Nenek saudara kini penjaga adik Zayn Rayyan. Ibu bapa boleh jumpa, tapi ada syaratnya...
NENEK saudara kanak-kanak autisme, Allayharham Zayn Rayyan Zaim Ikhwan yang menjadi mangsa pembunuhan Disember tahun lalu kini menjadi penjaga adiknya, Zahin Mateen, 5.
Nenek saudara kanak-kanak itu, Nurul Ikrimah Mohd Raya diberi hak penjagaan sementara selama dua bulan sehingga 4 Oktober depan.
Keputusan ini selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].
Keputusan itu diumumkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman selepas proses perundingan antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan peguam keluarga, Nurul Ikrimah Mohd Raya yang berlanjutan selama satu jam.
Berikut adalah maklumat berkaitan hak penjagaan kanak-kanak itu:
1-Majistret Muhammad Syafiq menetapkan bapa Zayn Rayyan iaitu Zaim Ikhwan Zahari, 29, dan ibu, Ismanira Abdul Manaf, 29, boleh bertemu anak kedua mereka itu dengan mematuhi beberapa syarat iaitu antaranya meluangkan masa tidak lebih lapan jam serta sebanyak sekali dalam masa seminggu.
2-Zaim dan Ismanira juga perlu membawa kanak-kanak itu bagi proses terapi khas, sekali setiap bulan.
3-Sepanjang tempoh perjumpaan, pelindung kanak-kanak itu (ibu saudara Zaim) perlu berada bersama.
4-Pasangan itu boleh membuat panggilan video pada bila-bila masa, secara tanpa had.
TIDAK HENTI PELUK CIUM
Pertemuan Zaim dan Ismanira bersama anak kedua mereka berlangsung sayu.
Kerinduan selama lebih dua bulan tidak tertanggung lagi, pasangan itu tidak putus-putus mencium serta memeluk kanak-kanak berkenaan.
Keputusan berkenaan menceriakan keluarga kecil itu.
14 Jun lalu, Zahin ditempatkan di bawah jagaan sementara pihak JKM selepas jabatan tersebut memperoleh perintah jagaan sementara terhadap kanak-kanak itu.
KEMANUSIAAN, KEADILAN KANAK-KANAK DIUTAMAKAN- NANCY
Pada 15 Jun lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dilaporkan berkata, JKM dalam proses mengenal pasti penjaga mutlak selepas mahkamah memberikan perintah penjagaan sementara kepada JKM selama dua bulan hingga 9 Ogos.
Dalam perkembangan terbaru, Nancy berkata apa yang dilaksanakan oleh JKM adalah selaras dengan peruntukan undang-undang serta tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kami. Semua prosedur yang dijalankan adalah demi kepentingan terbaik kanak-kanak tersebut semata-semata.
"Pada hari ini, 9 Ogos 2024, Mahkamah Bagi Kanak-kanak (MBKK) Shah Alam, setelah menimbangkan, antara lain syor oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), telah mengeluarkan perintah jagaan sementara ke atas adik kepada Allahyarham Zayn Rayyan, kepada Orang Yang Layak dan Sesuai (OYLS), yang juga merupakan waris keluarga, untuk tempoh interim dua bulan.
"Keputusan ini selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].
"Sebelum ini, kanak-kanak tersebut telah diletakkan di bawah jagaan Pegawai Pelindung JKM Selangor atas arahan Mahkamah sejak ibu dan bapa Allahyarham Zayn Rayyan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 13 Jun 2024 bagi pertuduhan di bawah perenggan 31(1)(a) Akta 611," katanya.
Malah, menurutnya walaupun OYLS diberikan hak penjagaan interim, JKM akan terus memantau perkembangan dan keadaan kanak-kanak itu.
"Saya ingin menegaskan bahawa nilai-nilai kemanusiaan, keadilan, dan kesejahteraan untuk semua terutama kanak-kanak mesti sentiasa diutamakan. Pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa komited agar kebajikan dan hak kanak-kanak dilindungi.
"Saya juga menyeru kepada masyarakat untuk melaporkan sebarang kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak melalui Talian Kasih 15999 atau WhatsApp 019 261 5999 serta menghubungi pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia," katanya lagi menerusi kenyataan.
Terdahulu, Zayn Rayyan dilaporkan hilang dari kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada 5 Disember 2023 sebelum ditemukan mati pada jam 10 malam keesokannya.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang