MEMAHAMI kesusahan yang dilalui rakan penggiat seni dan golongan kurang berkemampuan yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, penyanyi Ifa Raziah tampil menghulurkan bantuan.

Ifa mahu berkongsi rezeki dan meringankan beban mereka yang terlibat dengan melancarkan Program Tautan Kasih Sumbangan Amal Kepada Rakan-Rakan Artis Sempena Covid-19.

“Saya Ifa Raziah dengan rasa rendah diri dan seikhlasnya berniat nak bagi bantuan beras dan makanan kepada rakan-rakan artis sempena PKP Covid-19.

“Sekurang-kurangnya sumbangan kecil Ifa yang tak seberapa ni dapatlah membantu rakan-rakan semua,” ujar Ifa menerusi laman Instagramnya.

Antara barangan yang disumbangkan termasuklah beras, milo, gula, sardin, maggi, biskut, kicap dan sanitizer.

Sumbangan tersebut telahpun diedarkan kepada penerima yang terlibat pada hari ini (Jumaat) oleh Ifa menerusi pelbagai kaedah penghantaran.

Iklan

Menurut Ifa niat dia memberikan sumbangan dan melakukan kerja amal tersebut atas nama arwah kedua ibu bapanya.

“Apa yang saya buat ini bukan nak meriah atau menunjuk tapi niat saya memang ikhlas sebab kebetulan hari jadi arwah mak saya pada 4 April (Sabtu).

Iklan

“Ini adalah hadiah dari Ifa buat arwah ibu bapa Ifa. Selalunya Ifa akan buat kenduri tahlil, tetapi memandangkan musim Covid-19 ini, terpaksalah Ifa buat cara lain untuk mengumpulkan pahala buat mereka,” luah Ifa.

Diharapkan projek sebegini diteruskan dari masa ke semasa bagi membantu rakan-rakan penggiat seni yang memerlukan, selain golongan tidak bernasib baik.