PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac lalu disambut baik oleh kebanyakan rakyat Malaysia, walaupun masih ada yang ingkar dan memandang enteng arahan daripada kerajaan itu.

Bagi pengacara, penyanyi, pelakon dan usahawan, Datuk AC Mizal, beliau secara peribadi melihat tempoh PKP sebagai peluang untuk bersama keluarga, selain mendekatkan diri dengan yang Maha Esa.

Apatah lagi sebelum ini, masing-masing sibuk dengan rutin harian dan jarang dapat meluangkan masa bersama.

“Setelah bertahun bekerja, alhamdulllilah dapat berehat bersama keluarga tanpa memikirkan apa-apa sebab semua mengalami nasib yang sama (duduk di rumah).

“Terasa kenikmatan hidup bila anak-anak ada di depan mata. Kita tidak sibuk bekerja, anak-anak tak sibuk ke sekolah atau ke kolej.

“Ada hikmahnya Covid-19 ini. Semua hal dunia direhatkan sementara dan peluang kita bersama keluarga mendekatkan diri kepada ALLAH SWT,” katanya.

DATUK AC MIZAL
Datuk Ac Mizal manfaat tempoh PKP untuk bersama keluarga dan beribadat.

AC atau nama sebenarnya Mizal Zaini, 49, turut menyarankan agar rakyat Malaysia duduk di rumah dan menikmati masa bersama keluarga.

“Kita tidak tahu apa akan terjadi selepas ini. Sebelum ini pun kita tak pernah terfikir terpaksa berada di rumah akibat serangan virus.

“Kalau kita mahu keadaan kembali pulih, sila ikut arahan kerajaan kerana jika masalah ini tidak dapat dibendung, pergerakan kita akan terus dikawal.

“Jika diizinkan ALLAH SWT, keadaan akan pulih seperti biasa. Kita pula akan kembali sibuk bekerja  seperti biasa dan anak-anak pula sibuk dengan hal mereka.

“Selepas itu, masa kita bersama keluarga mungkin kembali berkurang. Jadi ambillah peluang keemasan bersama keluarga di rumah sendiri sebagai masa rehat yang berharga,” ujarnya menerusi akaun Facebook miliknya.

Iklan

Pertaruh Idealyst Beauty

Dalam perkembangan lain, pelakon Abang Long Fadil 2 itu baru sahaja tampil dengan produk kecantikan jenama Idealyst Beauty.

Selaku Pengerusi Idealyst, AC Mizal berkata, dua produk keluaran syarikatnya iaitu k1ss Lip Matte dan Wonder Trim menekankan aspek produk yang selamat digunakan.

Iklan

“K1ss Lip Matte dan Wonder Trim merupakan produk yang diformulasikan daripada doktor bertauliah iaitu Dr Aidil Azry Datuk Mokhtar bersama isterinya, Dr Fadzlina Md Mohtar yang juga  pengemudi bersama jenama ini.

“Wonder Trim pula ialah makanan tambahan untuk mengawal selera makan yang selamat untuk diambil.

“Malah, saya sendiri dah mencubanya dan berjaya turunkan berat badan lima kilogram dalam masa sebulan. Sebelum jual, saya sendiri menjadi bahan uji kaji untuk melihat keberkesanan produk ini dan bukannya untuk mengejar untung semata-mata,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran produk berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.