HIDUP sebagai seorang ibu tunggal yang membesarkan dua anak memang tidak mudah. Ada orang kata, ada apa dengan wang?

Benar, wang tidak boleh membeli bahagia, namun jika tidak mempunyai itu semua, bagaimana untuk membayar kos persekolahan anak dan rawatan perubatan?

Demikianlah nasib Azizah Yusoff yang mengakui hidupnya kini dilanda badai apabila terpaksa berseorangan membesarkan dua cahaya matanya masing-masing berusia 10 dan enam tahun.

Bukan tidak mahu berkerja, penyakit asma kroniknya menyulitkan pergerakan wanita itu.

KEADAAN persekitaran kediaman yang disewa oleh Azizah bersama dua anaknya. Masing-masing berusia 10 dan enam tahun.

“Asma saya semakin teruk sejak Perintah Kawalan Pergerakan Mac tahun 2020. Awalnya saya hanya rasa penat biasa, maklum sahaja bekerja sebagai tukang cuci kadangkala tugasan agak meletihkan. Namun, selang beberapa ketika, keadaan saya bertambah teruk sehingga tak boleh lakukan kerja berat.

“Saya cepat penat, sukar bernafas dan adakalanya menyebabkan saya pitam. Saya pernah cuba untuk mencari kerja lain, tetapi gagal. Siapalah yang mahu mengambil pekerja sakit untuk syarikat mereka?,” soalnya.

 

Baca juga: suami meninggal ketika hamil ibu tunggal jadi ketua keluarga sara 6 anak

 

Bercerita lanjut, Azizah memberitahu, penceraian di antara beliau dan suaminya sebenarnya baru disahkan pada Aidilfitri tahun lalu.

Akui Azizah, apabila hubungan terputus di tengah jalan, kehidupan sebagai ibu tunggal tidak betah, segalanya harus dipikul sendiri.

Perlahan menyusun kata, wanita tabah tersebut berkata, tiada sekelumit dalam sukmanya untuk memburuk atau mengaibkan sesiapa.

Apa yang diinginkan hanya sikap bertanggungjawab ke atas kedua-dua anak yang semakin membesar dan sudah mengerti apa makna kesusahan.

BEBERAPA barangan milik Azizah dan dua anaknya yang hanya menyewa sebuah bilik di Bandar Mahkota Cheras, Selangor.

“Kami cuba berbincang, tetapi masing-masing berdepan dengan masalah kewangan. Saya sedar anak-anak di bawah jagaan saya, tetapi sebagai bapa dia juga perlu memainkan peranan. Puas saya merayu dan memohon, tetapi sehingga ke hari ini, saya masih tidak menerima sebarang bayaran nafkah untuk anak-anak,” luah beliau pilu.

Masa depan anak-anak Kata-kata Azizah menjadi semakin meruntun perasaan tatkala beliau mula menyentuh tentang masa depan zuriatnya pada masa akan datang.

Disebabkan kekangan kemudahan untuk persekolahan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), si kecil itu beritahunya, tidak dapat meneruskan sesi persekolahan selama setahun lamanya.

AZIZAH yang tidak mampu bekerja akibat mengalami asma kronik bimbang masa depan anaknya memandangkan masih di bangku sekolah rendah.

Dengan berat hati, ungkap Azizah, beliau terpaksa ‘mencatu’ talian internet disebabkan kekangan kewangan.

“Saya sedar pembelajaran anak saya akan tertinggal jauh, tetapi saya hendak belanja makan pun, saya tiada duit, inikan pula mahu bayar internet.

“Untuk pengetahuan, saya tinggal di sini sebatang kara, tiada keluarga dan kedua-dua orang tua saya juga sudah meninggal dunia. Kami tiada tempat untuk dituju melainkan mengharapkan simpati dan pertolongan orang,” akuinya yang juga runsing apabila bayaran van sekolah anaknya sudah tertunggak kira-kira RM400.

Iklan

Mengenai bantuan, Azizah berkata, ARBA International Waqf (L) Foundation antara pihak yang banyak berjasa dengan keluarganya.

Wanita itu antara lain menerima bantuan bayaran sewa rumah sebanyak RM2,900 (bayaran untuk tujuh bulan), tunggakan sewa kediaman terdahulu (RM400) dan infaq Ramadan (RM450).

 

Baca juga: Suami meninggal dunia dua bulan lalu kini anak pula kemalangan ngeri. “Ya ALLAH selamatkan kaki anakku

 

Pertubuhan tersebut turut membantu dalam menyediakan kediaman secara sewa bilik buat keluarga tiga beranak itu di Bandar Mahkota Cheras, Selangor.

Iklan

Bagaimanapun, nasib Azizah sekeluarga masih belum diketahui memandangkan tempoh sewaan akan berakhir pada Disember 2021.

Bukan tidak mahu berusaha, keadaan kedua-dua belah kaki ibu malang tersebut semakin membengkak dipercayai kerana kekurangan darah dalam badan.

“Selain sering berulang alik ke klinik untuk mendapatkan ubat asma, doktor turut menyarankan saya mengambil vitamin sebagai makanan tambahan. Bila doktor beritahu saya begitu, fikiran saya hanya membayangkan bagaimana mahu menyuap nasi ke mulut anak,” ujarnya.

Sambil menahan sebak, keluh Azizah, sampai bila penduduk setempat dan pihak lain mahu datang membantu? Mahu membuka perniagaan sendiri, wanita itu tidak dapat meneruskan niatnya kerana tiada modal, ditambah kekurangan pengetahuan mengenai teknologi.

Kepada rakyat Malaysia yang prihatin, bantuan anda amat dialu-alukan untuk membantu ibu tunggal dua anak itu. Sekurang-kurangnya pertolongan ikhlas daripada masyarakat dapat merealisasikan impian Azizah untuk membuka perniagaan sendiri. Sumbangan boleh disalurkan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional 1419841100007676 atas nama Azizah Yusoff.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram