DALAM kesibukan memenuhi jadual kerja seharian, pelakon dan pelawak Zizan Razak tidak mahu menghampakan permintaan seorang peminat ciliknya, Puteri Nur Zulaika, 10, yang berhasrat untuk bertemu dengannya.

Difahamkan adik Puteri kini sedang dirawat di Hospital Port Dickson kerana mengalami masalah kerosakan paru-paru.

Menerusi sebuah video yang dikongsi pada pertemuan pada Isnin,  Zizan dilihat tidak dapat menahan air matanya kerana tersentuh dengan doa yang diucapkan oleh adik Puteri.

“Terima kasih adik Puteri sayang atas doa yang benar-benar buat uncle Zizan rasa sangat menusuk ke hati.

“Dari awal lagi saya rasa sayu ketika perjalanan menuju ke hospital Port Dickson untuk melawat adik puteri.

“Setibanya saya di sana, niat ingin hiburkan Puteri tetapi lain jadinya. Hilang lawak saya, yang menitis cuma air mata yang mencurah.

“Ya Allah. Cuma Allah sahaja tahu perasaan saya ketika itu,” luah Zizan.

Menurut Zizan lagi, pelbagai soalan diajukan kepada doktor yang merawat adik Puteri untuk mengetahui bagaimana peminat ciliknya itu dapat disembuhkan daripada penyakit yang sedang dihidapinya sekarang.

“Berbagai soalan saya tanya pada doktor untuk tahu bagaimana cara untuk pulihkan adik Puteri dari keadaan sekarang.

Iklan

“Saya mahu lihat peminat syurga saya ini sihat secepat mungkin. Dengan Kuasa Allah tiada yang mustahil. Ya saya yakin. Amin,” katanya.

Dalam pada itu, pelakon Polis Evo itu juga memita orang ramai agar mendoakan adik Puteri segera sembuh.

“Masya-ALLAH. Kuat betol semangat adik puteri untuk terus berjuang untuk hidup.

Iklan

“Saya benar-benar menyeru kepada semua pengikut saya untuk doakan supaya adik Puteri Nur Zulaika supaya dipermudahkan segakla urusan dan kesihatan anak syurga ini sembuh secepat mungkin,” kata Zizan.

 

(FOTO: Instagram Zizan Razak)