PASANGAN popular, Fattah Amin dan Nur Fazura mengembalikan nostalgia apabila merakamkan semula lagu hari raya klasik yang pernah dipopularkan oleh Hail Amir dan Uji Rashid berjudul Seloka Hari Raya.

Sebuah lagu raya malar segar yang sentiasa menjadi pilihan ramai setiap kali tibanya sambutan hari raya biarpun ia dirakamkam lebih berdekad lalu.

Mengulas pemilihan lagu itu, Fattah mengakui keistimewaan serta aura yang ada pada lagu itu membuatkan dia dan Fazura berminat untuk merakamkannya semula  mengikut cara mereka yang tersendiri dengan sususan muzik oleh Mel Ramlan dan Mohariz Yaakup

“Semua orang tahu lagu ini ada tarikan yang tersendiri dan diminati ramai. Jadi apabila pihak label, Universal Music Malaysia memberikan idea untuk merakamkan lagu ini, kami terus bersetuju.

“Saya sangat suka dengan versi baharu lagu ini yang ada unsur remix hasil gubahan komposer dan juga teman saya, Mel Ramlan,” ujar Fattah.

Bagi Nur Fazura pula, merakamkan kembali lagi ikonik itu merupakan satu terjemahan penghargaan mereka kepada pencipta dan penyanyi asal lagu tersebut.

“Sebelum itu, ada juga cadangan yang mahukan kami merakamkan lagu baharu tapi bila ada cadangan seperti ini, kami terima sahaja tawaran itu kerana secara tidak langsung kita meraikan lagu lama yang kita tahu mempunyai ramai peminat,” katanya.

Bercerita mengenai pengalaman merakamkan lagu itu, kata Fazura, dia dan Fattah merakamkan lagu itu secara berasingan kerana kesibukan Fattah ketika itu.

“Lagu ini dirakamkan sebelum arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Kami rakam di studio namun dibuat secara berasingan kerana Fattah pada masa itu sibuk kerana terbabit dalam penggambaran drama.

“Saya harap peminat akan menyukai lagu ini kerana ia juga adalah satu hadiah buat mereka yang menantikan sebuah lagu duet hari raya daripada kami,” ujarnya.

Lebih menarik, muzik video lagu tersebut menyaksikan wajah Fattah dan Nur Fazura diabadikan dalam bentuk animasi.

Iklan

“Pelaksanaan PKP membuatkan penggambaran muzik video ini terpaksa dibatalkan, Bagaimanapun, saya dan isteri tampil dengan idea iaitu penampilan kami dalam muzik video itu dibuat dalam bentuk animasi,” kata Fattah.

Tambah Fazura, untuk menjadikan muzik video itu unik, ada empat watak yang ditonjolkan dalam muzik video tersebut.

“Konsep dan jalan cerita muzik video ini adalah cetusan idea kami berdua. Kami juga tonjolkan empat watak di dalamnya. Kalau nak tahu siapa, kenalah tonton muzik video tersebut,” ujarnya.

Memandangkan negara masih lagi melaksanakan arahan PKP, urusan promosi lagu ini akan dibuat menerusi media sosial dan juga virtual, termasuk sesi ramah mesra yang juga dilakukan secara atas talian.

Iklan

Lagu Seloka Hari Raya nyanyian pasangan ini boleh didapati di semua pelantar digital mulai 15 Mei lalu, sementara muzik video pula di YouTube Universal Music Malaysia.

 

[FOTO: Universal Music Malaysia]