Tidak digalakkan cuci sayur, buah dengan sabun atau sebarang produk khas

October 15, 2020
Farah Eliani

BARU-BARU ini tular satu entri di Facebook mengenai tindakan seorang individu yang berkongsi cara-cara membasuh sayur-sayuran sebelum dimasak dengan menggunakan sejenis produk sabun.

Rentetan itu, orang ramai mula menimbulkan pelbagai persoalan. Kebanyakannya pelik dan ada yang berasakan pendekatan itu berbahaya. Adakah perlu menggunakan sabun semata-mata mahu menyahkan kotoran daripada sayur-sayuran?

Hal itu turut mendapat perhatian seorang ahli kimia bertauliah, Dr Fatimah Salim.

Dr Fatimah menerusi entri Facebooknya berkata, berdasarkan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA), mencuci buah-buahan dan sayur-sayuran dengan sabun atau sebarang produk pencuci komersial adalah TIDAK DIGALAKKAN.

“Ini kerana saki-baki sabun atau pencuci khas yang digunakan itu sukar untuk dibersihkan sepenuhnya dan mungkin tertinggal pada buah-buahan dan sayur-sayuran yang dibasuh,” jelasnya.

Lebih membahayakan, kata pakar itu, bahan kimia (yang tertinggal) pada permukaan atau mungkin telah diserap oleh sayuran dan buah-buahan, boleh menyebabkan seseorang yang memakannya akan jadi loya, muntah dan cirit-birit terutama mereka yang memiliki perut yang sensitif.

Artikel berkaitan: 3 bahan ini mampu rawat kulit wajah, bukan sekadar bumbu dapur

“Jadi, anda hanya perlu merendam buah-buahan atau sayur-sayuran tersebut, kemudian mencuci dan menggosok di bawah air yang mengalir sahaja,” jelasnya.

Tambahnya, orang ramai juga boleh menggunakan berus penggosok khas yang bersih untuk menanggalkan lapisan perlindungan pada buah-buahan seperti epal, labu atau timun.

Bagi mereka yang risau terhadap saki-baki bahan kimia racun serangga, mungkin boleh merendam seketika dengan air garam atau soda bikarbonat sebelum mencuci dengan air yang mengalir.

“Sekiranya buah-buahan dan sayur-sayuran tidak dimasak terus, keringkan permukaannya dengan kain atau tisu yang bersesuaian.

“Tujuannya adalah untuk menghalang lembapan berlebihan yang boleh menyumbang kepada kemandirian kuman yang mungkin berbaki pada permukaan sayur-sayuran dan buah-buahan sebelum penyimpanan,” tulisnya lagi.

Dr Fatimah berkongsi panduan bahawa apabila sayur atau buah dibiarkan dalam keadaan kering, ia akan lebih bertahan lama.

“Biasanya sayur berdaun seperti bayam, saya akan kacau dan rendam seketika kira-kira dalam tempoh tiga minit dengan air secukup yang akan membuatkan sayur itu terapung.

“Ia adalah untuk memastikan pasir atau tanah betul-betul tertanggal daripada sayur berkenaan dan biasanya saya ulang sebanyak tiga kali proses tersebut sehingga air basuhan terakhir sampai saya berpuas hati,” kongsinya.

Kredit: Dr Fatimah Salim