DISNEY nampaknya tidak menunggu lama untuk membawakan filem-filem hebat mereka di pawagam Malaysia sebaik kebenaran tayangan  diberikan kerajaan sejak bulan lalu.

Selepas tayangan Black Widow dan Marvel Studio’s Shang-Chi and The Legend of The Ten Rings, studio gergasi itu  membawakan Marvel Studios’ Eternals.

Filem yang diarahkan oleh pemenang Oscar, Chloé Zhao itu dibintangi pelakon hebat  iaitu Angelina Jolie, Salma Hayek, Gemma Chan, Richard Madden, Kumail Nanjiani, Lia McHugh, Brian Tyree Henry, Lauren Ridloff, Barry Keoghan, Don Lee, Harish Patel dan Kit Harington.

Marvel Studios’ Eternals secara ringkasnya mengisahkan 10 adiwira yang digelar Eternals, di mana mereka diciptakan oleh Celestials iaitu entiti kosmik yang berkuasa seperti dewa.

Mereka terdiri daripada Ajak selaku ketua bersama anak buahnya, Sersi, Ikaris, Thena, Gilgamesh, Druig, Sprite, Phastos, Kingo dan Makkari.

Eternals dicipta dengan satu tujuan iaitu melindungi bumi daripada makhluk yang dikenali sebagai Deviants.

Mempunyai Kuasa Tersendiri

Mereka dikatakan sudah hidup bersama manusia sejak 5,000 masihi lagi dan mempunyai kuasa mereka yang tersendiri.

Eternals dikatakan wujud bagi melindungi makhluk bumi daripada Deviants.

Ajak mempunyai kuasa untuk menyembuhkan; Sersi memiliki kuasa untuk memanipulasi barang tidak bernyawa menerusi sentuhan fizikal; Ikaris boleh terbang dan memancarkan pancaran tenaga kosmik menerusi matanya; Kingo memiliki kuasa pada tangannya boleh bertukar menjadi senjata yang berkuasa; manakala Gilgamesh mempunyai tumbukan yang kuat.

Sprite pula boleh menyamar sebagai orang lain dan berkebolehan untuk menjelma dari satu tempat ke tempat yang lain; Makkari berkebolehan kelajuan pantas; Druig boleh memanipulasi pemikiran orang lain; Phastos mempunyai kebolehan mencipta dan daya fikiran yang tinggi; serta Thena boleh membentuk sebarang senjata daripada tenaga kosmik.

Gilgamesh (Don Lee) dan Thena (Angelina Jolie) mempunyai hubungan yang akrab.

Selepas mengalahkan Deviants dan mempunyai kehidupan abadi, mereka berpecah serta meneruskan kehidupan di kalangan manusia, namun kemunculan semula Deviants telah menyatukan mereka kembali.

Bagaimanapun penyatuan yang diharapkan tidak berlaku semudah disangka.

Penulis bukan pembaca komik Eternals dan tetap menonton filem ini dengan hati terbuka untuk mengetahui sendiri keseluruhan jalan cerita.

Penceritaan Yang Agak Perlahan

Bagaimanapun tatkala berada sejam dalam panggung, penulis resah dengan garapan Chloé Zhao. Perjalanan Eternals boleh dikatakan bergerak agak perlahan kerana pengarah itu membawa penonton mengenali kewujudan Eternals dari masa ke masa dengan memasukkan teknik imbas semula dan masa kini secara berselang-seli.

Iklan

Dalam masa sama, Chloé Zhao cuba memasukkan kisah percintaan antara Sersi dan Ikaris yang tidak dikembangkan sebaiknya.

Hubungan cinta Ikaris dan Sersi tidak dikembangkan sebaiknya.

Antara lain yang tidak disukai penulis ialah pilihan produksi untuk memasukkan kisah percintaan sejenis Phastos; apatah lagi filem ini adalah sebuah filem adiwira dan tentunya akan menjadi tontonan seisi keluarga kelak.

Berbalik kepada perjalanan Eternals, filem ini kembali menarik apabila Ikaris, Sersi dan Sprite mula menjejaki ahli Eternals yang lain.

Tarikan lain dalam filem ini tentunya kepelbagaian kuasa dan perbezaan setiap watak yang dibahagikan screen time dengan baik.

Kemunculan Don Lee sebagai Gilgamesh sememangnya ditunggu kerana Eternals menjadi filem pertamanya di peringkat antarabangsa.

Iklan

Selit Kisah Avengers

Marvel Studio’s Eternals juga memasukkan sedikit rujukan mengenai Avengers seperti kisah Doctor Strange dan Thanos, serta mengapa mereka tidak campur tangan ketika Thanos membuat onar sebelum ini.

Rasanya penulis tidak perlu membuat ulasan mengenai sinematografi dan kesan khas filem ini kerana itu bahagian yang paling cemerlang.

Thena dijangka bakal mengetuai Eternals pada filem akan datang berdasarkan hint yang diberi pada penghujung filem ini.

Keseluruhannya, Marvel Studio’s Eternals masih sebuah filem berbaloi untuk ditonton dan penulis percaya, filem selepas ini, akan lebih menarik; berdasarkan hint yang diberikan pada hujung filem.

KESELURUHAN : 3.5 BINTANG