Fayyadh pernah ditidurkan 2 bulan kerana jangkitan kuman, kini perlukan dana untuk pembedahan lelangit sumbing.

NURUL HASNAA Abdull Rani pada mulanya sukar menerima hakikat sebaik mengetahui bayi lelaki berusia enam bulan dalam kandungannya bakal menempuh kehidupan sukar.

Anak itu kata Nurul Hasnaa, bakal menghidap penyakit jarang jumpa. Rumusan itu dibuat berdasarkan pengeluaran air ketubannya lebih banyak daripada kapasiti biasa. Beliau juga dijangka memiliki anak pramatang.

Namun, dengan kuasa ALLAH SWT, Muhammad Hadif Fayyadh Mohd Hanif selamat dilahirkan secara normal dengan berat 3.6 kilogram di Hospital Tuanku Fauziah Kangar (HTFK), Perlis pada 20 Ogos 2020.

Pun demikian, ibu berusia 29 tahun itu menerima berita bahawa si cilik yang dipanggil dengan manja Fayyadh menghidap penyakit Sindrom Pierre Robin.

Fayyadh Sindrom Pierre Robin

Kondisi itu akan menyebabkan anak kecil itu memiliki dagu kecil, saluran leher dan tekak sempit sehingga menyukarkannya untuk bernafas, selain sumbing pada lelangit.

Fayyadh turut berdepan masalah paru-paru kronik sehingga disarankan menjalani satu pembedahan menebuk tekak untuk memasukkan alat tiub tracheostomy ketika usianya baru 21 hari.

“Kami akur dengan itu semua demi kelangsungan hidup Fayyadh. Lagi pula prosedur ini penting kerana paru-paru Fayyadh tidak dapat berfungsi dengan normal dan memerlukan bantuan mesin pernafasan sepanjang masa,“ katanya yang menetap di Jalan Sungai Berembang, Simpang Ampat, Perlis.

Fayyadh Sindrom Pierre Robin

Cerita Nurul Hasnaa lagi, selama 11 bulan lamanya beliau berulang-alik ke hospital selepas si kecil itu ditahan di Unit Penjagaan Rapi Neonatal dan Unit Penjagaan Rapi Pediatrik di HTFK.

“Walaupun hanya dapat jumpa 10 minit sahaja, sudah cukup mengubat rasa rindu,“ imbaunya yang kalau boleh mahu menyahkan kenangan menyedihkan itu.

Baca juga Ibu tak sanggup dengar tangisan anak kecilnya jalani rawatan kemoterapi akibat kanser darah

Daripada banyak momen, insiden Fayyadh yang hampir nazak selepas diserang jangkitan kuman teruk pada paru-paru pada Februari lalu paling menakutkannya.

“Sebenarnya masa umur Fayyadh lapan bulan, dia sudah boleh bernafas sendiri dan tiub tracheostomy pada tekaknya sudah dibuang. Hanya perlu guna mesin BIPAP untuk sokong pernafasan.

Fayyadh Sindrom Pierre Robin

“Apa yang membuatkan saya bersyukur, masa itu dia sudah boleh bersuara. Namun, disebabkan jangkitan tersebut, Fayyadh terpaksa ditidurkan selama hampir dua bulan kerana doktor beritahu peluang untuk hidup hanya 50 peratus sahaja,“ katanya yang tidak dapat mengelak apabila satu lagi prosedur menebuk lubang pada tekak anak tersayang terpaksa dilakukan.

Jual roti

Kini, Fayyadh sudah mencecah usia dua tahun dan si kecil itu masih bergantung sepenuhnya kepada mesin pernafasan mudah alih, selain tiub khas untuk saluran susu.

Fayyadh Sindrom Pierre Robin

Suri hati kepada Mohd Hanif Mohamad, 30, memberitahu SinarPlus, tahap kesihatan anaknya sangat memberangsangkan dan semakin aktif.

Namun, jauh dari sudut hatinya untuk mendengar suara Fayyadh memanggilnya mama dan suaminya, babah.

Baca juga Baru berusia 3 tahun, Abang terpaksa jalani kemoterapi kerana kanser perut

Iklan

“Setakat ini, jika mahukan sesuatu atau lapar, Fayyadh hanya mampu gunakan bahasa isyarat sahaja. Dia masih belum boleh bercakap disebabkan alat yang dipasang pada tekaknya,“ ujarnya.

Fayyadh Sindrom Pierre Robin

Sejak diserang jangkitan kuman, Nurul Hasnaa akan sentiasa memastikan persekitaran kediamannya sentiasa bersih. Beliau juga akan menyedut lendir kahak Fayyadh sebanyak enam kali sehari sebelum diberi minum susu.

“Cukuplah sekali kami berdepan situasi menggerunkan. Menjaga Fayyadh memerlukan perhatian penuh. Kami juga terpaksa berulang-alik ke tiga hospital di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,“ katanya.

Fayyadh Sindrom Pierre Robin

Ditanya apa yang dilakukan untuk menampung kehidupan, suri rumah sepenuh masa itu bergantung sepenuhnya dengan pendapatan suami yang bekerja sebagai ejen insurans. Pada masa sama, mereka menjual roti buatan sendiri secara kecil-kecilan.

Misi pasangan penuh santun itu adalah mahu mengumpulkan dana pembedahan berjumlah lebih RM30,000 untuk mencantumkan semula sumbing pada lelangit Fayyadh.

Iklan

Fayyadh Sindrom Pierre Robin

“Pada setiap bulan, kami juga perlu belanjakan sebanyak RM1,000 untuk kos perubatan termasuk susu Fayyadh.

“Situasi genting ini membuatkan kami terpaksa menebalkan muka untuk memohon bantuan orang ramai bagi merawat anak tunggal yang kami sayangi ini. Selain itu, kami juga mengharapkan doa daripada orang ramai agar anak kami dapat bernafas sendiri dan sihat sepenuhnya nanti,“ katanya yang sudah tidak dapat menahan perasaan sebak lagi.

Fayyadh Sindrom Pierre Robin

Kepada orang ramai yang prihatin, sumbangan anda diperlukan untuk membantu Fayyadh. Dana boleh disalurkan terus ke akaun Maybank 162777280492 atas nama Mohd Hanif Bin Mohamad.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.