Penting pelihara, jaga kesihatan otak

No Image Caption
A
A
A

APABILA sebut penjagaan diri, mesti terlintas tentang rawatan luaran secara fizikal, dari hujung rambut sampai hujung kaki. Namun, perasan atau tidak, jarang antara kita yang memperkatakan tentang penjagaan otak.

Otak manusia, selain daripada badan adalah antara bahagian penting yang perlukan perhatian teliti.

Seperti perumpamaan Pakar Bedah Otak dan Saraf, Hospital Pantai Sungai Petani, Dr Lai Chuang Chee, yang menterjemahkan fungsi otak bagaikan ‘nyawa‘ yang menggerakkan seluruh operasi tubuh manusia.

Bermula daripada tindak balas kognitif, reseptor deria rasa sehinggalah kepada mengingati memori seperti tarikh penting dalam hidup anda.

Oleh yang demikian, wajar seorang manusia memelihara organ yang paling kompleks dalam tubuh badan sebelum terlambat. Paling malang, apabila memerlukan seseorang itu menjalani pembedahan otak.

“Kebanyakan kes pembedahan otak yang sering berlaku lebih kepada kecederaan yang berpunca daripada kemalangan, terjatuh atau kecederaan domestik seperti kepala terhantuk atau terkena kipas manakala kecederaan industri melibatkan dihempap sesuatu ketika sedang bekerja.

“Ada juga kes lain seperti strok yang mana berlaku gangguan dalam salur darah pada otak kerana pendarahan mahupun tersumbat. Selain itu, lain-lain penyakit yang memerlukan pembedahan otak seperti ketumbuhan, kanser, cecair berlebihan dalam otak dan jangkitan nanah otak yang mana ia bergantung kepada tahap serta rawatan yang diperlukan,“ kata Dr Chuang Chee.

Tambah beliau, kecederaan di bahagian otak boleh dikategorikan sebagai ringan, sederhana dan serius mengikut tahap kesedaran pesakit terlebih dahulu. Pesakit perlu melalui kaedah imbasan otak (CT scan) untuk mengenal pasti kedalaman kecederaan otak, kemudian rawatan yang wajar dapat dilaksanakan sama ada perlu melalui pembedahan ataupun pemantauan.

Pembedahan otak secara amnya dilakukan untuk mengeluarkan penyakit dalam otak seperti darah beku, ketumbuhan, nanah, ataupun cecair otak berlebihan. Bagi kes strok pendarahan otak, pembedahan yang dilakukan sebenarnya sukar untuk mengembalikan fungsi otak yang rosak akibat pendarahan.

Namun, ia lebih kepada menyelamatkan nyawa pesakit dengan mengurangkan saiz darah beku dan tekanan dalam otak dengan harapan bahagian otak lain yang tidak terjejas boleh dapat diselamatkan.

Sekiranya pendarahan otak yang sangat besar berlaku, tekanan di dalam otak boleh menjadi terlalu tinggi dan menyebabkan aliran darah daripada jantung ke bahagian otak terganggu. Akibat gangguan tersebut, kejadian otak mati boleh menyusul.

Membukatempurungkepala

Burrhole (kecil): dilakukan melalui lubang kecil yang ditebuk di bahagian tempurung kepala. Bertujuan mengeluarkan darah beku atau cecair berlebihan ataupun keluarkan sedikit sel untuk proses biopsi bagi mengenal pasti penyakit- penyakit tertentu.

Craniotomy (besar): teknik membuka tempurung kepala untuk proses pembedahan dan pasang semula setelah siap prosedur.

Craniectomy: tempurung kepala yang dibuka tetapi tidak dapat dipasang semula pada masa yang sama berikutan keadaan otak membengkak. Tulang tersebut biasanya disimpan dalam peti sejuk ataupun perut pesakit.

Cranioplasty: Dalam tempoh tertentu, apabila otak kembali pulih dan kurang bengkak serta sesuai untuk pemasangan balik tempurung kepala.

Pembedahan besar pula seringkali dilakukan dalam kes kecederaaan otak atau terdapat pendarahan otak, dengan tujuan untuk mengeluarkan darah beku dan mengurangkan tekanan dalam otak.

Malah, pembedahan itu dilakukan walupun boleh membawa risiko komplikasi kecederaan pada otak dan saraf.

“Pembedahan perlu dijalankan dengan teliti dan berhati-hati. Walau bagaimanapun, kawasan otak yang rosak akibat kecederaan atau pendarahan sukar untuk dipulihkan. Otak yang cedera boleh mengakibatkan strok, koma, sehingga mengakibatkan kematian.

“Pesakit perlu menjaga bahagian luka dengan baik bagi mengelakkan jangkitan kuman. Mereka juga berisiko terkena sawan selepas pembedahan dilakukan. Oleh sebab itu, pesakit akan dibekalkan dengan ubat mencegah sawan,“ tambah Dr Chuang Chee.

No Image Caption

Strok otak secara amnya boleh dibahagikan kepada strok pendarahan atau strok salur darah sumbat. Strok pendarahan otak atau dipanggil haemorrhagic stroke sebenarnya mempunyai banyak jenis. Perkara ini juga boleh berlaku biasanya akibat tekanan darah tinggi yang tidak terkawal sehingga menyebabkan salur darah halus pecah dan berdarah yang mana turut mengakibatkan strok.

Terdapat juga situasi dipanggil cerebral Aneurysm, iaitu pembengkakan atau benjolan pada dinding saluran darah yang menyalurkan darah ke bahagian otak. Ia terjadi kerana terdapat bahagian pada dinding salur darah tertentu lemah sehingga kadang kala boleh pecah (ruptured cerebral Aneurysm) seterusnya menyebabkan pembentukan darah beku di dalam otak.

Strok iskemik pula atau dikenali sebagai ischaemic stroke, berlaku apabila terdapat salur darah otak tersumbat yang mana ia boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan cair darah. Jika strok iskemik terlampau besar ataupun terdapat pendarahan, rawatan pembedahan otak mungkin diperlukan.

Namun, menurut Dr Chuang Chee, tidak semua pendarahan yang berlaku akan menyebabkan strok. Ia bergantung kepada lokasi berlakunya pendarahan.

Pendarahan akibat darah tinggi biasanya berlaku di lokasi penting otak yang menyebabkan fungsi kawalan pergerakan kaki tangan, kawalan deria rasa, kawalan keseimbangan mahupun pertuturan terganggu. Sesetengah pendarahan di pangkal otak (brain stem) pula boleh menyebabkan strok koma dan kematian.

Dari sudut lain, berlaku pendarahan di kawasan otak yang kurang penting dan pesakit mungkin cuma mengadu sakit kepala, namun ia tidak menunjukan sebarang tanda- tanda strok yang ketara.

No Image Caption

Langkah-langkahmenjaga

kesihatan otak:

Memakai perlindungan kepala ketika di jalan raya atau bekerja di lokasi berisiko.

Kurangkan stres pada badan

Perbanyakkan terlibat dalam aktiviti sosial.

Memastikan tidur yang cukup (enam hingga lapan jam sehari)

Mengamalkan pemakanan yang sihat.

Tidak merokok dan mengambil alkhohol dan dadah.

Kesimpulannya, jika otak rosak atau tidak dapat berfungsi dengan sempurna, ia akan menjejaskan kehidupan kita sepanjang hayat.

“Otak adalah organ paling penting yang memberi kita ‘nyawa‘ dan kesedaran diri di dunia ini, yang mana dalam setiap langkah pemikiran dan pergerakan dikawal oleh organ tubuh tersebut,“ ujar pakar itu lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang