RAMAI dalam kalangan kita memang sentiasa mencari masa khusus buat diri sendiri.

Tidak kurang juga yang rasa bersalah pada diri sendiri apabila mereka bersendirian, sesetengah tidak suka bersendirian dan sebahagian lagi berfikir bersendirian adalah sama seperti individu yang terdampar kesepian.

Pun begitu, tahukah anda bahawa bersendirian juga adalah perlu untuk pertumbuhan dan perkembangan peribadi kita?

Dalam Islam sendiri untuk mendapatkan ketenangan jiwa, kita digalakkan bangun mendirikan solat di sepertiga malam dan bertafakur meluahkan segala pada-NYA.

Sebelum itu, ketahuilah bahawa berseorangan dan kesepian adalah dua perkara yang berbeza. Dengan bersendirian adalah sesuatu yang kita lakukan untuk menyemarakkan jiwa dan memperkasakan hidup kita.

Sementara kesepian adalah hidup yang memisahkan kita daripada orang lain. Ia memupuk virus peribadi, yang mungkin menjebakkan kita dalam kancah penyakit mental.

Justeru, wajar kita mencari masa untuk bersendirian khasnya kerana sebab yang pertama tadi. Dan bukan hanya orang dewasa yang memerlukan masa bersendirian, keperluan sama juga diperlukan oleh anak-anak kita.

Satu kajian oleh pakar Reed W Larson, Profesor di Department of Human Development and Family Studies, University of Illinois Urbana-Champaign mendapati “Remaja yang tahu menyelaraskan ruang masa peribadi mereka dengan lebih baik, dapat menjalani kehidupan lebih sihat berbanding mereka yang menghabiskan sedikit atau banyak masa terluang bersama kawan begitu sahaja.”

Ya, sebenarnya banyak perkara yang boleh kita lakukan dengan bersendirian hanya untuk diri sendiri. Antaranya dengan pergi menonton wayang atau dalam musim Covid-19 ini menonton di rumah, makan malam atau berbelanja, tidak salah jika memilih untuk melakukannya seorang sahaja.

Ia mungkin kelihatan aneh pada mulanya, tidak mengapa.

Jika kita membenarkan diri kita sendiri untuk mengamati dan memproses apa yang sedang berlaku di sekeliling kita tanpa penghakiman, kita akan mendapat perspektif yang penting.

Barangkali itu juga membantu kita mendapatkan beberapa maklumat berharga untuk kita memahami keperluan dan apa sebenarnya yang kita mahukan dengan lebih baik.

Tidak yakin? Nah, terdapat banyak sebab mengapa menghabiskan masa bersendirian adalah baik untuk kita seperti yang dikongsikan laman portal powerofpositivity.com/ ini.

Apa yang pasti, masa yang ada itu juga memaksa diri kita untuk menjadi lebih teliti.

Berikut adalah beberapa lagi sebab utama mengapa kadangkala anda wajar bersendirian:

 1. DAPAT MENDENGAR SUARA HATI

Hanya kita yang tahu siapa diri kita sendiri. Bagaimanapun, kadangkala terdapat banyak perkara yang kita lakukan dalam kehidupan kita disebabkan oleh orang sekeliling.

Antaranya kerana rakan sekerja, rakan lama, keluarga dan sebagainya yang sebenarnya menyumbang kepada bagaimana kita membentuk pendapat menerusi pengaruh mereka.

Pun begitu, apabila meluangkan masa untuk bersendirian, kita dapat menghilangkan minda kita daripada semua pengaruh itu. Justeru ia membolehkan kita mendengar suara dalaman kita dengan lebih jelas.

2. MENCIPTAKAN KREATIVITI PENYELESAIAN DENGAN INSPIRASI SEBENAR

Kreativiti berlaku apabila minda kita bebas untuk meneroka dan ‘bersiar-siar’. Apabila kita bersendirian, tidak ada pemikiran dan agenda yang saling bersaing dengan orang lain.

Hal itu membolehkan minda kita bebas untuk melakukan perjalanan pemikiran berdasarkan inspirasi yang benar.

3. MEMBINA KEYAKINAN TANPA PENGARUH

Kadangkala keyakinan sukar untuk dibina disebabkan begitu banyak pengaruh luar.

Ada satu cerita motivasi tentang ‘masyarakat’ katak yang menarik perhatian penulis.

Begini ceritanya…

Pada suatu hari sekumpulan katak terjatuh ke dalam lubang yang dalam. Semuanya berusaha untuk keluar dari lubang itu, tetapi tidak berjaya.

Hanya terdapat seekor katak yang sudah hampir dapat menyelamatkan diri untuk naik ke atas dan keluar dari lubang yang dalam itu.

Katak-katak lain yang penat dan berputus asa sementelah melihat rakan-rakan lain yang tidak berjaya naik, terus terduduk keletihan dan patah semangat.

Sedangkan katak seekor itu terus memanjat dan memanjat hingga akhirnya berjaya sampai ke puncak.

Tahu bagaimana kata seekor itu berjaya? ‘Dia’ sebenarnya katak yang pekak. Di saat katak lain mengeluh hingga mempengaruhi katak-katak lain, dia tidak mendengar alasan dan keluhan itu.

Jadi, dengar kata hati sendiri bukankah kadangkala lebih baik?

Dengan sendirian membolehkan kita membangunkan suara sahih berdasarkan nilai-nilai kita sendiri.

Suara ini menjadi lebih kuat dan mantap apabila kita ‘menanamnya’ dengan tegas dalam perkara yang paling penting kepada diri kita, bukannya di sekeliling kita.

Iklan

4. BEBAS BEREVOLUSI

Pemikiran yang selesa dan bertindak secara bebas dari rangkaian sokongan adalah kunci untuk menjalani kehidupan terbaik.

Apabila menghabiskan masa berseorangan semata-mata, kita bebas untuk bermimpi dan mencipta matlamat yang membolehkan kita berevolusi secara bebas daripada orang lain.

5. MENINGKATKAN PERSEPSI DIRI

Kehidupan kita mempengaruhi persepsi berdasarkan pengalaman dan emosi.

Apabila kita meluangkan masa untuk membuang diri dari pengalaman tidak enak dan menghabiskan masa memproses peristiwa yang bebas daripada emosi dan pengaruh, kita mendapat penjelasan mengenai pertimbangan yang kita buat pada awalnya.

6. MENGURANGKAN STRES DAN KEBIMBANGAN

Tekanan dan kebimbangan berlaku kerana pengaruh luar. Justeru, bersendirian dapat mengurangkan stres dan kebimbangan jika kita tidak meletakkan beberapa harapan pada mereka.

Hal itu hanya boleh berlaku apabila kita menghabiskan masa dengan diri kita sahaja.

7. MENYEDIAKAN PRIORITI

Adalah penting sentiasa menilai apa yang penting kepada diri kita. Cara terbaik untuk mengenali diri kita sendiri adalah menghabiskan masa dengan diri kita sahaja.

Iklan

Tanpa keutamaan yang bersaing dengan setiap orang di sekeliling kita, kita boleh menjadi nyata dengan diri kita.

8. KEPERLUAN PRODUKTIVITI

Apabila kita bersendirian, peluang itu membolehkan kita dapat menjelaskan impian, matlamat dan keutamaan diri dan mencari kegembiraan.

Keseronokan itu adalah motivasi yang mendorong kita ke dalam tindakan spesifik untuk menyokong matlamat dan keutamaan.

Ia membuatkan kita bersemangat untuk bekerja dan memberi kita tenaga untuk melakukan perkara-perkara yang menyokong rancangan besar kita.

9. MERAPATKAN HUBUNGAN

Percaya atau tidak, menghabiskan masa bersendirian membolehkan kita menyokong dan memperkuat hubungan dengan orang-orang yang paling penting kepada kita.

Apabila kita mempunyai masa untuk memahami dan menghargai diri kita, kita lebih mampu memahami dan menghargai orang lain!

Tidak dinafikan sebahagian masa kita perlulah bersama orang di sekeliling. Pandai-pandailah membahagikan masa itu.

Bagi yang bersendirian, manfaatkanlah masa di musim Perintah Kawalan Pergerakan di rumah bagi mengelakkan lagi jumlah mangsa yang positif virus Covid-19.

Selamat mencuba!