PENULARAN pandemik koronavirus (Covid-19) yang semakin serius sejak awal tahun ini membuatkan banyak negara luar ‘lumpuh‘.

Malah, di Malaysia sendiri, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac dan kini bersambung dalam fasa kedua bermula 1 April lalu.

Secara tidak langsung, banyak perkara yang sudah dirancang terpaksa ditunda bagi mematuhi arahan kerajaan dan demi kebaikan rakyat Malaysia.

Turut terkesan dengan penularan virus Covid-19 itu ialah pengacara dan pelakon yang semakin dikenali ramai, Uyaina Arshad.

Sebelum ini, pemilik nama penuh Saidatul Naseha Uyaina Arshad itu sering berulang alik di antara Kuala Lumpur dan Jakarta, Indonesia atas tuntutan kerja.

Malah, dia juga terikat dengan beberapa komitmen dengan stesen TV Indonesia iaitu Indosiar dan sepatutnya berada di Jakarta sejak awal bulan ini hingga akhir Ramadan nanti.

UYAINA
Uyaina merupakan pengacara Dangdut Asia Academy bersama beberapa pengacara Indonesia yang lain.

“Alhamdulillah, apa yang boleh saya katakan, rezeki dan tawaran kerja untuk tahun 2020 ini cukup baik. Namun, kita hanya mampu merancang, tapi ALLAH SWT itu sebaik-baik perancang.

“Saya berlapang dada dengan apa yang berlaku dan percaya bukan saya sahaja yang terkesan. Semua orang sama kerana mereka juga ada komitmen masing-masing.

“Sepatutnya saya akan memulakan penggambaran Perempuan Tanpa Dosa pada 17 Mac lalu untuk siaran Ramadan nanti, tapi bagi mengikut arahan kerajaan dan Finas sendiri yang mahu segala penggambaran dibatalkan, maka pihak produksi telah menunda penggambaran drama tersebut.

“Kemudian, saya sepatutnya berlepas ke Jakarta 1 April lalu kerana terikat sebagai pengacara untuk dua program besar di sana.

“Begitupun, difahamkan sebuah program telah dibatalkan manakala sebuah lagi ditunda.

“Sekalipun Covid-19 pulih di Malaysia nanti, saya kena lihat juga bagaimana situasi semasa di Indonesia.

“Apa yang saya dan kita semua mampu lakukan sekarang adalah berdoa agar penularan virus ini berakhir dengan segera,“ katanya kepada Sinar Plus.

Aktiviti sepanjang PKP

Ditanya rutinnya sepanjang tempoh PKP ini, si cantik manis berusia 28 tahun itu menghabiskan banyak masa di rumah dan melakukan aktiviti berfaedah bersama keluarga.

Iklan

Pada masa yang sama, pelakon Jujurlah Nikahi Aku itu tidak lupa mendekati peminat menerusi medium laman sosial.

“Sebagai public figure, saya rasa penting untuk menunjukkan contoh dan teladan yang baik. Jadi, saya hanya duduk di rumah, buat aktiviti yang berfaedah.

UYAINA
Uyaina melakukan aktiviti berfaedah sepanjang tempoh PKP.

“Saya juga buat sebuah program mini bersama Mira Filzah menerusi Instagram Story. Selain itu, saya juga membaca dan buat aktiviti yang jarang saya lakukan sebelum ini iaitu main game.

“Bagaimanapun, bermula Jumaat lalu, saya ada juga keluar atas komitmen kerja sebagai pengacara Wanita Hari Ini.

Iklan

“Sempatlah juga saya kongsikan pengalaman ketika berada di luar dengan peminat,“ ujarnya yang merupakan juara Puteri Muslimah Asia 2018.

Dalam pada itu, Uyaina yang menghidap komplikasi jantung iaitu ekstrasistole supraventrikel (SVT) dan masalah injap jantung memberitahu, keadaan dirinya semakin baik tahun ini.

UYAINA
Keadaan kesihatan Uyaina bertambah baik.

Jelasnya, menerusi rutin pemeriksaan yang dilakukan Januari lalu, doktor memaklumkan jantungnya berada dalam keadaan sederhana.

“Setakat ini, doktor kata jantung saya dalam keadaan sederhana pertengahan iaitu tak serius tapi tak juga terlalu baik. Kesihatan saya juga baik.

“Saya anggap PKP ini juga adalah sebahagian daripada percutian untuk saya berehat,“ katanya.