PELAKON terkenal Hollywood, Tom Hanks dan isteri, Rita Wilson yang pernah dijangkiti Covid-19 berharap darah mereka dapat membantu melawan virus pandemik itu.

Tom menerusi temubual bersama podcast ‘Wait, Wait… Don’t Tell Me!’ memberitahu dia dan isteri yang juga seorang penyanyi bersedia untuk memberikan darah mereka selepas kajian mendapati darah mereka mempunyai antibodi yang diperlukan untuk melawan virus terbabit.

“Kami baru dimaklumkan kami merupakan pembawa antibodi itu.

“Tetapi buat masa ini prosedur itu belum lagi bermula. Kami bersedia untuk memberikan plasma secepat mungkin  dengan harapan ia mampu membuahkan hasil,” katanya.

Pasangan itu antara individu berprofil tinggi yang terawal dijangkiti Covid-19 dan jatuh sakit ketika berada di Australia semasa pembikinan filem biopik Elvis Presley.

Selepas dirawat dan dikuarantin, pasangan itu akhirnya pulih dan dibenarkan pulang ke kediaman mereka di Los Angeles.

Iklan

Semasa ketibaan mereka di Amerika Syarikat, Hanks, 63, dan Wilson, 63, terbabit dalam kajian perubatan untuk menentukan sama ada antibodi mereka berguna untuk saintis mencipta vaksin.

Iklan

SUMBER :CNN