KKM ingin menyarankan kepada semua untuk mendapatkan dos vaksin penggalak terutamanya barisan hadapan dan kumpulan berisiko tinggi.

Itu saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) apabila melihat kepada perkembangan terkini Covid-19 di negara China.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, walaupun terkini kes dalam negara masih terkawal dan menurun, kita perlu mengambil tindakan bersiap siaga.

Menerusi hantaran di sosial media rasminya, beliau memaklumkan, terkini liputan vaksinasi Covid-19 bagi populasi Malaysia untuk dos penggalak pertama hanya 49.8% dan dos penggalak kedua pula amat rendah iaitu 1.9%. Untuk kita tingkatkan pertahanan immunity badan, sila dapatkan dos penggalak.

Menurutnya, individu yang layak untuk vaksin penggalak Covid-19 boleh menempah slot vaksinasi di tempat, hari dan masa pilihan mereka mengikut keselesaan mereka.

1. Klik ikon Covid-19
2. Klik ikon vaksinasi Covid-19
3. Klik vaksin untuk (nama anda)
4. Klik pautan tempahan

Baca juga Doktor penat rebah, pesakit bergelimpangan atas lantai, tsunami Covid-19 China parah

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan KKM sentiasa memantau situasi semasa perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 di peringkat antarabangsa, khususnya melalui sidang media terkini oleh pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, KKM juga ingin merujuk laporan mingguan situasi Covid-19 oleh WHO di mana sebanyak 148,659 kes positif Covid-19 dengan 442 kes kematian bagi minggu epidemiologi (ME) ke-50 (11 hingga 17 Disember 2022) telah dilaporkan di negara China.

Ujarnya, secara keseluruhannya, trend pelaporan kes Covid-19 berada dalam keadaan yang terkawal di kebanyakan negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Ujarnya, sehingga 24 Disember 2022, sebahagian besar varian SARS-CoV-2 yang dikesan di Malaysia adalah varian Omicron (66.17%), diikuti oleh varian Delta (32.69%), Beta (1.06%); dan Alpha (0.08%). Daripada kumulatif varian Omicron yang dikesan, 61.6% adalah subvarian BA.5.2 dan 10.8% adalah subvarian XBB.1 dan tiga (3) kes subvarian BF.7.

Walaubagaimanapun, tiada peningkatan mendadak di dalam jumlah kes Covid-19 di dalam negara serta kes yang memerlukan kemasukan ke hospital kesan daripada langkah-langkah kesihatan awam dan imuniti kelompok yang terhasil daripada liputan vaksinasi Covid-19 yang luas.

Oleh itu, menurut Dr Zaliha, mengambil kira Malaysia mempunyai risiko kemasukan kes-kes Covid-19 dari luar negara, KKM terus mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian Covid-19 seperti yang pernah dialami semasa varian Delta melanda seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Baca juga Inovasi paling trending musim wabak Covid-19, kenali 4 gajet kesihatan stailo, berteknologi tinggi

kit ujian Covid-19

Berikut adalah empat strategi utama yang sedang dilaksanakan oleh KKM iaitu;

1. Memperkukuhkan survelan Covid-19 dalam komuniti, persekitaran dan makmal

Dalam memperkukuhkan survelan Covid-19 dalam komuniti, persekitaran dan makmal, ujian lanjut ke atas sampel positif Covid-19 menggunakan teknik Whole Genomic Sequencing (WGS) dilaksanakan bagi mengesan awal kemasukan varian baharu dalam negara.

Survelan ke atas sampel bagi kes influenza-like illness (ILI) di 59 buah klinik sentinel dan severe acute respiratory infection (SARI) di 18 buah hospital sentinel di seluruh negara masih diteruskan.

Bagi tujuan ini, sampel ILI dihantar ke Makmal Kesihatan Awam seluruh negara, manakala sampel SARI dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk ujian PCR dan seterusnya dijalankan penjujukan genom (WGS) sekiranya positif Covid-19.

Bagi mempertingkatkan pengesanan sebarang varian baharu juga, semua kes ILI dan SARI yang datang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara China dalam tempoh 14 hari terakhir, atau mempunyai sejarah kontak dengan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara China dalam tempoh 14 hari terakhir akan dibuat ujian RTK-Ag Covid-19 dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya positif Covid-19.

Selain itu, survelan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) juga diperkukuhkan dengan pengambilan sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China. Sampel air kumbahan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif Covid-19.

Semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk negara China di PMA akan melalui saringan demam. Mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri (self declaration) akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula. Sekiranya disyaki Covid-19, ujian Covid-19 akan dijalankan.

Baca juga Virus HIV tidak menular seperti Covid-19. Pakar jelaskan bagaimana virus itu menjangkiti

kit ujian Covid-19

2. Melindungi komuniti melalui pemberian vaksin termasuk kumpulan rentan dan berisiko tinggi

(i) Pemberian vaksin Covid-19

Sehingga 28 Disember 2022, seramai 27.531,220 orang (84.3%) dari penduduk Malaysia telah mendapat vaksinasi dos primer yang lengkap. Bagaimanapun, hanya seramai 16,278,036 orang (49.8%) menerima dos penggalak pertama dan 626,896 orang (1.9°/0) bagi dos penggalak kedua.

Pelindungan yang diberikan oleh vaksin Covid-19 ini akan berkurangan selepas tempoh masa tertentu dan bergantung kepada jenis varian pada masa tersebut.

Oleh itu, KKM sangat menggalakkan khususnya mereka yang berisiko tinggi untuk mendapatkan vaksinasi bagi mengurangkan kebarangkalian mendapat jangkitan serius dan kematian.

Mereka yang belum melengkapkan dos primer atau dos penggalak, boleh membuat janji temu melalui MySejahtera atau menghubungi Klinik Kesihatan berhampiran.

Bagi menggalakkan pengambilan vaksin dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi, Kementerian Kesihatan menawarkan pemberian vaksin secara walk-in (tanpa perlu membuat janji temu terlebih dahulu) di Klinik Kesihatan dan hospital KKM bermula 9 Januari 2023 (mengikut waktu operasi klinik) kepada kumpulan berikut:

Iklan

a) Kes dengan komorbiditi termasuk penyakit kronik; atau
b) Warga emas berumur 60 tahun dan ke atas; atau
c) Individu berisiko mendapat gejala teruk dan komplikasi jangkitan Covid-19.

ii) Pemberian rawatan ubat antiviral Paxlovid kepada pesakit yang layak

Rawatan ubat antiviral Paxlovid® (nirmatrelvir/ritonavir) juga disediakan kepada pesakit Covid-19 mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Bagi tujuan ini, KKM sentiasa memastikan ketersediaan antiviral di semua fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan yang dikenalpasti.

3. Mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon sistem perkhidmatan kesihatan awam

KKM sentiasa mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respon sistem perkhidmatan kesihatan awam bagi menghadapi kemungkinan peningkatan kes Covid-19 di Malaysia.

Pengukuhan pengurusan Covid-19 melalui pendigitalan dilaksanakan dengan pendekatan FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support) yang diautomasikan.

Melalui pendekatan ini, individu yang menjalani ujian pengesanan Covid-19 kendiri boleh melaporkan keputusan ujian mereka ke dalam aplikasi MySejahtera — selain melakukan ujian tersebut di fasiliti kesihatan. Keputusan ujian akan segera dikemaskini dalam MySejahtera pengguna. Kes positif akan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Home Surveillance Order: HSO) dan juga Pelepasan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (Release Order: RO) secara digital dan tidak perlu hadir secara fizikal di Pejabat Kesihatan Daerah mahupun Pusat Penilaian Covid-19 (Covid-19 Assessment Center, CAC).

Selain itu, KKM akan memastikan semua CAC beroperasi secara fizikal mahupun secara maya. CAC di klinik yang dikenalpasti bersedia untuk menerima kedatangan / panggilan pesakit yang tinggi untuk membuat penilaian terhadap pesakit yang disahkan positif jangkitan Covid-19.

Sanitasi di rumah untuk elak Covid-19 perlu atau tidak? Ini apa kata pakar

4. Memperkasakan komuniti melalui penglibatan dan advokasi berterusan

Iklan

Aktiviti advokasi dan komunikasi risiko berkaitan penyakit Covid-19 termasuk vaksinasi dan rawatan dipertingkatkan kepada semua peringkat lapisan masyarakat. Bahan advokasi dan pendidikan kesihatan boleh diperolehi daripada laman sesawang KKM serta kenyataan akhbar KKM yang akan dikeluarkan dari semasa ke semasa.

KKM telah menggerakkan MyCHAMPION atau Malaysian Health Community Agent melalui inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi memperkasakan kawalan kendiri kesihatan dalam mengambil tindakan pencegahan penyakit, menilai status kesihatan diri, memastikan kepatuhan rawatan dan mengamalkan norma baharu yang boleh membantu mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Selain itu, pengisytiharan Malaysia sebagai “Kawasan Tempatan Jangkitan” yang akan tamat pada 31 Disember 2022 telah dilanjutkan sehingga 30 Jun 2023 bagi memudahcara Kementerian Kesihatan menjalankan aktiviti pencegahan dan pengawalan penularan jangkitan Covid-19 menggunakan peruntukkan di bawah P.U. (A) 83/22. Pelanjutan ini telah diwartakan pada 27 Disember 2022 melalui perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No.2) 2022 [P.U. (A) 397/2022].

Di samping strategi yang telah digariskan oleh KKM, masyarakat dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup sihat dan selamat bagi menghindarkan diri dari bahaya jangkitan Covid-19 dan penyakit berjangkit yang lain.

Disarankan agar sentiasa mengamalkan TRIIS (Test. Report, lsolate, Inform, Seek). Bagi mereka yang berisiko tinggi termasuk individu yang mempunyai komorbid amat digalakkan memakai pelitup muka terutama di kawasan atau tempat yang sesak, seperti perhimpunan ramai.

Mereka yang bergejala juga digalakkan memakai pelitup muka dan menjalankan ujian Covid-19 kendiri.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 di dalam dan luar negara serta bekerjasama rapat dengan WHO, China serta negara-negara ASEAN demi memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Jangan leka! Teruskanlah kita dengan langkah berjaga-jaga. Jangan penat untuk terus memakai pelitup muka dan elakkan diri di tempat orang ramai. 

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi.