AKTRES popular Jennifer Aniston yang terkenal menerusi sitkom, Friends bagaikan tidak dimamah usia meskipun beliau kini sudah mencecah umur 52 tahun.

Aniston memberitahu, sejak kecil beliau sudah diasuh oleh ibunya, Nancy Dow agar tidak terlalu mengambil hidangan manis atau makanan segera.

Katanya lagi, Dow yang juga seorang selebriti popular di Amerika Syarikat menjadi antara individu yang bertanggungjawab dalam menjaga diet pemakanannya.

“Sejak kecil ibu sudah mengajar saya untuk mengambil pemakanan sihat seperti bijirin oat, buah-buahan dan minuman jus.

“Ibu juga mengajarkan saya untuk melakukan yoga pada setiap pagi agar lebih tenang dan menyihatkan tubuh badan,” katanya yang dipetik dari media antarabangsa, E!News.

Tambah pelakon filem Murder Mystery itu lagi, beliau mengamalkan air minuman dan makanan tambahan yang turut mengggandungi kolegen.

“Selepas bersenam saya akan mengambil minuman yang mengandungi kolegen agar dapat mengekalkan kesegaran tubuh dan memberikan tenaga.

“Makanan tambahan juga penting untuk saya terutama yang mengandungi kolegen,” terangnya.

Selain itu, Aniston juga mengatakan dirinya akan berjalan kaki bersama tiga ekor anjingnya, Clyde, Sophie dan Lord Chesterfield bersiar-siar pada waktu pagi.

Iklan

Bagi memberikan ketenangan dan bebas tekanan, Aniston akan melakukan yoga, meditasi dan tidak menggunakan media sosial untuk beberapa hari.

Aniston memberitahu, pengaruh media sosial secara tidak langsung dapat menjejaskan emosi dan membuatkan jiwa terganggu.

“Pelbagai perkara ada di media sosial. Jadi anda perlu bijak menggunakannya agar tidak berasa tertekan mahupun mengalami depresi gara-gara obsesi dengan media sosial.

Iklan

“Cuba kalian berikan masa untuk diri sendiri dan tidak terlalu mencari kesempurnaan di media sosial. Percayalah, anda akan berasa lebih baik daripada sebelumnya,” ujar Aniston.

 

Jangan lupa follow SinarPlus di Instagram