AIDILFITRI kali ini tentunya disambut berbeza oleh pelawak dan penyampai radio, Issey Fazlisham. Bukan sahaja kerana beraya dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tetapi ia merupakan kali pertama beraya tanpa ibu tersayang.

Menurut Issey, 32, pemergiaan ibunya pada Julai tahun lalu sangat dirasai, apatah lagi ketika menjelang 1 Syawal.

“Pertama kali raya tanpa ibu memang terasa sangat kosong dan tidak tahu nak gambarkan macam mana.

“Bila dekat raya macam ini, saya mula teringat rutin dan kesibukan ibu membuat persiapan raya.

“Kenangan ketika ibu masih ada asyik bermain dalam kepala. Rindu dan sangat sedih bila tak dapat beraya bersama ibu lagi,” luah Issey.

Pun begitu, anak kelahiran Kelantan ini berkongsi rasa syukur apabila pada tahun ini dia kembali beraya sebagai seorang suami. Perkahwinannya dengan isteri, Noor Aini atau Aimi pada 22 Disember lalu ternyata memberi sinar baharu dalam kehidupannya kini.

“Alhamdulillah tahun ini saya raya sebagai seorang suami dan bapa kepada tiga orang anak. Pelbagai perancangan dibuat untuk sambut Aidilfitri, termasuk hasrat mengambil cuti seminggu lebih awal daripada biasa.

“Bagaimanapun siapa sangka kita tiba-tiba diuji dengan penularan pandemik Covid-19 dan kemudiannya menjalani PKP sejak Mac lalu.

“Saya dan isteri tidak dapat beraya bersama disebabkan dia pulang ke Kelantan atas urusan kerja dan berkesempatan beraya bersama anak-anak. Saya pula beraya sendirian di Kuala Lumpur kerana tidak boleh merentas negeri,” katanya.

Iklan

Menurut Issey, situasi dan keadaan yang tidak dijangka itu membuatkan dia bakal meraikan Aidilfitri dengan cara yang cukup sederhana.

“Persiapan raya paling sederhana yang pernah saya buat berbanding sebelum ini. Semuanya serba ringkas.

Iklan

“Mungkin persiapan dari segi emosi yang perlu saya berikan tumpuan kerana kali ini saya meraikan raya sendirian tanpa orang-orang yang saya sayang,” katanya yang mengendalikan slot Suria Pagi di Suria FM.

 

(FOTO: Suria FM)