Imbasan 2020: Pelitup muka mewarnai industri fesyen lokal, global

December 30, 2020
Oleh Izyan Liyana

MENELITI tahun-tahun sebelum ini pelitup muka lazimnya digunakan dalam kalangan pasukan perubatan dan penduduk di negara dilanda jerebu ataupun wabak yang merebak menerusi titisan pernafasan.

Pun begitu, susulan penularan pandemik Covid-19 di seantero dunia, secara tidak langsung telah menyebabkan graf permintaan terhadap alat pelindungan itu meningkat berkali-kali ganda.

Siapa sangka, pada era moden hari ini topeng muka kembali menjadi signifikan bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Walhal, menurut penulis buku History of Surgical Face Masks, John L. Spooner, topeng muka mula digunakan sejak kurun ke-19 bagi tujuan perubatan melindungi penduduk di China daripada dijangkiti wabak pneumonik.

Sementera itu, di Jepun dan Korea Selatan pula alat pelindung terbabit dipakai ketika kedua-dua negara itu berdepan dengan pencemaran udara melampau.

Kini selain berfungsi menghalang bersin atau batuk daripada individu bergejala virus Covid-19, pelitup muka turut menjadi salah satu aksesori tambahan dalam industri fesyen baik di peringkat lokal mahupun global.

Justeru, sebelum tahun 2020 meninggalkan kita, segmen Sihat Cantik SinarPlus berkongsi lima jenama fesyen yang mengambil inisiatif menghasilkan topeng muka berkualiti mengikut rekaan semasa.

Dalam memenuhi selera fesyen pengguna wanita dan lelaki, jenama -jenama berkenaan amat menitikberatkan aspek fabrik, desain dan perincian.

1- Louis Vuitton

topeng muka


Difahamkan, LVMH yang merupakan pemilik jenama Louis Vuitton (LV), Dior, Givenchy dan Fendi telah mengupah seramai 300 pekerja tambahan untuk projek topeng muka topeng kanvas jenama LV.

Kos pembuatan topeng muka yang menerapkan corak monogram nuansa coklat klasik gelap itu mencecah harga RM7,690.50.

Direkodkan, sebelum melancarkan topeng muka, LV turut membantu memerangi Covid-19 dengan menghasilkan 100,000 topeng setiap minggu sebelum diagihkan kepada pasukan perubatan.

Iklan

2- Hermes

topeng muka
Rumah fesyen Perancis tersebut menggunakan inovasi terkini menghasilkan topeng muka yang berasaskan koleksi selendang keluaran mereka sebelum ini.

Pelitup muka konsep glamor, feminin dan menawan itu ideal digayakan ketika bersantai sambil menikmati secawan latte panas.

3- GAP

topeng muka
Gap antara jenama yang aktif mengeluarkan topeng muka khas untuk orang dewasa dan kanak-kanak pelbagai rekaan dan fabrik.

Iklan

Menerusi dalam laman webnya pihak GAP terlebih dahulu memberi amaran bahawa alatan perlindungan diri itu tidak sesuai digunakan untuk anak kecil di bawah usia dua tahun.

4- Jovian Mandagie

topeng muka
Pereka tersohor negara, Datuk Jovian Mandagie turut menghasilkan pelitup wajah untuk kegunaan orang ramai dan ratu sehari. Berasaskan kain renda warna putih, topeng muka karyanya tampak kemas pada wajah susulan potongan dan jahitan teliti.

5- Rizman Ruzaini

topeng muka
Pereka fesyen duo popular negara, Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil (Rizman Ruzaini) tidak terkecuali melancarkan kit beg mini mengandungi topeng muka bersama cecair pembasmi kuman.

Penutup hidung dan mulut keluaran Rizman Ruzaini bukan hanya untuk wanita, malah golongan jejaka juga berpeluang tampak segak memakai alat pelindung berkenaan.

Sumber: Internet dan instagram pereka fesyen