'Kalau ada hati perasaan tolong ambush bilik 4-10.' Surat layang kes Zulfarhan tular, warganet luah ketidakpuasan hati
ENAM suspek utama kes pembunuhan Pegawai Kadet Laut, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain akhirnya dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Pemergian tragis Zulfarhan meruntun hati ramai. Tujuh tahun berlalu, surat layang dihantar saksi pendakwaan Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi, kembali tular di laman sosial X.
‘Kalau ada hati perasaan, ada sifat peri kemanusiaan, saya mintak sangat-sangat pergi ambush bilik 4-10, Blok Satria (depan masjid).
"Dalam tu, ada pesakit yang sangat-sangat perlukan rawatan segera. SEGERA!!! - Hamba ALLAH," titipnya.
Imbas kembali, Muhammad Aiman Aufa Asmadi Affendi mendedahkan bahawa dia telah menulis dua pucuk surat layang untuk memberitahu pihak atasan UPNM yang Zulfarhan Osman telah didera oleh rakan-rakannya selepas melihat mangsa terbaring dengan seluruh badannya menggelembung dipenuhi tompok kehitaman dan darah di bilik 4-10 asrama penginapan UPNM pada 22 Mei 2017.
Surat berkenaan dilayangkan selepas berbincang dengan seorang rakan sebiliknya yang dikenali sebagai Akmal Akif.
Surat layang pertama diselit di pagar Rumah Sakit Angkatan Tentera (Resat) pada 23 Mei 2017 manakala surat layang kedua diletakkan di bawah pintu bilik seorang jurulatih pada keesokan harinya.
Graduan Kejuruteraan Awam UPNM itu yang menjadi saksi pendakwaan kes Zulfarhan berkata surat layang itu juga bagi memastikan identitinya tidak terbongkar.
Muhammad Aiman Aufa pada 2018 memberitahu Mahkamah Tinggi yang mendengar kes Zulfarhan ketika itu bahawa dia memilih untuk menulis surat layang berbanding bersemuka dengan pihak atasan untuk memberitahu mangsa didera kerana tidak mahu menerima nasib yang sama seperti mangsa.
"Saya takut identiti diketahui," katanya ketika pemeriksaan semula Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah pada perbicaraan hari ke-13 kes itu.
Kepada soalan Othman, apakah yang ditakuti tertuduh sekiranya identitinya sebagai pengadu terdedah, saksi pendakwaan ke-23 itu berkata, "Saya mungkin akan kena sama macam arwah Zulfarhan".
Menjawab soalan adakah tindakan menghantar surat layang kepada pihak atasan itu mencukupi untuk membantu Zulfarhan Osman, Muhammad Aiman Aufa menjawab "tidak".
"Jika saya tahu dia akan meninggal dunia, saya akan bawa dia ke hospital," katanya.
Difahamkan surat berkenaan telah dibaca oleh tiga individu termasuk petugas pusat dan dua pegawai universiti.
Seorang pegawai telah bertindak melakukan pemeriksaan pada 8.50 hingga 9 pagi dan mendapati tiada orang dalam bilik tersebut kerana ketika itu para kadet menghadiri kelas
Namun surat berkenaan telah diketahui semua bilik 4-10 selepas jurulatih memasukkan ia kedalam mesej menerusi aplikasi WhatsApp hingga menyebabkan salah seorang penghuni bilik berkenaan yang juga suspek utama, Muhammad Akmal Zuhairi sempat memindahkan Zulfarhan ke bilik 4-06 atas alasan menumpangkan sementara waktu.
Kegagalan surat layang pertama menyebabkan Muhammad Aiman Aufa dan Akmal Akif bersepakat menulis surat layang kedua
Surat yang berbunyi 'Sila cari pegawai kadet laut Zulfarhan Osman' itu bagaimanapun telah ditemui oleh seorang penuntut lain.
Penularan semula surat berkenaan di laman sosial menimbulkan pelbagai ketidakpuasan hati dalam kalangan warga maya.
Ujar mereka:
"Sebab mesej itu tidak diambil serius. Kalau tiada masa pemeriksaan patut follow up dan buat pemeriksaan lanjut."
"Tindakan individu tersebut mungkin terlalu mengambil ringan sebab budaya ragging atau buli adalah normal di asrama. Sedangkan buli yang dilakukan adalah amat kejam. Walau apapun kes arwah telah menjadi iktibar dan tidak boleh mengambil ringan terhadap isu buli."
"They did their best trying to give surat layang while others not. Semua manusia pun takut kena buli."
"This is why we need whistle blower even dia nampak kepoci dalam perkara tiada kaitan dengan hidupnya so that some target audience notice something unusual happened."
"Mereka juga mesti dibawa ke muka pengadilan dan dihukum dengan hukuman berat atas kecuaian dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pihak yg berwajib atas keselamatan pelajar."
Selebriti Rita Rudaini juga meluahkan sokongan andai pihak bertanggungjawab berhubung kes Zulfarhan berhubung penerimaan surat layang itu diambil tindakan.
Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh Rita menerusi Insta Story meluahkan pendapat jurulatih perlu terima hukuman sewajarnya selepas bertindak kurang bijak kerana menularkan surat layang yang diterima menerusi aplikasi WhatsApp.
"Ya, warden yang hidup segan mati tak mahu ni memang patut diambil tindakan juga. Sama juga di mana-mana sekolah, asrama, universiti.
“Mengadu je mula mengata parents manjakan anak lah..eh hello! Parents hantar anak mereka bukan untuk dijadikan punching bag kat tempat tu!
“Saya menyokong pihak yang dapat surat layang dikenakan tindakan!” ujarnya tegas.
Semalam, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman gantung terhadap enam bekas penuntut UPNM iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali kerana membunuh pegawai kadet laut itu.
Sementara itu, mahkamah turut menggantikan hukuman penjara tiga tahun kepada empat tahun, terhadap 12 lagi bekas penuntut universiti sama kerana mencederakan Zulfarhan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang