SURIA menerusi platform digitalnya akan memeriahkan lagi sambutan hari raya Aidilfitri pada tahun ini dengan seleksi program hiburan istimewa untuk pendengar setianya.

Menurut Pengurus Kanan Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, pengisian kandungan untuk perayaan kali ini lebih kepada berkongsi dan bergembira bersama.

Biarpun sambutan hari raya pada tahun ini tidak akan sama seperti selalunya, namun tidak semestinya ia tidak boleh disambut meriah.

“Suria ingin memberikan dan berkongsi kegembiraan kepada pendengar-pendengar setia dengan menawarkan pengisian yang menarik dan ringkas.

“Pendengar boleh menikmati program hiburan sempena Hari Raya dan menyertai peraduan digital kami dengan lebih santai pada bila-bila masa di mana sahaja,” ujar DJ Lin.

Antara program yang dinantikan ialah drama pendek Baju Melayu Abah yang akan disiarkan pada 21 Mei, jam 9 malam di saluran Youtube SuriaTV dan Facebook Suria FM. Sebuah drama berkonsepkan komedi yang sarat dengan mesej positif dan nilai kekeluargaan.

Diikuti dengan program Riuh Raya Akustika Suria yang berkonsepkan nyanyian lagu-lagu raya secara akustik daripada barisan artis popular tanahair.

Iklan

Antara yang terlibat ialah Ara Johari, Lan Solo, Siti Nordiana, Nabila Razali, Aina Abdul, Naim Daniel, Zizi Kirana, Tuah Adzmi, Ariff Bahran, Afieq Shazwan, Sarah Suhairi, Luqman Faiz serta penyampai-penyampai Suria.

Riuh Raya Akustika Suria akan disiarkan pada hari raya pertama, jam 9.00 malam.

Program-program lain pula terdiri daripada Selera Raya Suria Bersama Cik Piah (20 Mei; 10 pagi), Carta Raya Suria Coolblog (23 & 24 Mei; 10 pagi), Suria Hujung Minggu (24 Mei; 6-10 pagi), Team Pagi Suria Raya (25 Mei; 6-10 pagi), Gaya Suria (25 Mei; 10 pagi – 3 petang) dan Suria Petang (25 & 26 Mei; 3 petang – 7 malam).

Iklan

 

(FOTO: Suria FM)