Gatal berubah jadi bengkak! Hati-hati, mungkin kena kaki gajah
BAYANGKAN kaki yang dahulunya ringan melangkah kini berat, membengkak dan sukar untuk digerakkan. Itulah situasi yang terjadi kepada individu yang menghidap penyakit kaki gajah.
Penyakit tersebut bukan sekadar mengubah rupa fizikal, tetapi juga membawa beban emosi dan sosial yang sukar digalas. Bukan hanya tentang kaki yang membesar, tetapi juga perjalanan hidup yang berubah sama sekali.
Di Malaysia, penyakit itu kebanyakannya ditemui di kawasan seperti Sabah, Sarawak, dan Pahang.
Beberapa negeri lain seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, dan Johor juga melaporkan kes. Sementara setakat tahun 2024, tiada kes dilaporkan di kawasan Lembah Klang.
Menurut Pakar Mikrobiologi Klinikal dan Pensyarah Perubatan Universiti Putra Malaysia, Dr. Rosni Ibrahim, penyakit kaki gajah atau untut dari segi perubatan moden dikenali sebagai limfatik filariasis dan turut disebut sebagai elephantiasis. Ia berpunca daripada sejenis cacing filaria yang tergolong dalam kumpulan parasit.
Cacing parasit itu disebarkan melalui gigitan nyamuk sehingga membawa kepada pembengkakan besar menjadi kaki gajah.
Terdapat beberapa jenis nyamuk yang menjadi perantara bagi penyakit ini, termasuklah Anopheles, Mansonia dan Culex.
Ini berbeza dengan nyamuk aedes, yang menyebabkan demam denggi.
“Perlu ditekankan di sini bahawa penyakit kaki gajah tersebut adalah salah satu penyakit yang terabai atau dipanggil sebagai Neglected Tropical Disease.
“Disebabkan itu, ia menjadi punca kurangnya pendedahan kepada penyakit tersebut,” kata Dr Rosni.
Penyakit kaki gajah bermula apabila nyamuk menggigit individu yang telah dijangkiti dan membawa cacing filaria dalam tubuhnya.
Nyamuk tersebut kemudian menggigit individu lain dan menularkan parasit tersebut kepada orang yang sihat.
Apabila cacing filaria memasuki tubuh manusia, ia akan menuju ke sistem limfatik, termasuk nodus limfa (lymph nodes).
Di peringkat awal, pesakit mungkin mengalami pembengkakan pada nodus limfa, yang sering berlaku di bawah dagu, belakang telinga, celah paha atau ketiak.
Doktor sering memeriksa kawasan-kawasan ini jika seseorang mengalami gejala seperti demam atau sakit kepala.
Cacing filaria yang berkembang dalam sistem limfatik boleh hidup bertahun-tahun, iaitu antara enam hingga lapan tahun.
Ia juga menyebabkan keradangan serta penyumbatan pada saluran limfatik. Ini akan mengganggu aliran cecair tubuh dan menyebabkan pembengkakan besar yang dikenali sebagai limfedema.
“Sistem limfatik ada di seluruh badan. Jadi jika berlaku di tangan, bahagian tersebut akan membengkak. Malah ia mungkin akan membengkak ke payudara.
“Jika melibatkan bahagian kaki, ia berkemungkinan untuk pergi ke bahagian kemaluan.
“Kebiasaannya kalau pesakit lelaki mungkin mereka akan datang dengan pembekakan pada skrotum atau skrotus swelling,” jelas beliau.
Sesetengah individu mungkin tidak perasan mereka dijangkiti oleh kaki gajah.
Apabila berlaku pembengkakan di bahagian kemaluan, itu mungkin akan meningkatkan kesedaran untuk menerima rawatan.
Lebih kronik lagi, cacing berkenaan boleh sampai ke paru-paru, bertindak dengan sistem imun badan menyebabkan gejala asma pesakit meskipun pada asalnya mereka tidak pernah memiliki penyakit itu sebelum ini.
Golongan berisiko
Pakar itu turut menjelaskan, semua orang berisiko dijangkiti penyakit berkenaan, terutama yang tinggal di kawasan endemik, sering berkhemah di kawasan hutan atau bekerja di sektor pembinaan yang tidak menjaga kebersihan dengan baik.
Disebabkan itu, ia berpotensi meningkatkan populasi nyamuk dan menjadikan kawasan berkenaan berisiko tinggi untuk penularan penyakit filariasis.
“Di Malaysia, memang terdapat beberapa negeri yang endemik. Saya perlu tekankan di sini bahawa penyakit kaki gajah atau limfatik filariasis ini berada di bawah pengawasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Penyakit ini adalah endemik di beberapa kawasan seperti Afrika, India, Amerika Selatan dan Asia Tenggara, termasuk negara kita,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, penyakit berkenaan juga menyebabkan komplikasi seperti pembengkakan teruk pada kaki yang mengakibatkan pergerakan menjadi terbatas.
“Pergerakan yang terhad sering menyebabkan mereka mengambil cuti sakit yang panjang dan dalam kes tertentu, boleh menyebabkan kehilangan pekerjaan.
“Situasi ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan individu tersebut, tetapi juga memberikan tekanan kepada ekonomi keluarga,” kongsi beliau.
Selain itu, masalah kesihatan mental juga menjadi isu utama bagi pesakit kaki gajah.
Stigma masyarakat terhadap penampilan fizikal mereka yang berubah turut memberikan tekanan emosi.
Pesakit sering merasa terasing kerana tanggapan salah bahawa penyakit ini boleh berjangkit melalui sentuhan atau hubungan biasa.
Adalah penting untuk mendidik masyarakat mengenai fakta sebenar bahawa penyakit kaki gajah hanya boleh merebak melalui gigitan nyamuk yang membawa cacing filaria, bukan melalui sentuhan atau udara.
Walaupun ada kes yang sangat jarang berlaku seperti melalui pemindahan darah, ini bukanlah punca utama penularan.
Kesedaran dan pendidikan kesihatan yang betul perlu disampaikan kepada masyarakat untuk menghapuskan stigma ini.
Penting kesan awal
Pengesanan awal amat penting kerana pencegahan adalah lebih baik daripada merawat.
Sebenarnya terdapat ubat yang boleh merawat penyakit kaki gajah, seperti diethylcarbamazine (DEC).
Ubat ini berkesan untuk membunuh cacing filaria pada peringkat awal.
Namun, jika penyakit tersebut telah mencapai tahap kronik yang mana kaki sudah membesar secara teruk, rawatan akan menjadi lebih sukar.
“Dalam kes kronik, rawatan yang diberikan lebih kepada rawatan sokongan (supportive treatment).
“Misalnya, kaki yang bengkak perlu dinaikkan semasa tidur untuk mengurangkan pembengkakan.
“Penjagaan kebersihan kaki juga sangat penting kerana jika tidak dijaga, ia boleh menyebabkan jangkitan bakteria atau kulat.
“Jika jangkitan seperti ini berlaku, pesakit perlu diberikan antibiotik atau ubat antikulat (antifungal) untuk mengawal keadaan,” jelasnya.
Pencegahan penyakit kaki gajah adalah penting kerana ia berpunca daripada gigitan nyamuk.
Oleh itu, langkah utama yang perlu diambil adalah memusnahkan tempat pembiakan nyamuk.
Usaha mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan persekitaran harus dipertingkatkan.
“Penjagaan kebersihan persekitaran rumah amat penting kerana nyamuk yang menjadi pembawa penyakit ini mungkin tersesat ke kawasan rumah dan menggigit penghuni.
“Dengan memastikan kawasan sekitar bersih dan bebas daripada tempat takungan air, risiko pembiakan nyamuk dapat dikurangkan,” dedah pakar itu.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga melaksanakan pelbagai langkah pencegahan, termasuk aktiviti semburan kabus (fogging) bagi membunuh nyamuk dewasa.
Malah, sejak tahun 2002 lagi KKM telah melancarkan Program Eliminasi Filariasis Limfatik Kebangsaan.
Melalui program tersebut, ubat-ubatan diberikan kepada penduduk di kawasan endemik bagi mencegah komplikasi seperti kaki gajah.
Program ini turut mengenal pasti pesakit yang telah mengalami komplikasi kaki gajah untuk didaftarkan dan diberikan rawatan sewajarnya.
Oleh itu, utamakan kebersihan di persekitaran kita lebih-lebih lagi di kawasan yang berpotensi untuk mendapat penyakit yang sering diabaikan itu.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang