Doktor luah saat genting, rawat puluhan mangsa nahas ngeri bas penuntut UPSI. 'Pahit manis yang tak akan dilupa, wira tak didendang..'

SELURUH negara masih diselubungi episod duka dengan tragedi memilukan yang meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam nahas bas carter yang berlaku awal pagi Isnin lalu.
Situasi cemas dengan jumlah kematian yang tinggi bukan lagi sekadar ujian biasa, sebaliknya menuntut tindakan segera dan bantuan menyeluruh supaya nyawa-nyawa yang masih bertarung dapat diselamatkan.
Di sebalik tangisan dan deretan ambulans keluar masuk perkarangan Hospital Gerik, ada kisah yang jarang dapat dilihat oleh mata umum.
Seorang pegawai perubatan, Dr Muhammad Adam Muskhan tampil berkongsi sisi sebenar di sebalik petugas-petugas perubatan yang menjadi wira tidak didendang di saat negara berdepan situasi cemas.
Bukan untuk meraih simpati, jauh sekali mengharapkan pujian. Namun, bertugas di sebuah hospital berkapasiti kecil untuk merawat seramai 33 mangsa yang cedera bukanlah sesuatu yang mudah.
Bagaimanapun, bagi Dr Muhammad Adam, kejadian yang berlaku bukan sekadar satu tugas, tetapi pengalaman pahit dan manis yang akan tersemat dalam ingatan semua petugas barisan hadapan buat selama-lamanya.
Dalam situasi mendesak dan mencemaskan, beliau tidak dapat menyembunyikan rasa sebaknya apabila mengenang komitmen luar biasa yang ditunjukkan rakan-rakan setugas.
Lebih mengharukan, ramai dalam kalangan petugas yang sanggup bersengkang mata tampil membantu dan menunaikan tanggungjawab walaupun di luar waktu kerja.
"Alhamdulillah, satu pengalaman pahit dan manis yang sukar dilupakan bagi kami di Hospital Kecil.
"Namun, apa yang paling terkesan di hati saya adalah komitmen luar biasa yang ditunjukkan oleh para staf.
"Seawal jam 3 pagi, sudah terpacak bersedia menerima arahan berjuang melawan nikmatnya tidur walau bukan dalam waktu kerja. Inilah wira-wira yang tak didendang," kongsinya dalam coretan di Facebook.
Tambahnya lagi, walaupun tugas mereka sebagai petugas kesihatan sering disalah erti, dihujani pelbagai persepsi namun apabila saat genting tiba merekalah yang akan berdiri paling hadapan.
"Sering disalah erti, namun apabila tiba saatnya kitalah yang berdiri di barisan hadapan, menyumbang bakti tanpa banyak bicara," katanya.
Dalam coretan penuh emosi itu juga, pakar tersebut tidak melepaskan peluang meluahkan penghargaan kepada rakan-rakan setugas yang bertungkus lumus menggalas tanggungjawab dalam keadaan serba mencabar.
Menjengah ke ruangan komen, ribuan warga maya meluahkan rasa syukur dan terima kasih yang tidak berbelah bahagi kepada barisan petugas kesihatan, khususnya mereka yang terlibat merawat para pelajar yang mengalami kecederaan.
Tidak kurang juga, ramai warga maya turut mengangkat pasukan perubatan Hospital Gerik sebagai antara yang terbaik.
Untuk makluman selain merawat mangsa cedera, Hospital Gerik juga menjadi lokasi proses bedah siasat ke atas dua mayat penuntut universiti awam berkenaan iaitu Muhammad Adib Hazim dan Wan Nur Suhaila.
Manakala, 13 lagi mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Terdahulu, tragedi menyayat hati itu berlaku di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.
Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah malam hingga 1 pagi itu membabitkan sebuah bas sewa khas yang membawa penuntut pulang ke kampus di Tanjung Malim.
Bas berkenaan dilaporkan terbabas sebelum dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Insiden ngeri itu bukan sahaja mengorbankan nyawa, malah mencederakan puluhan pelajar muda yang ketika itu dalam perjalanan pulang ke UPSI setelah menamatkan cuti Aidiladha.
Layari portal SinarPlus untuk info terkini dan bermanfaat!
Jangan lupa follow kami di Facebook, Instagram, Threads, Twitter, YouTube & TikTok. Join grup Telegram kami DI SINI untuk info dan kisah penuh inspirasi
Jangan lupa dapatkan promosi istimewa MAKANAN KUCING TOMKRAF yang kini sudah berada di 37 cawangan KK Super Mart terpilih di Shah Alam atau beli secara online di platform Shopee Karangkraf Mall sekarang