Salamiah Hassan 34 tahun bebas kanser: 'Kuat bukan untuk diri sendiri, tapi orang yang kita sayang'

No Image Caption
A
A
A

PENYANYI legenda, Salamiah Hassan, membuka kisah perjuangan panjangnya sebagai survivor kanser payudara selama 34 tahun.

Mengimbas kembali detik awal dirinya dikesan menghidap penyakit itu ketika berusia 40 tahun, Salamiah berkata, segalanya bermula dengan ketulan kecil di bahagian ketiak yang disangka tidak berbahaya.

“Pada mulanya ketulan itu kecil sahaja, saya ingat akan hilang tapi lama-lama jadi sebesar bola golf. Tangan kiri saya mula kebas dan setiap petang badan rasa demam serta tidak sedap badan.

"Bila saya buat carian tentang tanda-tanda kanser, semuanya sama. Masa tu saya terduduk dan rasa tak percaya,” katanya ketika ditemui di kempen Nivea Moments of CARE di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hasil pemeriksaan doktor mengesahkan Salamiah menghidap kanser payudara tahap awal. 

Meskipun begitu, dia memilih untuk merahsiakan perkara itu daripada keluarga.

“Saya tidak mahu mereka risau atau menangis. Tapi lama-kelamaan anak perempuan mula perasan sebab saya muntah, cirit-birit, rambut gugur, mulut pecah dan urat jadi hitam kerana rawatan kemo. 

"Selepas itu barulah mereka tahu keadaan sebenar,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Anak perempuan tunggalnya, Atilia antara individu terawal yang mengetahui masalah kanser dihadapi Salamiah.
Anak perempuan tunggalnya, Atilia antara individu terawal yang mengetahui masalah kanser dihadapi Salamiah.

Kini setelah lebih tiga dekad bebas daripada penyakit itu, Salamiah kekal menjadi inspirasi buat ramai wanita dengan kekuatan mental dan spiritualnya.

Dia menitipkan pesanan agar wanita tidak takut untuk melakukan pemeriksaan kesihatan awal kerana pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa.

“Saya nasihatkan wanita di luar sana, beranikan diri. Jangan takut untuk buat pemeriksaan. Kalau kesan di peringkat awal, masih boleh dirawat.

"Sama macam kereta kalau rosak sikit, boleh dibaiki. Tapi kalau dibiarkan, makin teruk.

"Kita kena lawan, jangan menyerah. Kalau kita sayang orang yang kita nak tinggalkan, anak-anak yang sedang membesar, kita kena kuat. Kuat bukan untuk diri kita, tapi untuk orang yang kita sayang,” tegasnya.

Salamiah berkongsi pengalamannya semasa kempen Nivea Moments of CARE di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Salamiah berkongsi pengalamannya semasa kempen Nivea Moments of CARE di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam menjaga kesihatan, penyanyi yang terkenal dengan lagu Gelombang itu turut mengamalkan gaya hidup sihat dan berhati-hati dalam pemakanan seharian.

“Dulu saya memang jaga makan, tapi sekarang lebih ketat. Saya tak akan minum air dari botol plastik, kalau boleh minum dari botol kaca.

"Kalau air plastik tertinggal dalam kereta, jangan minum sebab bahan kimia dari botol boleh bercampur dengan air,” jelasnya yang juga menolak penggunaan bahan makanan proses seperti santan kotak, sebaliknya memilih cara tradisional.

Bercerita tentang bagaimana mengatasi perasaan sedih dan rasa putus asa sepanjang tempoh rawatan, Salamiah mengakui hanya kepada ALLAH tempatnya mengadu.

“Bila kita rasa ‘down’, bercakaplah dengan ALLAH. DIA dengar dan tolong. Kalau kita cerita pada orang, mereka dengar tapi tak boleh bantu.

"Apa saja jadi, saya terima dengan ikhlas.

Kalau hilang sesuatu, saya tak akan meratap. Kita kena reda dan percaya pada qada dan qadar ALLAH. Yang baik kita syukuri, yang buruk kita doa dijauhkan. Itu prinsip hidup saya,” katanya menutup bicara.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang