SELEPAS 14 tahun berkecimpung dalam industri seni, penyanyi dan pelakon, Hazama Azmi mengakui mencapai kepuasan dalam berkarya.

Atas faktor itu mendorong pemilik nama sebenar Hazama Ahmad Azmi, 36, ‘lari‘ seketika daripada bidang seni dengan menyertai dunia usahawan.

Cerita penyanyi yang popular dengan lagu Peneman itu, dia bersama isterinya, Genervie Kam, 40, berkolaboratif mengeluarkan minyak wangi di bawah jenama Mage.

“Ini adalah masa yang sesuai buat saya mencuba sesuatu yang berbeza daripada bidang muzik dan lakonan.

“Bagi saya secara peribadi, seni, fesyen dan wangian ini berada dalam satu bidang yang sama.

“Sejak 10 tahun lalu, saya sibuk merencana karier seni saya, bereksperimentasi dengan muzik, mencuba bakat dalam bidang lakonan.

HAZAMA
Hazama cuba sesuatu yang berbeza.

“Jadi saya mahu cuba sesuatu berbeza daripada rutin yang pernah saya buat. Kalau makanan agak sukar kerana memerlukan fokus hari-hari, tetapi wangian sebaliknya,“ katanya.

Tambah Hazama, Mage terdapat dalam lima wangian yang didatangkan berpasangan untuk lelaki dan wanita.

“Sepatutnya kami merancang untuk melancarkan Mage baru-baru ini tetapi atas sebab penularan wabak koronavirus (Covid-19), kami tangguhkan buat seketika,“ ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Hazama berkata, beberapa perancangan seperti konsert 4‘Gs bersama Akim Ahmad, Black dan Tomok yang dijadualkan berlangsung awal April nanti turut ditunda akibat Covid-19.

Tak tertekan soal anak

Iklan

Sementara itu, ditebak soal cahaya mata, Hazama berkata, dia dan Genervie berserah serta percaya kepada Qada dan Qadar.

Ujar Hazama, mereka juga sangat terbuka tentang soal cahaya mata dan tidak menjadikan persoalan anak sebagai satu tekanan.

“Kami sama-sama mencuba, berusaha, tapi anak itu rezeki daripada ALLAH SWT. Kalau ALLAH SWT dah tentukan kami dapat anak, kami terima dengan tangan terbuka.

“Kalau tak ada, saya percaya ada sebab mengapa ALLAH SWT tak beri. Cuma saya tak mahu jadikan anak sebagai satu trend.

Iklan
HAZAMA DAN ISTERI
Hazama bersama isterinya yang juga seorang pemuzik.

“Saya menikahi Genervie kerana saya mencintai dia. Kalau dapat anak, ia bonus. Buat masa sekarang saya enjoy masa bulan madu berdua.

“Bila orang tanya, saya jawab kerana anggap orang sayang dan ambil tahu pasal kita. Cuma kalau masa tak betul, saya akui ia mengundang perasaan kurang selesa. Tapi setakat ini saya tak pernah anggap soalan anak sebagai satu tekanan,“ jelasnya.

Hazama dan Genervie yang juga seorang pemuzik mendirikan rumah tangga pada 15 Januari 2017.