SIAPA sangka Perlis kini mempunyai ladang bunga matahari yang tidak kurang hebatnya, terletak di Taman Ular dan Reptilia, Sungai Batu Pahat kini menjadi destinasi pilihan bagi pelancong domestik.

Suasana indah berlatarkan panorama Banjaran Nakawan menerusi bukit Sungai Batu Pahat pastinya memukau para pengunjung yang ingin meluangkan masa di sini, sekali gus menjadi lokasi terbaik untuk merakam kenangan sambil dikelilingi pokok bunga matahari yang kembang mekar, untuk dikongsi dalam media sosial.

Ini terbukti apabila ladang bunga matahari milik Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dengan keluasan 1.21 hektar itu mencetuskan fenomena luar biasa setelah mencatatkan lebih 15,000 pengunjung dari dalam dan luar negara dalam tiga bulan pertama dibuka sejak akhir Disember tahun lalu.

Memetik laporan media tempatan, Pengurus Besar PKENPs Norsiake Kassim berkata, kebanyakan pengunjung terdiri daripada golongan remaja.

“Kebanyakan pelawat datang pada hujung minggu iaitu Jumaat, Sabtu dan Ahad. Kami berharap jumlah pengunjung domestik akan bertambah apabila sektor pelancongan dijangka pulih dalam masa beberapa bulan ini,” katanya.

Mengimbas kembali idea untuk membuka ladang itu, Norsiake berkata, pada asalnya kawasan taman itu adalah lembah (tanah mendap dan berair) serta tidak digunakan, bagaimanapun kakitangan unit publisiti dan promosi PKENPs mahu memanfaatkan kawasan itu sebagai produk alternatif dengan menanam pokok bunga matahari.

“Pada 2017 dan 2018, Pengurus Korporat PKENPs Hasmadi Ibrahim membelanjakan wang sendiri untuk membeli biji benih tempatan, namun percubaan menanam pokok itu tidak menjadi selain tiada kepakaran.

Iklan

“Pada 2019 kami cuba benih jenis ‘oil’ dari Thailand dan alhamdulillah, setelah tiga kali percubaan, benih dari Thailand ini beri kesan positif sesuai dengan faktor cuaca dan tanah di sini,” katanya.

Sementara itu, petugas Taman Ular dan Reptilia, Azmilah Kassim, 36, berkata, proses penanaman pokok bunga matahari memakan masa selama dua bulan dengan penyemaian biji benih dibuat secara berperingkat bagi memastikan pokok terus tumbuh dan tidak terputus.

Iklan

Katanya, penjagaan pokok itu juga mempunyai cabaran apabila tanah yang mendap perlu sentiasa digembur selain turut terdedah dengan kehadiran serangga perosak seperti siput dan ulat serta memerlukan pemantauan berterusan.

Korang nanti bila jejak kaki ke bumi Perlis, bolehlah singgah tengok sendiri keindahan lading bunga matahari cuma apa yang penting jangan lupa patuhi SOP.