JIKA ramai yang meluahkan rasa sedih kerana tidak dapat beraya di kampung halaman masing-masing, penyampai radio Suria FM, Tyzo pula sebaliknya.

Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris mengakui sudah terbiasa berhari raya di ibu kota kerana tuntutan kerja. Malah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kata Tyzo dia sering menggunakan cuti hari raya untuk ke luar negara.

“Balik beraya di kampung bukanlah satu kemestian dan boleh diraikan di mana-mana sahaja, apa yang penting kita faham pengertian hari raya.

“Jadi bila tahun ini kita beraya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan tidak dibenarkan rentas negeri untuk balik kampung, saya OK saja.

“Pagi raya, saya menghubungi ibu untuk beraya dan memohon maaf macam biasa. Sekarang zaman teknologi, jarak bukan lagi satu alasan untuk kita berhubung,” katanya.

Berkongsi kenangan raya yang paling diingatinya, kata penyampai slot Suria Petang itu, pada tahun lalu, dia berkesempatan menjelajah beberapa negeri termasuk negara Thailand tanpa dirancang pada cuti hari raya.

“Tahun lepas saya dan kakak sekeluarga beraya di Kuala Lumpur, namun ada suatu hari yang kami rasa bosan sangat dan tidak tahu mahu ke mana.

“Saya secara random buat keputusan melakukan perjalanan merentasi beberapa negeri untuk melihat suasana sambuatn raya di tempat lain.

“Kebetulan kakak, abang ipar dan anak-anaknya mahu ikut sekali dan kami memandu kereta menuju ke Kedah, Perak dan masuk ke Thailand sebelum singgah di Kelantan dan Terengganu,” katanya yang sebelum ini pernah menyambut hari raya di Bali Indonesia.

Iklan

Menurut Tyzo, pada tahun ini, dia hanya meraikan Aidilfitri bersama anaknya, Noah Zachri yang kini berusia lima tahun. Kata Tyzo, jika bukan dalam tempoh PKPB sekalipun, dia sentiasa memilih raya yang sederhana.

“Tahun ini, saya dan anak tak beli baju raya pun. Kami pakai sahaja apa yang ada. Lagi hanya raya di rumah dan tidak ke mana-mana.

Iklan

“Walaupun masih kecil, tapi anak mungkin dah faham cara saya kerana saya memang seorang yang ringkas sahaja,” akuinya.

 

(FOTO: Suria FM)