PEMENTASAN teater Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLTM) yang sepatutnya berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya pada 3 Julai ini, ditangguhkan ke tahun hadapan.

Penangguhan tersebut dilakukan berikutan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memberi kesan besar kepada persiapan teater tersebut.

Menurut penerbit dan pengarah PGLTM, Puan Seri Tiara Jacquelina, keputusan tersebut amat berat untuk dilakukan, apatah lagi telah lama merancang pementasan semula itu.

“Sepanjang PKP saya cuba memikirkan pelbagai cara untuk memastikan pementasan dapat diteruskan.

“Antaranya untuk mengadakan sesi bacaan dialog dan latihan nyanyian menerusi aplikasi Zoom, selain merakam koreografi tarian menerusi video bagi membolehkan barisan pelakon membuat latihan sendiri.

“Apa pun, hakikatnya kami masih perlu berlatih bersama secara fizikal sebelum naik ke pentas.

“Dengan hanya tinggal enam minggu sahaja lagi sebelum pementasan bermula, apatah lagi penularan Covid-19 yang masih belum reda, adalah mustahil untuk meneruskan pementasan ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada pihak media.

Bagaimanapun kata Tiara, sebahagian persiapan lain termasuk reka bentuk set dan kandungan digital serta kostum, prop dan keperluan teknikal sudah pun siap untuk digunakan.

Iklan

Katanya lagi, pihaknya memahami kekecewaan peminat yang telah lama menantikan pementasan semua PGLTM, namun ia terpaksa dilakukan demi kebaikan bersama.

“Saya tahu peminat setia PGLTM dan mereka yang sudah membeli tiket awal kecewa dengan penangguhan ini.

Iklan

“Pasukan produksi dan saya sendiri bekerja keras untuk mementaskan semula karya ini dan tentunya kami turut terkesan.

“Namun keselamatan dan kesihatan pelakon, pasukan produksi termasuk penonton menjadi keutamaan kami buat masa sekarang, selain akur dengan arahan yang dikeluarkan kerajaan,” katanya.