PILU rasanya mengenangkan nasib anak-anak yang terpaksa membesar tanpa kasih seorang ayah.

Bagi seorang wanita, tanggungjawab membesarkan anak seorang diri tanpa suami di sisi merupakan perkara yang begitu mencabar.

Pasti si kecil merindukan momen-momen bersama insan tersayang. Orang kata, kasih bapa dan kasih ibu sememangnya berbeza.

Baru-baru ini seorang pengguna media sosial, TikTok @Eldazaiman, memuat naik satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang ada di dalam kamar permata hatinya.

Kredit foto: Tiktok Eldazaiman

Video berkenaan memaparkan anak kedua wanita itu mengeluarkan satu bingkai gambar dari laci, kemudian ditatap potret berkenaan dan memeluknya dengan begitu erat.

Beritahu Eldazaiman, gambar itu ialah wajah suaminya yang telah meninggal dunia pada Jun lalu.

Menerusi ruangan kapsyen, wanita kepada empat orang anak itu mencoretkan nukilan yang begitu memilukan yang berbunyi: “Semoga terus kuat anak-anakku. Menangislah kalau dengan cara itu dapat melegakan hati. Mama tahu Abang Ngah kuat, anak-anak mama semua kuat. Mama dah arwah abah sayang semua dunia dan akhirat.”

Kredit foto: Tiktok Eldazaiman

Tambah Eldazaiman, beliau tidak menyangka bakal menyaksikan momen sebak itu kerana tujuan utama melihat CCTV adalah mahu melihat adakah kesemua anak-anak sudah tidur atau belum?

Rata-rata warga maya menzahirkan rasa sebak dan simpati ke atas nasib yang menimpa si kecil itu.

Berikut antara petikan kata-kata warga maya:

Kredit foto: Tiktok Eldazaiman

“Allahuakbar, sedih saya. Semoga anak-anak kuat dan menjadi anak-anak yang soleh dan baik, dunia dan akhirat.”

“Ya ALLAH, rindunya dia pada arwah abah dia. Kuat ya anak, pasti ada hikmah buatmu.”

“Semoga menjadi anak-anak yang soleh dan solehah buat kedua ibu bapamu. Semoga terus kuat. Nanti sudah besar jaga mama baik-baik okey.”

Benar, tidak mudah untuk anak-anak membiasakan diri tanpa adanya belaian si ayah.

Justeru, bagi mereka yang telah kehilangan pasangan, boleh cuba tip yang dikongsikan oleh Kids Health, New Zealand yang boleh membantu kanak-kanak mengatasi rasa kehilangan. Berikut inti patinya:

Iklan
Kredit foto: Emma Bauso

i) Kesinambungan
– Pastikan anak-anak yang telah kehilangan insan yang tersayang dapat melakukan aktiviti harian seperti biasa. Elakkan mereka rasa sunyi dan juga beritahu guru-guru untuk bantu beri sokongan moral kepada anak-anak.

ii) Beri perhatian kepada anak-anak
– Luangkan masa bersama anak-anak dengan berikan mereka pelukan kerana kesedihan boleh membawa kepada keadaan yang begitu sunyi.

iii) Kekalkan hubungan
– Sebaik sahaja jasad dikuburkan, pasti anak-anak berasa begitu sedih akan kehilangan insan yang mereka sayang.
– Jadi peranan sebagai penjaga adalah menjadi individu yang paling hampir dengan anak-anak, dengar luahan isi hati mereka dan bawa mereka berjumpa dengan seseorang yang boleh membantu mereka atasi kehilangan.

Justeru, bagi individu yang telah kehilangan suami atau isteri dan mempunyai anak, pastikan permata hati kalian dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu tanpa kasih seorang insan.

Kurangnya kasih sayang bukan petanda anak-anak tidak boleh membesar dengan baik, sebaliknya keadaan itu menjadi mereka seorang yang lebih berdikari dan matang.

Iklan

Baca juga: Gerak hati isteri selamatkan blogger ‘Mat Salleh Cari Makan’ hilang di Kuala Tahan

Baca juga: Tular kanak-kanak mengigau nak ke sekolah pada waktu Maghrib, ramai anggap lucu, tapi ini sebabnya…

Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!

Jangan lupa follow kami di TwitterInstagramYouTube & Tiktok SinarPlus. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah yang menginspirasikan.