ISU makanan untuk orang pantang selepas bersalin sebenarnya sangat sensitif.

Kadangkala, ia boleh menjadi punca pergaduhan jika masing-masing ingin menegakkan pandangan sendiri.

Dalam masyarakat Melayu, ada dua jenis ayat yang biasa kita dengar. Tidak pastilah ia berbentuk sindiran atau bagaimana, terpulang kepada kita bagaimana mentafsirkan.

Dua frasa berkenaan adalah: ‘makanlah dulu, nanti esok-esok tua, baru menyesal’ atau ‘ikutlah badan masing-masing, meskipun baru sahaja dua hari berpantang’.

Membantu memberi pencerahan mengenai hal itu, Pensyarah Kanan Kimia, Universiti Teknologi Mara, ChM Dr Fatimah Salim berkongsi pandangannya menerusi Facebook beliau.

Kata Dr Fatimah, umumnya untuk individu yang berubah proses kimia badannya seperti ibu yang baru lepas bersalin, kesesuaian jenis makanan adalah bergantung kepada tahap penerimaan badannya.

“Tiada makanan yang patut dielakkan.

“Selagi tidak membawa mudarat, semua jenis makanan boleh dimakan dan ini termasuklah laksa, kuetiau, bihun dan nasi kerana bahan asas kepada kesemua menu berkenaan adalah kanji yang berasal daripada tepung beras, tepung gandum dan tepung ubi,” kata Dr Fatimah.

Pada masa sama, Dr Fatimah turut merungkaikan masalah mengenai kaitan makanan dengan angin dalam pantang yang sering diutarakan.

Tulisnya, kanji terdiri daripada rantaian polimer karbohidrat kompleks iaitu amylose dan amylopectin.

Struktur molekul amylose agak padat kerana ia terbentuk daripada rantaian mendatar molekul-molekul kecil glukosa (gula) dan setiap rantaian itu terikat antara satu sama lain secara helix melalui ikatan hydrogen (bayangkan tali yang dipintal).

Struktur molekul amylopectin pula agak longgar kerana rantaian molekul-molekul glukosanya ada yang bercabang.

“Maka, struktur helix yang terbentuk antara rantaiannya akan lebih longgar daripada amylose.

“Perbezaan pada struktur kedua molekul kanji ini menyebabkan amylopectin lebih mudah larut dalam air jika dibandingkan dengan amylose. Pun begitu, pengecaian (disintegration) molekul-molekul glukosa pada struktur amylose dan amylopectin adalah unik dan berlaku bergantung kepada suhu,” jelasnya.

Memberi gambaran mudah, Dr Fatimah menerangkan, semakin tinggi suhu, semakin longgarlah ikatan hidrogen dalam struktur helix molekul amylose dan amylopectin.

Proses itu akan memudahkan molekul-molekul air menyusup masuk membentuk ikatan hidrogen antara rantaian molekul-molekul glukosa tadi.

Keadaan tersebut akan menyebabkan kanji mengembang lalu membentuk gelatin atau dikenali sebagai proses pengelatinan kanji.

Tekstur gelatin yang diperoleh adalah bergantung kepada jumlah kanji jenis amylose dan amylopectin yang wujud dalam formulasi mi.

Jika amylose yang akan banyak, tekstur gelatin akan lebih lembut dan legap manakala jika amylopectin yang banyak, tekstur mi akan lebih kembang dan likat.

“Proses ‘pengelatinan’ sangat penting untuk melemahkan ikatan hidrogen antara rantaian molekul glukosa pada kedua struktur kanji.

“Ini akan memudahkan enzim dalam sistem penghadaman menguraikan kedua kanji ini kepada molekul kecil glukosa agar mudah diserap ke oleh usus kecil ke dalam badan,” beritahu beliau lagi.

Pun begitu, proses pembuatan mi yang mana dimasak dan disejukkan semula juga mempengaruhi struktur molekul amylose dan amylopectin.

Ia kerana proses itu akan mengalami penyusunan semula struktur rantaian helixnya menjadi lebih padat daripada struktur yang asal (retrogradation) dan akan menukarkan sifat kedua kanji itu kepada kanji degil (resistant starch) yang bermaksud sukar untuk diurai oleh enzim pencernaan.

“Maka tugas pencernaan akan diambil alih oleh beribu jenis bakteria yang terdapat dalam usus besar kita melalui fermentasi.

Baca juga Air liur mampu beri petanda jika tubuh kekurangan air, ini beberapa fakta penting yang perlu kita tahu

“Semasa proses fermentasi, bakteria akan menghasilkan bahan kimia berbentuk gas seperti gas hidrogen dan metana. Gas-gas ini kemudiannya akan dikeluarkan dari sistem usus besar sebagai kentut,” tambah Dr Fatimah.

Sekiranya gas itu tidak dikeluarkan, ia akan terus terkumpul atau terperangkap dalam usus yang juga dikenali dengan istilah ‘kembung perut’ atau orang kita bahasakan sebagai ‘angin’.

Kembang urat, alahan

Harus diingat ‘angin’ adalah ‘benda asing’ yang berada dalam badan, maka badan akan seboleh mungkin untuk mengeluarkannya dengan mekanisme yang mampu mengganggu keseimbangan proses kimia badan yang lain.

“Ketidakseimbangan kimia badan itulah yang akan menyebabkan kita berasa kurang selesa atau sakit pada bahagian tertentu. Keadaan inilah yang agaknya orang lama istilahkan dengan ‘kembang urat’,” tulisnya panjang lebar.

Sebenarnya tahap kesihatan wanita lepas bersalin adalah bergantung kepada perubahan kimia dalam badan atau lebih dikenali dengan perubahan fisiologi bagi mengadaptasi kandungan dan kelahiran bayi, kata pensyarah berkenaan.

Sehingga hari ini, tiada sesiapa pun yang betul-betul dapat pasti sepenuhnya kenapa sesetengah individu mengalami alahan yang teruk dan sesetengah orang tidak mengalami alahan semasa mengandung.

Namun demikian, teori yang paling popular dikaitkan dengan tindak balas badan individu terhadap bahan kimia (hormon) yang dihasilkan semasa mengandung adalah human chorionic gonadotropin (hCG).

“Suka untuk saya ingatkan bahawa mempraktikkan amalan pantang perlu juga mempunyai ilmu dan pengalaman yang wajar.

“Janganlah menidakkan semua jenis makanan kerana badan memerlukan nutrisi yang cukup sepanjang proses pemulihan dan ingat, jangan catu air minuman!,” pesannya.

Penting sekali, fahami ‘bahasa’ tubuh anda dan teliti dalam pengambilan makanan dan minuman jika anda seorang yang mudah sakit atau mudah terkesan dengan makanan.

“Mengamalkan ‘pantang’ ini tidak semestinya untuk wanita yang baru lepas bersalin saja.

“Mana-mana individu (termasuk lelaki juga) yang sakit dan perlu memulihkan badan perlu berpantang kerana proses kimia badan kita berubah disebabkan banyak faktor termasuklah usia. Sebab itu ada makanan yang kita boleh makan semasa muda, namun apabila meningkat usia menjadi sensitif kepada badan,” nasihat Dr Fatimah.

Oleh itu, berpantanglah ikut keperluan ‘semasa’ badan masing-masing, usah pukul rata semua jenis makanan. Semoga bermanfaat.