SEKALI lafaz, Muhammad Don Haadi Don Putra dan Nahdatul Aishah Mohd Sharif sah menjadi suami isteri walaupun dalam suasana sidang video sekali gus menjadi pasangan pengantin pertama nikah online di negara ini.

Menariknya, pasangan masing-masing berusia 29 tahun itu menjadi tumpuan apabila Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) mengadakan majlis nikah secara atas talian susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Dalam perkongsian Facebook AlHijrah itu menyaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail hadir dalam majlis berkenaan.

Walaupun jarak antara Bandar Baru Wangsa Maju, Setapak dan Setiawangsa tidaklah jauh sangat namun bagi mematuhi arahan kerajaan, majis yang diadakan pada jam 10.10 pagi itu berjalan lancar walaupun tanpa kehadiran pengantin lelaki.

nikah online
MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail turut hadir dalam majlis berkenaan.

Meskipun masih baharu dilaksanakan namun bakal pengantin perlu mematuhi prosedur yang ditetapkan untuk mendapatkan kebenaran melalui Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di negeri masing-masing.

Permohonan kebenaran berkahwin online adalah satu inisiatif Jakim dengan kerjasama jabatan agama Islam negeri – negeri bagi tujuan memberikan kemudahan kepada masyarakat umumnya dan pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan khususnya memohon kebenaran pernikahan.

Permohonan kebenaran berkahwin online pada masa ini hanya meliputi permohonan yang dibuat di Negeri Sembilan, Melaka, Perlis, Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan namun kemudahan ini akan terus diperluaskan bagi merangkumi negeri-negeri lain di dalam masa yang terdekat.

Bukan sahaja Malaysia, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) juga mengambil langkah keterhadapan dalam melancarkan perkhidmatan perkahwinan dalam talian yang membolehkan pasangan meneruskan pernikahan walaupun berdepan pandemik Covid-19.

Iklan

Warganegara UAE dan penduduk di sana boleh memilih tarikh untuk majlis perkahwinan dalam talian yang akan dikendalikan menerusi pautan video bersama jurunikah selepas semua dokumen berkaitan diluluskan.

Menerusi prosedur itu, jurunikah akan mengesahkan identiti pasangan dan saksi sebelum sijil nikah diserahkan kepada mahkamah khas untuk pengesahan selain pesanan mesej sahaja diberikan untuk pengesahan sijil nikah. Lihat seperti mudah sahaja, bukan?

Perkhidmatan ini diperkenalkan selepas Dubai menggantung urusan berkaitan perkahwinan dan perceraian akibat perintah sekatan pergerakan dalam usaha membendung wabak Covid-19.

Iklan