MENURUT statistik National Center for Health Statistics, Amerika Syarikat, kira-kira 15 peratus rakyat negara itu menderita angin pasang atau hernia.

Di negara membangun pula, kira-kira 25 peratus lelaki dan wanita (2 peratus) menderita penyakit sama dengan nisbah tujuh lelaki berbanding satu wanita, lapor Medindia.

Meskipun bayi berpotensi mendapat hernia, tiada statistik spesifik yang dinyatakan oleh kebanyakan sumber perubatan sahih.

Namun, apa yang pasti, angin pasang boleh berlaku kepada si comel seawal usia setahun dan hanya 2 hingga 10 peratus insiden yang lebih daripada umur itu.

Menurut MyHealth, hernia berlaku apabila kandungan dalam satu-satu ruang badan (biasanya abdomen) membonjol keluar dari kawasan yang sepatutnya.

Kredit foto: Andrea Piacquadio

Kandungan yang dimaksudkan membabitkan sebahagian usus atau tisu lemak abdomen yang dilapisi oleh lapisan nipis (membran) yang juga akan membentuk kantung hernia.

Bagi mendapatkan penjelasan menyeluruh tentang penyakit global itu, SinarPlus menemubual Pakar Perunding Am, Pembedahan Usus dan Laparoskopik, Avisena Specialist Centre, Selangor, Dr Lukman Mohd Rashid.

Sebelum berbicara lanjut, Dr Lukman berkongsi beberapa penyebab berlakunya hernia.

Antaranya seperti masalah obesiti, mengangkat objek berat, mengalami batuk yang kronik, sembelit atau meneran semasa buang air kecil dan besar.

Selain itu, ia boleh terjadi jika individu memiliki penyakit paru-paru kronik dan sakit kulit. Pesakit kencing manis juga berpotensi mendapat angin pasang.

Kredit foto: Nataliya Vaitkevich

Healthline dalam penulisannya menambah, bayi pramatang, wanita hamil (kondisi ini menyebabkan tekanan dalam dinding perut meningkat), tabiat merokok dan genetik turut mempengaruhi.

Hernia pula diklasifikasikan kepada beberapa jenis. Berikut huraiannya:

1. Inguinal hernia: Sebahagian besar iaitu kira-kira 70 peratus dihidapi oleh lelaki. Hernia jenis ini dibahagikan kepada hernia langsung dan tidak langsung. Kedua-duanya dibezakan dengan punca kejadian.

Antara hernia langsung dan tidak langsung, ia kelihatan serupa semasa membonjol di kawasan kelangkang. Di Malaysia, kebanyakan kes angin pasang yang dirawat adalah daripada hernia jenis ini.

2. Hiatus hernia: Organ yang terletak pada perut dipisahkan dari organ yang berada pada dada (otot-otot diafragma). Jika ada titik lemah pada diafragma, organ perut dapat menonjol melalui tempat itu.

3. Incisional hernia: Pembedahan abdomen boleh mengakibatkan dinding abdomen berubah dari segi struktur terutama pada bahagian yang dihiris.

Ia menyebabkan kawasan bekas hirisan menjadi lemah dan di kawasan itulah boleh terjadi hernia.

4. Umbilical hernia: Lazimnya, dialami bayi akibat lubang tali pusatnya yang belum menutup sempurna. Ia terjadi ketika sebahagian usus menonjol melalui otot dekat dengan pusar.

Angin pasang terbelit

Kredit foto: Pixabay

Mengulas lanjut, Dr Lukman berkata, gejala-gejala yang dialami adalah berlainan bagi setiap individu.

Mungkin ada pesakit yang mengalami tanda-tanda ringan. Kepada yang kurang bernasib baik, tahap keterukannya sehinggakan benjolan tidak boleh disentuh atau apabila ditekan, ia masuk balik ke ruang abdomen.

Menurut MyHealth, pada peringkat itu, kemungkinan besar pesakit mungkin akan demam. Hal berkenaan tercetus adalah akibat kandungan benjolan seperti usus berdepan dengan isu kekurangan bekalan darah akibat himpitan salur darah di lubang bukaan hernia. Kondisi sedemikian dikenali sebagai angin pasang terbelit (strangulated hernia).

Mengulas lanjut, jelas Dr Lukman, terdapat dua lagi gejala angin pasang iaitu angin pasang tidak surut dan angin pasang terbelit. Berikut dikongsikan simptom-simptom dan komplikasi yang boleh dialami pesakit.

i) Angin pasang surut

Kredit foto: Polina Tankilevitch

Muncul benjolan apabila seseorang berdiri, batuk, berdeham dan meneran. Bonjolan itu boleh masuk semula apabila mereka baring atau menolak menggunakan tangan.

ii) Angin pasang tidak surut
Lazimnya benjolan yang timbul tidak boleh masuk semula ke dalam abdomen walaupun ditolak dengan tangan. Usus masih boleh berfungsi dengan baik, tetapi ia berpotensi menyebabkan komplikasi angin pasang terbelit.

Mengulas lanjut, Dr Lukman berkata, angin pasang terbelit merupakan satu keadaan yang berbahaya kerana usus yang terperangkap di dalam kantung boleh menyebabkan bahagian tersebut reput atau mati.

“Pesakit diminta jangan berlengah, segera dapatkan rawatan dan mungkin pembedahan kecemasan diperlukan bagi mengelak sebarang komplikasi termasuk boleh menyebabkan kehilangan nyawa.

“Pun begitu, pada peringkat awal, ia tidak berbahaya, tetapi memang perlu dirawat kerana penyakit itu tidak akan sembuh dengan sendirinya,“ kata beliau.

Penyelesaian efektif

Menyentuh soal rawatan, Pakar Bedah Am, Hospital Pakar KPJ Rawang, Dr Foo Siang Lin berkata, berdasarkan pengalaman, pesakit yang datang biasanya sudah mula rasa sakit dan pembengkakan sudah pun berlaku di kawasan hernia.

Kredit foto: EVG Kowalievska

“Apa yang kami lakukan adalah melaksanakan pemeriksaan benjolan terhadap kawasan hernia pesakit, kemudian barulah pilihan rawatan yang selanjutnya dapat dirancang dengan lebih baik,“ katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menjawab pertanyaan mengenai sikap masyarakat yang taasub dengan kepercayaan kononnya angin pasang boleh disembuhkan dengan teknik urutan tradisional, demikian jawapan pakar itu:

“Orang ramai perlu faham bahawa secara asasnya, hernia terjadi disebabkan terdapat ruangan terbuka yang menyebabkan abdomen atau usus terkeluar dari tempat asal.

“Mengurut boleh memasukkan kembali benjolan hernia, tetapi kebarangkalian untuk angin pasang terjadi lagi sangatlah tinggi.

“Selain itu, komplikasi yang lebih buruk juga boleh berlaku. Antaranya usus dalaman boleh pecah sekiranya ia tersumbat dan boleh mendapat tekanan melalui urutan tadi.”

Iklan

Sehubungan itu, nasihat Dr Siang Lin, pembedahan merupakan jalan yang terbaik untuk menyembuhkan penyakit berkenaan.

Selepas menjalani prosedur, pesakit sudah boleh melakukan aktiviti secara normal.
Berita baiknya, risiko untuk hernia terjadi balik selepas menjalani rawatan adalah sangat rendah.

“Bahkan, hernia itu sendiri tidak akan mengganggu kesuburan seseorang. Pun begitu, pesakit perlu lakukan rawatan segera sekiranya sudah mengesan tanda-tanda awal hernia.

Kredit foto: Pavel Danilyuk

Mencari jawapan jika seseorang membiarkan masalah hernia tanpa pemantauan sewajarnya daripada pihak doktor, SinarPlus merujuk penulisan Cleveland Clinic.

Portal itu berkata, angin pasang tidak sesekali akan hilang dengan sendirinya, selain Umbilic hernia yang berlaku ke atas bayi.

“Seperkara yang perlu diketahui pesakit, hernia boleh menjadi lebih besar dan menyakitkan serta pesakitnya boleh mengalami komplikasi. Sebagai contoh, jika Inguinal atau Femoral hernia yang tidak dirawat mungkin membuatkan usus seseorang tersangkut (di saluran inguinal), menyebabkan loya, muntah, sakit perut dan benjolan yang amat menyerikan di pangkal paha.

“Insiden ‘tercekik‘ juga boleh terjadi apabila sebahagian usus terperangkap, sekali gus boleh menyekat bekalan darah. Dalam kes sedemikian, pembedahan kecemasan (dalam tempoh beberapa jam selepas berlaku) perlu dan penting bagi mengelakkan kematian tisu,“ jelas Cleveland Clinic yang menjadi sumber rujukan pakar perubatan lokal dan antarabangsa.-NUR SUHAIMA NORDIN

#kesresponden

Baca juga: Merokok punca kulit kusam, mati pucuk

Baca juga: Isteri luah rasa sedih suami kembali merokok. Pakar perjelas implikasi asap rokok terhadap orang sekeliling

‘Bukan sahaja susah nak tidur, batuk dan berdiri pun rasa sakit’

Iklan
Kredit foto: cottonbro studio

SEORANG pesakit angin pasang atau hernia yang mahu dikenali sebagai Azli, 35, mengakui sudah lama menderita penyakit tersebut sejak tujuh tahun lalu.

Pun demikian, sikap acuh tidak acuhnya membuatkan beliau tidak mengambil pusing tentang penyakit itu, apatah lagi mendapatkan rawatan .

Ujar Azli, pekerjaannya yang terdahulu sebagai pembuat air di sebuah syarikat dan memerlukannya mengangkat kotak-kotak yang berat merupakan antara punca utama beliau menderita hernia.

“Saya memang terasa kelainannya ketika membawa bebanan yang berkilo-kilo. Kadang-kadang saya juga rasa senak dan tak selesa. Apabila saya melakukan pemeriksaan kendiri, saya dapati terdapat benjolan pada bahagian alat sulit,“ ujarnya.

Walaupun menyedari ditimpa penyakit berbahaya itu, Azli tidak mengendahkannya. Ini kerana selepas mendapat pekerjaan baharu, rasa sakit yang dialami semakin berkurangan.

“Namun, sejak kebelakangan ini, saya diminta memikul barang-barang berat lagi dan keperitan lama kembali menghantui saya. Kali ini, saya sukar untuk tidur malam dan memang jadi tak keruan lebih-lebih lagi ketika batuk, waima berdiri pun,“ cerita lelaki itu lagi.

Pekerja swasta tersebut yang turut mempunyai apendiks berkata, pakar turut menyarankan beliau untuk menjalani pembedahan angin pasang disebabkan kondisinya yang sudah teruk.

“Kalau ikutkan perancangan, insya-ALLAH saya akan lakukannya selepas pembedahan apendiks. Seperti diminta, saya cuba kurangkan tugas mengangkut benda berat lagi,“ kata Azli sambil memberitahu bahawa beliau mewarisi penyakit hernia daripada ayahnya yang telah menjalani prosedur beberapa tahun lalu.

Baca juga: Mengejutkan, bayi perempuan berusia setahun lebih dikesan ada angin pasang

Baca juga: Celine Dion hadapi penyakit tak dapat diubati, 6 fakta Stiff Person Syndrome yang perlu diketahui

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi