Pemuda ini lakar kejayaan dengan sijil kemahiran bidang jahitan. 'Jangan putus asa anak gagal akademik, mungkin kecemerlangan di tempat lain'

No Image Caption
A
A
A

KEBANYAKAN ibu bapa meletakkan penguasaan akademik sebagai penanda aras kecemerlangan anak tanpa mengetahui kecenderungannya mereka adalah bidang kemahiran atau teknikal.

Perkongsian seorang wanita, Zeeda Aziz ini membuktikan jika minat disalurkan kepada sasaran betul, ia mampu menjamin masa hadapan yang cerah.

Daripada asrama penuh ke kolej kemahiran, anak muda dikenali sebagai Danish Izzad Farihin ini mampu melakar kejayaan sendiri.

"Hantaran ini untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak tidak berminat belajar di sekolah atau tidak cemerlang akademik.

"Dalam hal ini, anak saya Danish sebagai contoh. Beliau tidak memiliki Sijil Pelajaran Malayasia (SPM) namun dia memiliki dua Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2 dalam bidang jahitan," ujarnya.

Kongsi si ibu, berkat kegigihan si anak mendalami bidang tersebut, kini pemuda itu tidak mengharapkan orang lain untuk hidup.

"Alhamdulillah, Danish kini sudah mula bekerja. Dengan hanya sekali temuduga, beliau diterima untuk bertugas sebagai penasihat fesyen di sebuah butik mewah di Selangor.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

"Gajinya juga Alhamdulillah cukup baik yang membolehkan beliau untuk tinggal berasingan dan mula hidup berdikari," ujarnya.

Berkongsi perjalanan Danish untuk sampai ke tahap itu, jelas Zeeda keputusan besar yang dilakukan mengeluarkan anaknya dari sekolah berasrama penuh dan mendaftarkannya ke kolej kemahiran bukan mudah tetapi berbaloi.

"Tidak semua anak-anak meminati bidang akademik. Daripada empat orang anak saya, hanya dua mungkin cenderung akademik manakala dua lagi cenderung kemahiran.

"Danish dahulu pelajar sekolah berasrama penuh. Kamu kemudian membawanya pulang ke Sungai Petani dan bersekolah di sekolah berprestasi tinggi.

"Namun prestasi pelajarannya semakin menyusut terutama ketika negara menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Akhirnya saya dapat tahu yang dia cenderung bidang kemahiran, bukannya akademik.

No Image Caption

"Ketika di Tingkatan Empat, kami keluarkan Danish dari sekolah dan tempatkannya di Kolej KEDA. Di situ, Danish belajar asas jahitan pakaian wanita (Tahap Dua)," kongsi Zeeda.

Kongsinya, kolej berkenaan menawarkan program yang menarik dan tenaga pengajarnya bagus dan sangat menyokong para pelajar.

"Highly recommended! Aktiviti untuk pelajar pun menarik. Kemenjadian pelajar adalah di tahap yang boleh dibanggakan," katanya mengenai kolej yang terletak di Sik, Kedah itu.

Pembelajaran Danish tidak terhenti setakat itu apabila beliau melanjutkan pengajian di GiatMARA dalam bidang yang sama.

"Anak saya kemudian menyambung pengajiannya di GiatMARA Kuala Lumpur dalam bidang jahitan pakaian lelaki Tahap Dua.

"Danish seronok belajar di sana kerana kebanyakan peserta datang daripada pelbagai latar belakang dan umur. Peserta lebih tua daripada mommy pun ada katanya.

"Kursus itu hanya enam bulan dan tamat pada bulan Jun tahun ini," kata Zeeda.

Sejurus tamat tamat pengajian, Danish tidak mengambil masa panjang menganggur. Dua bulan kemudian beliau berjaya mendapat tawaran pekerjaan.

"Bulan Ogos Danish berjaya mendapat pekerjaan. Itupun anak saya hantar resume malam, pagi keesokannya sudah dapat panggilan temuduga.

"Seminggu selepas tu Danish menerima tawaran kerja tersebut. Graduan dalam bidang kemahiran insya-ALLAH cepat dapat pekerjaan," tambahnya.

Ibu kepada empat cahaya mata itu menyeru, ibu bapa yang memiliki anak kurang menguasai akademik tidak berhenti berusaha mencari peluang buat permata mereka.

No Image Caption

"Tuan puan, jangan rasa berputus asa jika anak anda tidak berminat dengan sekolah atau gagal akademik.

"Mungkin kecemerlangan mereka ada di tempat lain. Duduklah berbual dengan anak, tanya apa minat mereka. Kalau tak tahu minat apa, paksa sahajalah.

"Saya beritahu paksa itu (kadang-kadang perlu) kerana salah seorang graduan di Kolej KEDA tu adalah hasil dipaksa ibu bapa pada awalnya.

"Sekolah tidak mahu manakala minat pula tiada. Sudahnya ibu bapanya paksa anak tu masuk kolej dan ambil bidang yang nampak sesuai.

"Tapi, elok pula dalam terpaksa belajar tu menang pingat emas dalam World Skill Competition. Sekarang graduan tersebut bekerja dengan syarikat bertaraf antarabangsa. Jadi tidak salah paksa apabila keadaan mendesak ya, demi kebaikan masa hadapan mereka juga.

"Ibu bapa janganlah merungut andainya anak-anak tak menjadi seperti yang kita mahukan. Sebaiknya, kita fahamkan dahulu kekuatan kecenderungan mereka kerana setiap manusia ada potensi dan fungsi. Insya-ALLAH, sabar dan kefahaman kita tentang minat anak-anak akan menjadikan mereka insan berguna," katanya.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian itu sudah menerima 3,500 perkongsian dan lebih 2,700 tanda suka daripada warga maya. Rata-rata menyokong pendapat wanita itu dan mengucapkan selamat maju jaya buat Danish.

Sumber: Zeeda Aziz

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang