BERBUAL dengan Hamemah Ismail, 55, membuatkan penulis tidak kering gusi. Meleraikan sejarah tentang kuih yang dinamakan sebagai Che Abas Demam dengan penuh kesungguhan membuatkan wawancara penulis bersamanya dipenuhi hilai tawa.

Kuih Che Abas Demam, kata wanita yang handal di dapur itu, berasal dari Terengganu. Ia berupa adunan sagu yang dipotong dadu dan digandingkan dengan kuah yang rasanya seperti laksam.

Namun, apa kena-mengena nama Che Abas dengan kuih itu? Kenapa ada nama orang dan mengapa ada perkataan demam?

“Kisah kuih ini panjang sebenarnya. Che Abas Demam merupakan simbolik kepada bukti kasih, cinta dan sayangnya seorang isteri di Terengganu yang setia menjaga suaminya ketika demam panas. Dia sanggup buat apa sahaja demi tidak menghampakan permintaan tambatan hatinya itu,“ katanya memulakan cerita kepada SinarPlus baru-baru ini.

Hamemah meneruskan penceritaannya. Ujarnya, Encik Abas berasal dari Sarawak namun menetap di Kampung Maras, Terengganu dan bekerja sebagai penebang pokok sagu.

“Mahu dijadikan cerita, pada satu hari, Encik Abas demam dan kebetulan orang kampung ada kenduri. Laksa disajikan kepada tetamu dan laksa itu juga makanan kegemaran Encik Abas.

“Disebabkan terikat dengan nasihat orang dulu-dulu kononnya orang demam tak elok makan mi laksa yang dimasak dalam acuan tembaga, isterinya gantikan (mi laksa) dengan sagu untuk dimakan dengan kuah isi ikan. Si isteri tak mahu hampakan selera suaminya yang sukakan makanan itu (laksa),“ ceritanya.

Artikel berkaitan: Dodol dalam kon? Ini rupanya celorot yang orang Sarawak suka makan tu

Ajaibnya, lelaki itu terus jatuh cinta dengan ‘kekreatifan‘ isterinya.

Bukan sahaja untuk suaminya, wanita itu turut menjamu jiran yang datang bertandang dengan sajian ‘demam‘ suaminya.

“Dari situlah, sagu yang dimakan dengan kuah laksa menjadi bualan ramai dan gurauan sehingga sajian itu mendapat jolokan Che Abas Demam,“ katanya.

Isi ikan dibakar

Hamemah memberitahu SinarPlus, kisah klasik itu diceritakan oleh neneknya, Halus Long atau Su Halus sejak beliau kecil lagi.

Keterujaan mendengarnya membuatkan pembantu tadbir itu belajar membuatnya.

Seawal usia 13 tahun, beliau sudah arif memasak kuih berkenaan.

“Resipi kuih ini diajar oleh arwah nenek yang dulu memang penjual kuih dan masakan Terengganu. Rasa kuah ini tiada bezanya dengan kuah laksam yang lain.

che abas demam

“Cuma yang uniknya, Nenek Su Halus ajar saya panggang ikan, rasanya memang sedap berbanding dengan isi ikan yang dikukus,“ katanya.

Iklan

Selain itu, satu petua untuk memastikan menu itu sedap dimakan, pastikan kuah berkenaan dididih sepenuhnya dengan api yang perlahan bagi mengelakkan santan berketul.

“Oh! Kenangan bangun seawal jam 2 pagi untuk menyiapkan juadah ini untuk dijual masih tersemat kemas dalam ingatan saya. Nenek Su Halus juga suka ajar cucu-cucunya masak pelbagai jenis masakan gulai dan nasi dagang selain kuih tradisional seperti kuih qasidah, sagon, nekbat, baulu, akok dan penganang,“ imbaunya.

Tidak mahu resipi tradisional itu tidak lapuk ditelan zaman, Hamimah berbesar hati berkongsi resipi kuih berkenaan dan variasi sajian menerusi blognya, hamemah.blogspot.com.

che abas demam

RESIPI kuih Che Abas Demam

Bahan-bahan

Iklan
  • 4 cawan tepung sagu
  • 8 cawan air
  • 2 cawan gula

Cara-cara:

  1. Campurkan ketiga-tiga bahan tersebut dalam periuk.
  2. Masak dan kacau sehingga pekat.

Bahan untuk kuah

  • 1 biji kelapa (ambil santan)
  • 6 ulas bawang merah
  • 2 ekor ikan kembung/selayang
  • Sedikit halia
  • Sedikit halba
  • Garam secukup rasa

Cara-cara:

  1. Ikan dipanggang, ambil isinya dan hancurkan.
  2. Campurkan kesemua bahan dan masak hingga pekat.
  3. Kacau sehingga santan tidak berketul
  4. Sejukkan dan masukkan ke dalam bekas.
  5. Potong sagu mengikut selera masing-masing, kemudian masukkan ke dalam kuah untuk dihidangkan.