Setelah membuktikan kemampuannya menerusi lagu Sumpah, finalis Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34), Aina Abdul kembali dengan lagu baharu berjudul Semalam.

Semalam merupakan ciptaan sepenuhnya oleh gadis berusia 27 tahun itu mengangkat isu toksik dalam perhubungan dan juga keganasan rumah tangga.

“Lagu Semalam saya cipta sebelum melangkah ke Semi Final Muzik-Muzik 34 (SFMM34) dan ketika itu saya tak fikir lagu itu untuk diri sendiri.

“Kemudian bila saya layak ke AJL34, saya beritahu team bahawa saya perlu satu single baharu untuk diketengahkan selepas Sumpah.

“Semalam mengisahkan mengenai toksik dalam perhubungan, di mana saya perincikan kepada dua perkara iaitu penderaan mental dan keganasan domestik.

“Walaupun tak pernah menghadapinya tapi saya mendapat inspirasi itu daripada apa yang saya baca dan saya pasti ada insan di luar sana yang melalui perhubungan toksik seperti itu,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single Semalam di The Majapahit, Mont Kiara baru-baru ini.

Single Semalam sudah berada di semua saluran muzik secara digital menerusi platform Spotify, Joox, Apple Music dan Deezer bermula 6 Mac dan lirik videonya juga boleh ditonton di laman YouTube.

Cipta lagu buat Misha, Ernie

Ditanya mengapa memilih untuk tampil dengan lagu yang berat dan membawa mesej seperti isu tekanan mental, naib juara Mentor Legend itu berkata, dia mahukan kelainan dalam berkarya.

“Bagi saya mengapa tidak untuk tampil dengan kelainan dan tidak terikut-ikut lagu-lagu sedia ada.

“Apa yang boleh saya katakan, saya akan terus keluarkan karya-karya yang mengangkat mengenai isu atau mesej tertentu,” jelasnya yang berharap Semalam juga akan layak ke AJL akan datang.

AINA ABDUL
Aina Abdul

Dalam pada itu berkongsi perkembangannya selepas AJL34, Aina memberitahu dia kini semakin aktif menghasilkan lagu.

Iklan

Lebih bermakna apabila karya ciptaannya mendapat kepercayaan penyanyi ternama seperti Misha Omar dan Ernie Zakri.

“Sejak dahulu lagi saya memang aktif tulis lagu tapi selepas AJL34, saya hasilkan sesebuah lagu itu lebih mendalam lagi.

“Alhamdulillah saya baharu sahaja selesai menulis lagu untuk Ernie dan kak Misha, cuma saya tak pasti bila mereka akan buat rakaman lagu terbabit.

Iklan

“Apa yang boleh saya katakan, lagu yang saya hasilkan untuk mereka bersesuaian dengan vokal mereka tetapi masih mengekalkan identiti Aina Abdul,” ujarnya.

Aina berkata biarpun mendapat kecaman hebat sebelum ini, ia tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk terus berkarya.

“Pada awalnya saya terasa ada yang tak faham apa yang cuba saya sampaikan. Tapi kini saya lihat kecaman itu dari sudut yang berbeza. Ini kerana di sebalik kecaman itu masih ramai yang menyokong saya.

“Walaupun bimbang dengan sambutan Semalam sama seperti Sumpah, saya akan terus berusaha promosikan lagu ini dan menyerlahkan bakat yang saya ada demi peminat,” katanya.