Kejam! Jasad ibu, anak perempuan dikelar dalam longkang, si bongsu 2 tahun dijumpai di pantai. Suspek bapa & suami positif dadah
TERLALU kejam! Demikian perkataan pertama terpacul daripada mulut penulis ketika membaca kisah anak-beranak ini.
Menyayat hati, tiga beranak termasuk ibu berusia 34 tahun dan dua cahaya mata menjadi mangsa dan maut dikelar suami sendiri!
Kejadian yang berlaku di Alor Setar ini menjadi bualan warga maya. Masakan tidak, dengan hanya penemuan mayat ibu dan anak perempuan di dalam longkang di belakang sebuah bangunan membongkar perbuatan tidak berperikemanusiaan lelaki bergelar suami dan bapa.
Berikut kronologi kejadian:
1-Dua mayat iaitu seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan di dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Isnin, 19 Ogos.
2-Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, mangsa masing-masing berusia 34 dan 10 tahun itu ditemui oleh orang awam sebelum bertindak menghubungi pihak polis pada jam 5.04 petang.
3- Kedua-dua mayat yang lengkap berpakaian, namun tanpa sebarang dokumen pengenalan diri ditemui mati dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain di dalam sebuah longkang kecil.
4-Polis juga mendapati ada kesan kelar pada leher di kedua-dua mayat berkenaan.
5-Hasil risikan pantas, polis berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun yang merupakan suami dan bapa kepada mangsa.
6-Lelaki terbabit berjaya ditahan di Masjid Bukit Pinang pada jam 9.05 malam pada Isnin. Seorang anak lelaki berusia lima tahun dijumpai selamat namun kelihatan trauma.
7-Pada 20 Ogos kira-kira jam 12 tengah hari, orang awam menemui mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang ditemui di Pantai Leman, Kuala Kedah.
8-Keadaan fizikal mayat kanak-kanak itu sempurna, namun terdapat kesan kelar pada leher.
9-Polis percaya kanak-kanak berkenaan turut menjadi mangsa bunuh suspek warga asing dalam kejadian pada Ahad dan tidak menolak adalah anak bongsunya.
10-Ia berdasarkan kesan kelar yang terdapat pada leher mangsa menyerupai kecederaan yang terdapat pada mayat dua beranak sebelum ini.
11-Jasad anak kecil itu di percayai dibuang ke dalam longkang di Jalan Pegawai (lokasi mayat ibu dan kakak) iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian sebelum hanyut ke laut.
12-Siasatan awal mendapati suspek yang juga gelandangan itu dipercayai mempunyai tiga orang anak.
13-Difahamkan, keluarga itu dipercayai baru sahaja seminggu mendiami bangunan kosong berdekatan lokasi penemuan mayat dua beranak sebelum ini.
14-Suspek memiliki seorang lagi anak lelaki berusia lima tahun yang turut dibawa bersamanya. Ketika ditemui, si kecil itu kelihatan trauma.
15-Tidak sekadar itu, hasil saringan awal air kencing mendapati suspek positif amphetamine, methamphetamine dan MOP.
16-Polis mengklasifikasikan jenayah berkenaan sebagai kes domestik dan tidak melibatkan sebarang jenayah terancang atau bersiri.
17-Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. Perintah reman dikeluarkan bermula Selasa hingga 26 Ogos depan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK).
SUSPEK SEMPAT MINTA KEBENARAN TIDUR DI MASJID
Imam Masjid Al-Hidayah, Bukit Pinang, Mohd Fauzi Bakar berkata suspek tiba di masjid berkenaan dan meminta bantuan imam itu merukyah anak lelaki berusia lima tahun kerana mendakwa kanak-kanak itu dirasuk hingga menyebabkan perut menjadi buncit.
Suspek yang berbaju dan berkain pelikat muncul di tangga di hadapan pintu masuk kira-kira jam 9 malam ketika Mohd Fauzi dan beberapa jemaah mahu keluar dari masjid untuk menghadiri majlis tahlil.
"Saya pegang kepala anaknya dan baca al-Fatihah dan ayat Kursi dalam dua tiga minit," katanya.
Imam berkenaan turut berkata, suspek turut meminta izin untuk bermalam di masjid itu namun prosedur masjid tidak membenarkan tidur di dalam.
"Kami minta tidur di luar dan dia minta pasang lampu,” katanya.
Mohd Fauzi berkata ketika itu suspek tidak mengetahui polis sudah menemukan mayat si isteri dan anak, malah kes itu sudah tular di media sosial.
Katanya, beliau kemudian meninggalkan masjid dan tidak tahu apa lagi yang berlaku kerana menganggap segala-galanya selesai berikutan kedatangan polis.
SinarPlus bersimpati dengan nasib wanita ini dan dua anaknya yang disyaki maut di tangan suami sendiri. Hati-hatilah kaum Hawa, walaupun dengan ahli keluarga terutama jika terkait dadah. Semoga kita semua dilindungi.
Sumber: Sinar Harian (Roshila Murni, Wan Mohd Nor Hafiz, 1), Buletin TV3
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang