'Memang terjun sendiri…” - Kematian masih disiasat, keluarga Zara tuntut penjelasan doktor beri kenyataan. Peguam buka mulut

No Image Caption
A
A
A

[DIKEMASKINI] KELUARGA Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, bakal mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang doktor susulan andaian punca kematian remaja itu.

Hal berkenaan dikongsikan individu berkenaan menerusi laman sosial Facebook yang turut menyebut bahawa arwah “memang terjun sendiri” dari bangunan sekolah.

Penyebaran kenyataan ini secara meluas telah mencetus pelbagai andaian serta membangkitkan kemarahan orang ramai, khususnya dalam kalangan ahli keluarga.

Menurut hantaran di Facebook oleh ahli keluarga mangsa, Syira Leizel Janice Abdullah, tuduhan berkenaan dianggap tidak berasas sama sekali dan amat tidak sensitif terhadap situasi mereka yang sedang dilanda kesedihan.

Selain tuduhan 'terjun sendiri,' antara perkara yang ditulis individu berkenaan adalah penafian tentang jenazah masih utuh yang dakwanya membawa kepada unsur keajaiban.

No Image Caption

"Mohon pihak hospital memantau dan beri peringatan kepada staf yang membuat ulasan awal berkaitan punca kematian arwah Zara Qairina.

"Keluarga hanya mahu semua kenyataan dibuat selepas siasatan forensik lengkap, bukan andaian yang boleh mengelirukan orang awam," kongsi Syira Leizel.

Artikel Berkaitan:

Menerusi ruangan komen, wanita itu mendedahkan pihak keluarga kini sedang mendapatkan nasihat peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu berkenaan.

Warganet mencadangkan mengambil tindakan undang-undang atas pelanggaran Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) dan mengemukakan aduan rasmi kepada Majlis Perubatan Malaysia.

"Ya, perkara ini sedang diuruskan melalui saluran undang-undang yang sewajarnya. Terima kasih," titipnya pada ruangan komen.

No Image Caption

Menerusi hantaran terdahulu, Syira mendedahkan pihak keluarga mengingatkan orang ramai agar tidak membuat kenyataan yang memberi peluang untuk penyebaran fitnah.

"Siasatan masih berjalan dan setiap pihak yang membuat kenyataan awam tanpa bukti sedang meletakkan diri mereka dalam risiko undang-undang. 

"Kesalahan atau kelalaian hanya boleh ditentukan melalui siasatan rasmi, bukan melalui spekulasi peribadi. 

"Perlu diingat, apa-apa kenyataan menuduh tanpa asas boleh dianggap mengganggu siasatan serta membuka ruang kepada tindakan fitnah," titipnya.

Bagaimanapun, peguam Hamid Ismail yang mewakili ibu Allahyarham Zara ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan kenyataan mendakwa Noraidah mengarahkannya untuk mengambil tindakan saman adalah tidak benar.

"Tidak betul (kenyataan itu)," katanya ringkas melalui aplikasi WhatsApp.

Sekadar info, bedah siasat ke atas jenazah  telah selesai pada 10 Ogos lalu selepas prosedur ekshumasi dilaksanakan sehari sebelumnya.

Bedah siasat dijalankan atas permintaan polis, disertai tiga doktor dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dan Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu.

Zara ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan berhampiran asrama sekolah pada pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) keesokannya.

Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli.

Sumber: Facebook

 

 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang