ANTARA artis yang memiliki rambut cantik lurus bersinar adalah pelakon Anzalna Nasir. Mesti ramai yang cemburu melihat rambutnya yang lebat itu.

Kita semua sama ada lelaki mahupun perempuan juga mahukan rambut yang sihat. Tapi, kenalah pandai jaga dan amalkan beberapa petua.

Anzalna mungkin dengan caranya yang tersendiri. Sementara kita bolehlah cuba beberapa petua yang Sinarplus kongsikan ini.

1. Gunakan minyak kelapa

Gunakan minyak kelapa ini dengan membuat rawatan minyak panas pada rambut. Caranya adalah panaskan minyak dalam microwave selama 20 saat.

Apabila minyak sudah suam, sapukan pada rambut dan kulit kepala. Urut selama 15 ke 20 minit. Setelah itu, sikat rambut agar minyak dapat menyerap sekata.

Kemudian, balut rambut dengan tuala selama 30 minit. Apabila siap, syampu dan bilas rambut dan biarkan ia kering dengan sendiri.

2. Gunakan santan kelapa

Santan kelapa bersifat antibakteria dan antikulat. Ia bukan sahaja mampu meluruskan rambut, malah dapat melembapkan rambut dan melindungi kulit kepala daripada sebarang jangkitan.

Caranya adalah campurkan satu cawan santan kelapa segar dengan jus sebiji lemon. Sejukkan ia sehingga menjadi lapisan krim di atasnya.

Ambil krim itu dan sapukan pada rambut dan kulit kepala. Biarkan selama 20 minit. Kemudian bungkuskan rambut dengan shower cap dan tuala. Biarkan pula selama 30 minit dan syampu serta bilas.

3. Gunakan susu

Iklan

Ini bahan yang sangat mudah untuk meluruskan rambut. Hanya campurkan setengah cawan susu bersama setengah cawan air. Masukkan ia ke dalam botol spray.

Spray pada rambut dan sikat rambut. Biarkan selama 30 minit agar campuran tadi meresap ke dalam kulit kepala. Kemudian syampu dan bilas.

4. Gunakan telur dan minyak zaitun

Iklan

Telur berfungsi untuk menguatkan dan menyinarkan rambut, manakala minyak zaitun pula memberi kelembapan pada rambut. Campuran kedua bahan ini akan mampu meluruskan rambut.

Caranya, pukul kuning telur dan masukkan empat sudu minyak zaitun. Sapu pada rambut dan kulit kepala. Sikat rambut dan balut menggunakan shower cap. Biarkan selama 30 minit dan syampu serta bilas.

Bahan-bahan ini amat mudah untuk didapati. Amalkan cara-cara ini untuk mendapatkan rambut yang lurus dan bersinar.

Penulis: Suhaila Ali
Sumber: IG Anzalna Nasir, karteldakwah dan unsplash