-macam pasal ilmu pokok dan baja mana yang sesuai, bolehlah saya bantu mereka dengan hati terbuka,” tuturnya.

‘Tangan panas’

Kata suri hati Kartinah Yusof itu, perusahaannya itu boleh pincang tanpa sokongan dan bantuan isteri tersayang yang sama-sama bersusah payah menguruskan nursery sekiranya ada on-call daripada majikan.

tanam pokok

“Minat kami suami isteri sama iaitu sukakan pokok-pokok. Minat saya pula dipupuk dari kecil lagi kerana sepanjang duduk bersama arwah nenek, Misnah Ahmad, memang Allahyarhamah banyak beri tunjuk ajar.

“Boleh dikatakan rutin saya masa kecil-kecil dulu, siram dan tanam pokok. Sapu sampah sekeliling rumah dan bantu di kebun. Jadi, semua itu saya praktikkan sampailah sudah berumah tangga,” ceritanya mengimbau memori lama.

Baca juga Jangan risau kalau bukan ‘tangan sejuk’. Ikuti 4 langkah penjagaan pokok kaktus dengan baik

Bersembang dengannya membuatkan SinarPlus terdorong bertanyakan tentang cakap-cakap orang zaman dulu kala bahawa kononnya ‘tangan panas’ tidak boleh bercucuk tanam.

tanam pokok

Anak ketiga daripada empat beradik itu mengakui ada benar di sebalik kepercayaan orang lama itu.

Iklan

“Bagi pandangan saya, memang ada orang-orang yang jenis ‘tangan panas’. Pokok yang dipegang atau dialihkan mati begitu sahaja. Memang wujud orang yang tidak serasi dengan tanaman.

Baca juga [VIDEO] Tidak kisah melabur hampir puluh ribu ringgit demi keladi viral, lelaki ini siap rantai pokok takut dicuri

“Banyak juga aduan daripada pelanggan yang saya terima. Saya akan (bantu mereka) dengan ‘perelokkan’ semula pokok itu sampai betul-betul sihat kerana bagi saya, jika pelanggan puas hati, hati saya pun gembira,” katanya.

tanam pokok

Bagi mereka yang berjinak-jinak untuk mengusahakan perniagaan sepertinya, Yusdi berkata, peri penting untuk seseorang usahawan mendalami ilmu pokok terlebih dahulu sebelum memulakan projek tanaman.

“Kita kena pandai dan tahu semua nama-nama pokok, cara penjagaan, sukatan baja yang sesuai kerana setiap pokok ada aturannya sendiri. Bukan main jual sahaja.

Baca juga Hilang pendapatan gara-gara VSS, bekas jurufoto kini menjadi penternak udang berjaya

Iklan

“Memang orang kata ada modal, boleh buka nursery sekelip mata tapi bagi saya, pokok yang dijual biarlah berkat dan hidup lama dengan ilmu yang kita kongsikan,” katanya.

Adakah bisnes yang diusahakan lelaki itu ‘aman’ sentiasa? Yusdi meleretkan senyuman penuh bermakna.

tanam pokok

Ujarnya, sudah adat berniaga, memang ada pasang surutnya. Paling berbekam dalam mindanya adalah ketika ditimpa musibah ribut yang menyaksikan dan semua tanamannya musnah sekelip mata.

“Memang sedih melihat hasil keringat rosak begitu sahaja, namun kata-kata isteri menjadi penguat untuk saya terus bangkit semula. Tanpa isteri, memang saya tak berdaya,” ceritanya.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk cerita-cerita yang ohsem dan menghiburkan