Dari mesin jahit terpakai ke beg eksklusif Perdana Menteri: Fesyen Kai Hung menyatukan budaya dan kreativiti dalam setiap jahitan

No Image Caption
A
A
A

SETIAP jahitan adalah langkah ke arah merealisasikan impian. Sesuatu yang bermula sebagai hobi kini menjadi karya yang penuh jiwa, melambangkan kreativiti, budaya dan menjadi sumber pendapatan selain dikenali ramai.

Demikian juga bagi Chew Kai Hung, semuanya bermula ketika berusia 10 tahun, saat beliau meminta ibunya mengajar jahitan tangan untuk satu tugasan Kemahiran Hidup di sekolah.

Dari situ, cinta anak muda berusia 26 tahun itu terhadap dunia fesyen mula bersemi.

“Minat saya terhadap jahitan semakin mendalam selepas itu. Ketika berusia 11 tahun, ibu bapa menghadiahkan mesin jahit terpakai dan ayah mengajar cara menggunakannya.

“Dengan mesin itu, saya mula menjahit beg kecil sebagai hobi menggunakan baju lama untuk menyimpan alat tulis ke sekolah.

“Jahitan telah menjadi hobi saya dan ketika di tingkatan satu, saya sudah bertekad untuk menjadi pereka fesyen,” ujarnya ketika ditemu bual SinarPlus baru-baru ini.

No Image Caption

Usai tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), anak kelahiran Pulau mutiara itu kemudiannya melanjutkan pelajaran dalam Diploma Teknologi Reka Bentuk Fesyen di Equator College, Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

“Di sini, minat saya berkembang menjadi kepakaran. Semasa pandemik COVID-19 pada tahun 2020, saya menamatkan pengajian dan mula mereka beg dari rumah, berkongsi karya di media sosial.

“Ketekunan itu akhirnya membuahkan hasil apabila salah satu video saya tular di TikTok. Siapa sangka itulah yang menjadi batu loncatan untuk saya akhirnya membina jenama sendiri,” ujar pereka beg mesra yang mesra disapa Kai Hung.

Bagi memastikan ilmu penuh di dada, beliau kemudiannya menimba pengalaman bekerja ketika masih lagi belajar di bawah Micheal Ooi, seorang pereka fesyen di Pulau Pinang.

Mengakui dirinya bukan penggemar minimalis, sebaliknya beliau lebih menjurus kepada rekaan yang membawa elemen berani dan ceria.

“Saya sentiasa tertarik dengan warna-warna terang dan fabrik yang unik. Ketika belajar fesyen di kolej, saya sering memilih kain seperti lace, kain berkilat, dan kain corak bunga. Rekaan yang lebih berani dan mencuri perhatian jadi pilihan saya.

“Oleh sebab itu, elemen-elemen ini menjadi ciri utama dalam rekaan beg saya. Beg PU leather (kulit tiruan) yang saya hasilkan biasanya berwarna terang dan bold dan saya suka menggabungkannya dengan kain seperti lace, Batik, Songket, Tweed atau kain netting.

“Pelanggan saya amat menghargai keunikan ini. Sebagai contohnya, beg kuning terang saya menjadi antara rekaan yang paling popular kerana ia jarang ditemui,” kongsi Kai Hung lagi.

Eksplorasi fabrik

Bukan itu sahaja, projek yang beliau peroleh sering melibatkan eksplorasi fabrik dan konsep.

“Salah satu rekaan istimewa adalah beg dokumen yang melambangkan perpaduan kaum di Malaysia. Fabrik songket buatan tangan oleh Adiguru Rasiah Yusoff dari Kelantan digunakan untuk mewakili kaum Melayu, dipadankan dengan kanvas hitam untuk keseimbangan rekaan.

“Bahagian dalam beg menggunakan kain sari untuk mewakili kaum India, manakala saya, sebagai pereka berbangsa Cina, melengkapkan elemen perpaduan ini.

Perancangan melibatkan pengukuran dimensi, pemilihan material yang sesuai untuk melengkapi songket, melakar rekaan, dan akhirnya proses menjahit,” ujar pemilik media sosial yang menggunakan nama kaihungofficial.

No Image Caption

Menyentuh mengenai inspirasi yang diperoleh untuk satu-satu rekaan, elemen keindahan alam semula jadi hingga fesyen couture antara yang sering menggamit ideanya.

Biarpun menganggap masih setahun jagung dalam dunia fesyen, namun peluang menghasilkan beg untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini ibarat peluang keemasan untuk kerjaya beliau.

“Ya, menghasilkan beg untuk Perdana Menteri Malaysia adalah pencapaian terbaik setakat ini.

“Kini, saya lebih fokus pada tempahan pelanggan atau menghasilkan rekaan terbaharu apabila mendapat inspirasi.

No Image Caption

“Selain mahu meluaskan jenama ini, saya juga berharap dapat bekerjasama dengan pengeluar lain dan membawa rekaan ke pentas global,” ujarnya lagi.

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi

Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang