SELEPAS lima hari dilaporkan hilang di Tasik Piru, California, mayat pelakon Naya Rivera akhirnya ditemui pada Isnin.

Berita tersebut disahkan oleh Sheriff Ventura, Bill Ayub menerusi satu sidang media yang diadakan pada hari yang sama.

“Kami yakin mayat yang kami temui itu adalah Naya Rivera,” jelasnya yang membuat kenyataan tersebut berdasarkan pengecaman fizikal mangsa.

Menerusi siasatan awal, mayat yang ditemui dipermukaan tasik itu bagaimanapun dikatakan tidak menunjukkan tanda-tanda perlakuan jenayah atau bunuh diri.

Pihak polis percaya keadaan arus deras di tasik berkenaan menjadi punca insiden tersebut berlaku.

Mayat bintang Glee itu dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat.

Pada Rabu lalu, Rivera, 33, dilaporkan hilang di tasik tersebut selepas menyewa sebuah bot untuk bersiar-siar dengan anak lelakinya yang berusia empat tahun.

Kehilangan pelakon tersebut disedari orang awam apabila menemui anak lelakinya sedang tidur  sendirian dalam bot tersebut.

Iklan

Menurut anak lelakinya, mereka sebelum itu berenang di tasik berkenaan namun ibunya hilang selepas membawanya kembali ke bot.

Susulan itu, tasik berkenaan yang menjadi tumpuan perkhemahan dan rekreasi itu ditutup kepada umum sejak Rabu bagi memulakan operasi mencari dan menyelamat dilakukan.

Rivera dikenali ramai menerusi watak Santana Lopez dalam drama bersiri popular Glee selama enam musim.

Iklan