SEBUT sahaja namanya, pasti buat ramai yang geli hati.

Masakan tidak, nama kuih kerbau guling atau kuba guling (panggilan orang Kelantan) ini membuatkan penulis membayangkan haiwan ternakan berwarna kelabu gelap itu berguling-guling bermandikan lumpur di tengah bendang sawah.

Entah bagaimana nama itu boleh dikaitkan dengan sajian persis kuih kaswi tersebut. Sungguhpun begitu, teksturnya lebih lembut bersama aroma arang tempurung kelapa.

Ya! Kuih yang pernah tular luar biasa di Rantau Panjang, Kelantan itu berasaskan ekstrak arang daripada tempurung kelapa yang dibakar pada suhu yang tinggi.

Sebab itu jika dilihat pada warna hitam likatnya dan diselaputi dengan isi kelapa parut, sangat berbeza berbanding sajian kuih tradisional lain yang seakan-akan seperti kuih ulat bulu, kaswi mahupun onde-onde.

Selain rasa nikmat seolah-olah cair di mulut, juadah yang sangat popular ketika bulan Ramadan itu mempunyai keunikan tersendiri.

Tidak keterlaluan jika dikatakan itu satu-satunya kuih yang menggunakan arang atau bahasa saintifiknya, activated charcoal berasaskan tempurung kelapa.

kerbau guling

Anak jati Tumpat, Kelantan, Wan Muhammad Hafiz Abdul Satar mengakui ramuan istimewa kuih kerbau guling membuatkan sajian itu sering dicari ramai orang jika berkunjung ke Kelantan.

“Jika tidak pandai masak dan menggunakan arang tidak betul-betul dibakar pada suhu yang tinggi, lain rasanya. Ada yang lembik dan ada juga rasanya tidak sedap. Sebab itu, aroma arang tempurung kelapa itu membuatkan rasa lebih nikmat.

“Saya pernah buat sendiri kuih ini menggunakan arang tempurung kelapa. Memang kena pastikan tempurung kelapa dibakar sehingga menjadi arang dalam tempoh yang lama. Bukan mudah untuk dapatkan activated charcoal itu kalau tidak penyabar orangnya,“ katanya kepada SinarPlus.

Artikel berkaitan: Resipi kek tembikai manis, lembut dan gebu tapi tak berjus

Menyifatkan cara pembuatan kerbau guling tidak serumit yang disangka, bapa kepada tiga cahaya mata itu pernah menggunakan arang batang buluh sebagai pengganti arang tempurung kelapa.

Baru kenal

“Bagi yang ingin mencuba buat kuih ini, bolehlah nak guna serbuk arang buluh dari Jepun yang boleh didapati di kedai menjual barangan kek. Sebab kalau duduk bandar, nak bakar tempurung kelapa ini leceh sikit.

“Hanya campur kesemua bahan, kacau sebati kemudian panaskan menggunakan api perlahan sehingga adunan berubah menjadi likat. Tuang ke dalam loyang dan biarkan sejuk dulu barulah gulingkan dengan isi kelapa parut. Cuma rasanya tidak sama seperti guna arang tempurung kelapa,“ jelasnya.

Artikel berkaitan: Jantung pisang bantu masalah diabetes dan kurang sel darah merah

Iklan

Usahawan produk sambal itu sebenarnya baru mengenali kewujudan sajian tersebut tujuh tahun dahulu.

Kerana minat dalam bidang masakan terutamanya resipi tradisional, tambah Wan Muhamad Hafiz, beliau tidak ketinggalan membuat kajian mengenai sejarah kuih kerbau guling tersebut dan cara membuatnya.

“Lelaki pun suka memasak ya, bukan orang perempuan saja. Seronok dapat belajar resipi unik kuih kerbau guling ni. Kalau beli, memang peniaga akan letak dalam bekas loyang besar. Biasanya siap dipotong-potong memanjang.

“Bila pelanggan datang beli, mereka akan ambil potongan besar dan diguling-gulingkan dalam bekas berisi kelapa parut. Dengan warna hitam berkilat selain aroma wangi kelapa ‘bakar‘, pasti membuatkan orang yang merasainya akan teringat-ingat,“ ujarnya tersenyum.

kerbau guling

Iklan

RESIPI KUIH KERBAU GULING

Bahan-bahan

  • 250 gram tepung beras
  • 150 gram tepung jagung
  • 3 sudu besar tepung pulut
  • 1/2 sudu besar serbuk arang tempurung kelapa/buluh
  • 1/2 sudu besar kapur makan
  • 1/2 cawan santan pekat
  • 200 gram gula
  • 1 liter air
  • secubit garam

(Tip: Arang tempurung kelapa dibancuh dengan air dan ditapis sebelum dimasukkan dalam adunan)

Cara-caranya:

  1. Campurkan kesemua bahan dalam satu bekas.
  2. Kacau sebati semua bahan sebelum panaskan menggunakan api perlahan.
  3. Pastikan adunan berubah menjadi likat sebelum api dimatikan.
  4. Tuang ke dalam loyang dan biarkan sejuk dulu.
  5. Adunan yang sudah sejuk boleh digaul dengan isi kelapa parut.
  6. Siap untuk dihidangkan sebagai juadah minum petang.