Hilang kaki, bukan semangat! Kisah tauke Onedha Lempaq Western bikin ramai termotivasi ubah nasib
ABDULLAH Affandi Md Yusop pernah dirundung kesedihan tidak terungkap tatkala diuji kaki kanannya dipotong hingga ke paras paha selepas terlibat satu kemalangan cukup mengerikan.
Malahan, zaman remaja anak kelima daripada 10 beradik itu tidak seindah orang lain apabila berkampung selama dua tahun di hospital selepas koma hampir dua minggu.
Namun, asbab daripada serpihan luka tersebut, lahirlah seorang lelaki berjiwa besar yang tidak pernah menjadikan kaki kudung sebagai alasan untuk berhenti menggapai impian menggunung.
Bahkan, setiap langkahnya adalah perjuangan cukup luar biasa dengan berbekalkan semangat dan kecekalan yang tidak pernah luntur.

Berkesempatan berbual dengan empunya diri baru-baru ini, Abdullah Affandi mengakui, setiap takdir yang tersirat mempunyai hikmah tersendiri meski perjalanan yang dilalui terlalu ranjau.
“Saya masih ingat lagi, sebelum kemalangan saya sebenarnya dalam perjalanan nak beli makanan untuk adik-adik tapi malangnya berlanggar dengan lori.
“Saya dibedah sebanyak 24 kali. Untuk kaki yang luka teruk penuh sisa kaca, enam kali diusung masuk bilik pembedahan. Selain itu, cedera parah pada muka, patah rahang, gigi, hidung dan dagu,” ceritanya yang menetap di Sungai Petani, Kedah.
Bukan mudah untuk bangkit, tetapi anak kelahiran negeri Jelapang padi itu berpegang kepada prinsip, selagi mampu berdiri, beliau akan terus melangkah walau bergantung sebelah kaki.

“Dalam tempoh nak pulih, saya memang buntu memikirkan nasib diri. Saya tak mahu menyusahkan keluarga, lebih-lebih lagi buat emak susah hati.
“Jadi, saya tebalkan muka cari kerja di butik sekitar Sungai Petani walaupun dengan keadaan serba kekurangan. Alhamdulillah, Butik Sri Busana Fitri terima saya sebagai pekerja sekali gus dapat ubah nasib diri,” katanya.
Berkat kemahiran menjahit manik, pakaian dan solekan pengantin, sedikit demi sedikit mengukuhkan namanya dalam bidang tersebut sejak lebih 20 tahun.

Dalam tempoh dua dekad itu juga, pemuda berusia 43 tahun itu menyimpan angan-angan untuk membuka bisnes makanan sendiri. Namun, dirinya belum ada kekuatan.
“Cuma sebelum Perintah Kawalan Pergerakan, saya cuba buat jualan makanan berkonsepkan kulinari Barat dari rumah dan tak sangka, sambutan cukup menggalakkan.

“Jadi, dengan modal RM300, saya nekad untuk mulakan tapak perniagaan. Syukur sangat, daripada tumpang rumah orang, akhirnya dapat sewa tiga lot kedai,” ujarnya dengan nada teruja.
Resipi 25 tahun
Percaya kelainan menu menjadi tarikan pelanggan, Abdullah Affandi memperkenalkan olahan resipi yang disimpan lebih 25 tahun sebagai formula pelaris Onedha Lempaq Western di Penaga, Pulau Pinang.

“Bertongkat tak membataskan saya menyajikan sajian istimewa buat pelanggan sambil dibantu 16 pekerja, bermula jam 4 petang hingga 11 malam.
“Antara set 'laku keras' seperti ayam, kambing dan stik panggang. Set spaghetti mix grill pun memang unik kerana lengkap dengan tiga pilihan kuah bolognese, carbonara dan lada hitam,” ujarnya.

Pemilik Onedha Lempaq Western itu juga mempelawa orang ramai untuk mencuba minuman signatur seperti soda herba laici, ribena laici dan koktail laici yang tidak lokek dengan isi buah melimpah.
Akui lelaki kurang upaya itu, kejayaan yang dimiliki adalah berkat usahanya yang tidak pernah putus-putus untuk membahagiakan ibunya, Zainab Mohammad, 74.

“Ibulah penguat semangat saya untuk terus berjuang. Saya berazam untuk menyenangkan hidupnya selagi nyawa masih dikandung badan,” katanya yang masih menerima tempahan khas untuk buasa dan solekan pengantin.
Sebelum menutup perbualan, Abdullah Affandi turut menitipkan pesanan sarat motivasi buat mereka yang senasib yang masih belum keluar daripada kepompong kemurungan.

“Percayalah, kita jangan sesekali putus asa dan terus berjuang. Jangan takut kalau jatuh, selagi boleh bangkit kita perlu maju. Paling penting, jangan cepat mengalah,” ujarnya lagi.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang

