TARIKH keramat 3 Mac ini bakal menyaksikan satu detik bersejarah buat negara apabila kereta pintar pertama jenama tempatan diperkenalkan pada harga mampu milik.

Apa yang lebih membanggakan, Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) bakal melancarkan model kenderaan utiliti sukan (SUV) kompak yang barangkali buat ramai teruja.

Masakan tidak, model serba baharu di bawah rangka tindakan Perodua Smart Build itu cukup canggih dan lain daripada lain.

perodua

Penulis turut berpeluang memandu sendiri jentera sofistikated yang namanya masih belum diumumkan secara rasmi itu di litar ujian Ibu Pejabat Perodua di Sungai Choh, Rawang, baru-barunya.

Jika mahu berkongsi pengalaman, memang tidak dinafikan ciri pintar yang ada pada jentera dengan pilihan tiga varian itu memang best dan menakjubkan!

Model baharu lengkap dengan transmisi boleh laras berterusan (CVT) itu akan menjadi model pertama yang memenuhi standard Pemanduan Autonomi Tahap 2. Hebat bukan?

Ada lagi! Dua varian lebih terkehadapan dilengkapi adaptive driving beam, panel meter TFT 7-inci dan sistem infotainmen skrin sesentuh 9-inci dengan ‘voice recognition‘.

Sesuai dengan gaya hidup anak muda yang sukakan kelajuan dalam pemanduan selamat, barangkali boleh masukkan dalam senarai pembelian kereta idaman.

perodua

Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad memberitahu, pihaknya memperuntukkan RM600 juta hingga RM700 juta untuk program penyelidikan dan pembangunan (R&D) model baharu pada tahun ini.

“Bagi peruntukan untuk pengembangan rangkaian jualan, kami menumpukan kepada kerja menaik taraf pusat 1S (jualan) dan 2S (jualan dan servis) kepada 3S (jualan, servis dan alat ganti).

Iklan

“Untuk tahun ini, kami bercadang menaik taraf 25 peratus daripada 190 pusat di seluruh negara menjadi 3S,” katanya sempena sidang media baru-baru ini.

zainal abidin

Tambah Zainal Abidin, sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan untuk memperincikan ekosistem perniagaan demi memenuhi permintaan pasaran semasa.

“Sebanyak RM1.06 bilion diperuntukkan pada tahun lalu untuk program R&D serta pembangunan model baharu yang lebih memuaskan hati pelanggan.

Iklan

“Selain itu, sejumlah RM250 juta hingga RM300 juta pula akan diperuntukkan untuk pengembangan rangkaian jualan Perodua di seluruh negara bagi memastikan pelanggan jenama itu menikmati perkhidmatan terbaik,” katanya.

perodua

Jadi, apa tunggu lagi? Jangan lepaskan pengumuman rasmi mengenai jentera serba baharu yang cukup canggih persis jenama luar negara pada Rabu depan.

Apa yang pasti, harga yang ditawarkan cukup berbaloi dengan ciri keselamatan canggih dengan ledakan kuasa cukup menyakinkan.